Zalimnya Manusia Kerana Mengamalkan Hukum Rimba


02/08/2006

 

 

Zionis tak mengaku bunuh
BERITA HARIAN 2 Ogos 2006

TEL AVIV: Tentera Israel semalam menafikan laporan ia bertanggungjawab di atas kematian sekurang-kurangnya 54 rakyat Lubnan, termasuk 37 kanak-kanak dalam pengeboman di Qana Ahad lalu, tetapi tentera Zionis itu tidak dapat mengemukakan alasan bagi penafiannya itu.

Ketua Turus Tentera Udara Israel, Brigadier Jeneral Amir Ehsel yang dipetik akhbar Haaretz mendakwa, hanya satu serangan mengenai sebuah bangunan didiami penduduk awam terbabit. Serangan lain mengenai dua bangunan lain yang terletak pada kira-kira 400 meter jauhnya.

Eshel dan Mejar Jeneral Gadi Eisencott mengetuai Operasi Direktorat turut mendakwa pejuang Hizbullah mewujudkan satu pangkalan di Qana dan melancarkan kira-kira 150 roket Katyusha ke utara Israel dari situ.

Ada antara roket itu dilancarkan daripada bangunan perkampungan Qana. Gambar dikirim pasukan tentera itu pada tengah hari kejadian turut mengesahkan sasaran dibedil, katanya.

Tentera Yahudi itu kata Eshel, tidak mengeluarkan gambar itu atas alasan sedang diproses.

Pihak tentera Israel menunjukkan satu rakaman video semalam mengenai serangan roket dilancarkan dari Qana yang didakwanya dilakukan pejuang Hizbullah. Bagaimanapun, rumah yang dibedil tentera Israel didapati tiada kaitan dengan kumpulan atau pejuang Hizbullah seperti didakwa.

Tetapi sejurus selepas serangan itu, pegawai tentera Yahudi masih mendakwa sasaran itu adalah rumah dijadikan kubu pejuang Hizbullah di selatan Lubnan.

Sementara itu, Ketua Turus Tentera Israel Dan Halutz dan pegawai kanan askar Yahudi berkenaan menyatakan rasa kesal di atas kematian penduduk awam Lubnan berkenaan. Agensi

Mereka memberi alasan, IDF tidak menyedari adanya penduduk awam dalam perkampungan itu dan menjangkakan mereka sudah beredar seminggu lalu selepas diberi amaran awal Yahudi...........................


Fitrah manusia mahu dihormati, mahu keamanan dan kedamaiannya tidak terganggu. Fitrah manusia juga bencikan kezaliman, bencikan keganasan dan bencikan penindasan. Kalau demikian sifatnya manusia mengapa pula kezaliman, penindasan dan keganasan berleluasa di mana saja. Mengapa permusuhan, peperangan dan berbunuhan berlaku di mana saja. Malah PBB dan Amerika yang kononnya berfungsi selaku pendamai, sebaliknya dalam waktu yang sama PBB memberi laluan kepada Amerika itu sendiri melakukan tindakan melampaui batas kemanusiaan, dan seringkali bertindak zalim, kejam dan ganas.

Mengapa di tengah-tengah suara kedamaian PBB dan Amerika, mereka juga yang merestui berbagai pertumpahan darah atas nama lesen ketetapan PBB. Menjadikan Amerika sudah tidak terkira lagi ganasnya. Sehingga ada pihak yang membuat andaian bahawa tiada suatu kekacauan negara di dunia ini melainkan ada campurtangan Amerika.

Namun demikian memang ada jawapan mengapa terjadi demikian. Pertama, memang demikian sifatnya para penganut ideologi yang terpisah langsung dari Tuhan. Di zaman mana pun, semenjak dari manusia awal, dan siapa pun dan tidak kira di mana, penganut ideologilah yang paling mudah membuat tindakan ganas dan pencetus kezaliman. Ini kerana penganut ideologi tidak pernah memperhitungkan soal Tuhan dan agama dalam hidup mereka. Bagi mereka, kepentingan hidup sementara ini saja yang diperhitungkan. Untung rugi mereka adalah di dunia ini semata-mata. Tuhan dan akhirat belakang kira. Malah terputus langsung dari agama, keTuhanan, hukum hakam, syariat dan perhitungan dosa pahala, neraka dan syurga.

Kedua, apa yang mereka pertahankan sebagai maruah, penghormatan, keamanan dan ketenteraman itu adalah hak milik dirinya sendiri. Ertinya gangguan itu jangan berlaku terhadap diri mereka, keluarga mereka, dan kepentingan mereka. Kepada orang lain tidak diperhitungkan. Sebab itu Amerika sanggup berbuat apa saja terhadap Iraq atau juga kepada mana-mana negara dunia apabila kepentingannya dirasakan tergugat. Biarpun tindak balasnya sangat-sangat melampaui batas dan keterlaluan, itu semua sudah tidak dipedulikan. Asalkan kepentingan Amerika itu sendiri terjamin. Inilah yang dinamakan `hukum rimba`, iaitu haiwan dan tumbuhan. Haiwan bersifat siapa kuat dia berkuasa, yang kecil dan lemah sentiasa menjadi mangsa. Pokok-pokok pula akan sentiasa melepaskan pucuk masing-masing untuk lebih tinggi mengatasi pokok lain.

Kita semua perlu memahami keadaan ini bahawa tiada jaminan keadilan bagi mereka yang tidak mempedulikan Tuhan, agama dan akhirat. Akan sentiasa terdedah kepada kezaliman dari orang yang hanya menjadikan ideologi sebagai pegangan hidup. Cuma mungkin mereka membawa mesej kedamaian dan keadilan sementara belum ada peluang menindas dan kejam. Atau mungkin belum masanya kerana kepentingan dirinya belum tergugat.

Islam memang mengajar umatnya menentang dan menghapuskan sebarang bentuk kezaliman. Tidak kira sama ada zalim itu terhadap diri sendiri mahupun kepada orang lain. Tidak kira sama ada zalim itu bersifat lahiriah mahupun rohaniah. Zalim yang bersifat lahiriah memang mudah dikesan. Ini yang ditakuti dan sering diperkatakan di mana-mana malah ditentang.

Kezaliman bersifat rohaniah ini sering diabaikan malah umat Islam sendiri ada yang tidak mengetahui dan tidak memahaminya. Lantas dipandang remeh dan terus tidak dipedulikan. Malah Islam lebih mengutamakan penghapusan kezaliman rohaniah ini. Kerana inilah punca berlakunya kezaliman lahiriah. Ianya ibarat seseorang yang memiliki racun berbisa. Dengan adanya racun itulah maka orang lain boleh turut terkena bisanya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, maka kamu akan diazab api neraka, dan tidak ada bagimu pemimpin selain Allah, kemudian kamu tidak akan ditolong." (Surah Hud: 113)

Dalam Islam zalim mempunyai pengertian yang tersendiri. Jauh berbeza dari pengertian kezaliman yang difahami oleh manusia. Manusia pula seringkali bercanggah dan berbeza dalam memberi erti kezaliman. Zalim bagi fahaman komunis berbeza dengan yang difahami oleh sosialis dan berbeza juga dari puak demokrasi. Zalim menurut pengertian Islam ialah apabila sesuatu itu (manusia atau benda) tidak diletakkan tepat pada tempatnya. Kalau demikian maka dikira zalim juga kalau kita jadikan steamroll atau bulldozer sebagai teksi, atau dijadikan beca untuk mengangkut kayu balak, atau kasut diletakkan di atas kepala atau kopiah diletakkan di kaki atau seluar dalam dipakaikan di luar. Mengapa manusia seluruhnya memakai pakaian dan tidak bertelanjang. Paling kurang ada dua sebab iaitu tidak mahu berlaku zalim kepada tubuh badan yang tidak boleh terdedah kepada sejuk dan panas atau udara luar. Selain itu ialah untuk tidak mahu mendedahkan kemaluan yang sifatnya mesti ditutup. Dianggap zalim orang yang mendedahkan kemaluan bukan pada tempatnya.

Perbandingan itu untuk memahamkan kepada kita terhadap sesuatu yang jauh lebih utama dan perlu dielak dari berlaku zalim. Iaitu mengapa manusia dihidupkan di atas muka bumi ini. Atau mengapa manusia diciptakan oleh Allah SWT. Jawabnya yang paling tepat mestilah datangnya dari Allah SWT juga kerana Allah SWT yang mencipta manusia. Allah SWT telah tetapkan iaitu dalam firmanNya:
Maksudnya: "Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu (Allah)."(Az-Zariyat: 56)

 

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer