Sebab- Sebab Rakyat Dan Anak Buah Mentaati Pemimpin

Rakyat dan anak buah menghormati dan mentaati pemimpin itu ada sebab. Ada sebab yang baik dan ada yang kurang baik. Ada sebab dunia dan ada sebab Akhirat. Di antara sebab-sebab tersebut adalah seperti berikut:

  1. Rakyat yang taat kerana takut pada pemimpin disebabkan dia kejam dan zalim. Kalau tidak dipatuhi dan ditaati, takut akan dihukum seperti dipenjara, dibuang daerah, kena rampas harta-benda, kena bunuh dan sebagainya.
  2. Rakyat yang taat bukan kerana takutkan kekejaman atau kezalimam pemimpin tetapi kerana takut tidak dapat jawatan, tidak naik pangkat, tidak dapat biasiswa atau tidak dapat projek atau apa-apa bantuan.
  3. Rakyat yang mentaati pemimpin hanya kerana melihat orang ramai patuh kepada pemimpin itu. Bukan kerana takut apa-apa, bukan kerana mereka menghormati pemimpin itu, malahan hidup mereka pun tidak bersandar dengan pemimpin tersebut. Mereka ikut sahaja kerana tidak mahu ketinggalan dan tidak mahu rasa keseorangan.
  4. Golongan yang mentaati pemimpin kerana strategi. Mereka tidak takut dan tidak mengharap apa-apa dari pemimpin tersebut. Hanya mereka mahu orang ramai memberi ke-yakinan dan kepercayaan kepada mereka kerana ketaatan mereka itu agar mereka dapat mencari pengaruh dan sokongan orang ramai. Kalau jadi calon, orang ramai akan memberi undi. Ada kepentingan peribadi.
  5. Rakyat yang taat pemimpin bukan kerana takutkan pemimpin itu tetapi kerana takutkan orang ramai yang taat kepada pemimpin berkenaan. Kalau mereka tidak ikut sama taat, mereka akan dibenci oleh orang ramai. Boleh jadi orang ramai akan pulaukan mereka.
  6. Kumpulan yang mentaati pemimpin kerana ilmunya iaitu kerana hendak mendapat ilmunya. Kalau tidak taat, payah untuk mendapat ilmunya.
  7. Rakyat yang benar-benar ikhlas sepenuh hati mentaati pemimpin kerana agama pemimpin itu. Iaitu kerana ketaqwaan dan akhlaknya yang mulia. Kerana mereka ingin dipimpin kepada Allah dan Rasul, moga-moga mereka selamat di dunia dan selamat di Akhirat. Justeru itu, mereka menyerah bulat-bulat seluruh jiwa raga mereka kepada pemimpin tersebut agar dapat diajar dan dididik. Mereka ini orang yang benar-benar setia dengan pemimpin dan sanggup berkorban apa sahaja.

Di akhir zaman, hendak mencari rakyat yang benar-benar ikhlas dan setia kepada pemimpin amat sukar sekali. Ini kerana orang ramai kebanyakannya sudah rosak akibat kepentingan dunianya yang begitu mendalam.

Begitu juga hendak mencari pemimpin yang bertaqwa dan berakhlak tinggi amat sulit sekali. Sebab itu amat susah untuk melahirkan kesatuan dan perpaduan di kalangan umat Islam.

Moga-moga Tuhan akan lahirkan kepada kita seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa, mempunyai karisma kerana ketaqwaan dan akhlaknya yang tinggi dan ilmu dan kepimpinannya yang cukup matang agar dia boleh dihorrnati dan ditaati oleh seluruh umat Islam dengan ikhlas dan sepenuh hati.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer