Bab 18 Kebersihan Dalam Islam Mesti Global






Kebersihan Dalam Islam Mesti Global



Islam sangat mementingkan kebersihan. Malahan Islam menuntut supaya umatnya membersihkan diri. Kebersihan yang dituntut oleh Islam itu pula adalah kebersihan yang menyeluruh dan global. Bukan kebersihan yang serpih-serpihan. Bukan di satu-satu aspek yang tertentu sahaja tetapi di semua aspek. Bukan di satu-satu sudut yang khusus sahaja tetapi di semua sudut. Bukan hanya di satu-satu bidang tetapi di semua bidang. Oleh kerana diri manusia itu ada lahir dan ada batinnya, ada fizikal, maknawi dan rohaninya, maka Islam menghendaki kesemua aspek manusia itu sama ada yang lahir mahupun yang batin, yang fizikal, yang maknawi dan rohani, semuanya disuci dan dibersihkan.

Tuhan ada berfirman:

Maksudnya: "Mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan dirinya." (Surah A'laa: 14)

Kalau dilihat kepada ayat yang pendek ini nampak mudah sangat. Para ulama di zaman salafussoleh banyak menghuraikan tentang ayat ini dan banyak menulis buku tentang kebersihan dan bersuci dalam Islam.

Huraian dan tulisan ulama-ulama salafussoleh itu menyeluruh dan global kalau diukur dengan keadaan dan cara hidup manusia di zaman mereka. Namun setelah kurang lebih seribu tahun hingga ke hari ini, banyak perkara dan kekotoran yang wujud sekarang yang tidak ada di zaman dahulu. Sebab itu ada perkara dan kekotoran yang ulama-ulama dahulu tidak huraikan sebab di waktu itu ianya belum wujud lagi.

Misalnya dalam hal ideologi. Di zaman salafussoleh, ideologi tidak ada dan belum wujud lagi. Falsafah mungkin ada tetapi ideologi tidak ada. Tidak ada fahaman seperti nasionalisme, sosialisme, komunisme, demokrasi dan sebagainya. Oleh yang demikian, fahaman-fahaman yang mengotorkan akal manusia ini tidak menjadi masalah. Ia tidak mengotorkan fikiran dan fahaman umat Islam. Ia tidak merosakkan cara hidup umat Islam. Ia tidak memecah-belahkan umat Islam. Sebab itu Imam Syafie tidak ada menulis tentang membersihkan fikiran dari fahaman dan pengaruh ideologi.

Di zaman Islam sudah merosot dan mundur ini bermula sekitar 700 tahun dahulu, oleh kerana Islam umumnya sudah rosak, ulama-ulama sudah tidak memperjuangkan Islam secara global lagi. Termasuklah dalam hal kebersihan dan bersuci yang terkandung dalam buku-buku mereka, sudah tidak menyeluruh dan tidak global lagi. Banyak benda dan perkara terkini yang tertinggal dan tidak disentuh atau dihuraikan termasuklah masalah ideologi dan lain-lain, walaupun perkara itu wujud di depan mata dan telah mengotori fikiran dan kefahaman umat Islam.

Di samping itu, ulama-ulama masa kini hanya membuat huraian tentang kebersihan di bidang-bidang tertentu yang diminati sahaja. Mereka tinggalkan bidang-bidang lain yang

mereka kurang minat. Contohnya ada satu dua ulama yang memperkatakan tentang kebersihan dalam soal akidah sahaja seperti dalam fahaman Wahabi. Akhirnya fahaman ini jadi ekstrim dan melampau. Walaupun niat awalnya mungkin baik tetapi hasilnya jadi tidak baik. Niat hendak membaiki dan menjaga akidah tetapi akhirnya fahaman itu sendiri yang merosakkan akidah.

Ada ulama yang cenderung dengan ajaran tasawuf. Maka dia menghuraikan kebersihan dan bersuci di bidang tasawuf sahaja. Dia ajar supaya menyucikan hati. Jangan tamak, jangan hasad dengki, jangan sombong, jangan bakhil, jangan pemarah dan hal-hal yang seperti itu. Dia tidak fikirkan tentang kebersihan dan kesucian di aspek-aspek dan di sudut-sudut yang lain. Dia jaga hati sahaja. Dia jaga tasawuf semata-mata. Mungkin tok gurunya tahu dan mengajar lebih dari itu. Mungkin tok gurunya faham bahawa dalam Islam bukan kebersihan di sudut itu sahaja yang mesti dijaga. Tetapi itulah sahaja perkara yang muridnya dapat dan itu sahajalah yang muridnya faham dan perjuangkan.

Ada ulama yang hanya hendak bersihkan syariat lahir sahaja. Iaitu jangan sampai berlaku yang haram dan makruh di sudut makanan, pakaian atau tempat tinggal. Itu sahaja yang di-perkatakannya. Dia tidak fikir tentang kebersihan hati dan akidah. Mungkin gurunya faham kebersihan dan bersuci itu secara global tetapi anak muridnya sahaja yang tidak faham. Dia faham setakat itu sahaja. Gurunya selamat, muridnya tidak selamat.

Ada juga satu dua ulama yang minat di bidang ibadah sahaja khususnya sembahyang. Maka dia hanya bercakap dan menulis tentang kebersihan di bidang ibadah sahaja. Padahal tok gurunya mungkin mempunyai kefahaman yang lebih luas tentang kebersihan. Tetapi dia hanya menyentuh tentang kebersihan di bidang ibadah sahaja kerana itu yang diminatinya. Iaitu tentang kebersihan dari najis mughalazah, najis mutawasitah dan najis mukhafafah. Dia jaga dan dia hurai tentang hadas besar dan hadas kecil. Dia jaga dan dia tulis tentang najis hukmi dan najis aini.

Kemudian dia jaga dari benda yang bukan najis tetapi kotor dan menjijikkan seperti fudhul iaitu tahi mata, tahi telinga, tahi hidung dan sebagainya. Dia juga jaga tentang perkara yang bersih dan suci tetapi mencomotkan seperti minyak, kicap dan gulai yang melekat di pakaian kerana walaupun bersih dan suci, kalau dibiarkan makruh hukumnya. Bila ditengok, sakit mata memandang. Tidak cantik walhal Tuhan suruh kita ber-cantik-cantik. Justeru, orang yang belajar dengan ulama seperti ini akan menganggap bahawa itu sahajalah kebersihan dan bersuci dalam Islam. Kefahamannya tentang bersuci dan kebersihan tidak global dan tidak menyeluruh.

KEBERSIHAN SECARA GLOBAL

Sebenarnya maksud kebersihan dan bersuci secara global sangat luas. Diri manusia itu ada lahir dan ada batinnya. Oleh itu kebersihan menyentuh soal lahir dan soal batin manusia. Ia menyentuh soal fizikal, soal akal, soal hati, soal nafsu, soal masyarakat, soal nilai, soal cara hidup dan lain-lain lagi. Kebersihan mesti diusahakan dalam kesemua aspek-aspek ini tanpa kecuali. Barulah kebersihan itu menyeluruh dan global. Tidak ada makna kalau satu bahagian bersih tetapi bahagian yang lain pula kotor. Tidak ada makna kalau yang lahir bersih tetapi yang batin kotor dan sebaliknya.

Di antara aspek-aspek kebersihan yang dituntut dalam Islam dihuraikan seperti berikut:

  1. Pertama dan teratas sekali ialah kebersihan iktikad atau akidah dari syirik dan kekufuran. Jangan ada akidah kita tentang Tuhan yang tidak bersih sama ada berkaitan dengan Zat-Nya, sifat-Nya atau perbuatan-Nya.
  2. Kedua ialah bersih hati dari sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji seperti sombong, hasad dengki, pendendam, pemarah, bakhil, tinggi diri, tamak dan sebagainya.
  3. Ketiga ialah membersihkan diri dari nafsu yang jahat. Kerana nafsu yang jahat itu, kalau kita turutkan, Tuhan anggap kita bertuhankan nafsu. Kita mesti bersihkan nafsu dari hal yang melanggar syariat. Tuhan ada berfirman:
    Maksudnya: "Tidakkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan." (Al Jasiyah: 23)
  4. Keempat ialah membersihkan yang lahir dari perkara dan hal yang haram dan makruh seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian, tempat belajar, tempat mengaji dan sebagainya. Dalam semua perkara itu jangan ada yang haram dan yang makruh.
  5. Kelima ialah dalam soal pergaulan. Pergaulan kita hendaklah bersih. Jangan terlibat dengan perkara yang haram dan makruh seperti pergaulan bebas lelaki perempuan dan sebagainya.
  6. Keenam ialah kebersihan di sudut ibadah terutama sembahyang. Iaitu bersih dari tiga jenis najis seperti yang disebut sebelum ini. Bersih dari najis aini dan najis hukmi (najis pada hukum). Bersih juga dari hadas besar dan hadas kecil. Bersih dari benda-benda yang menjijikkan seperti tahi telinga, tahi hidung dan tahi mata. Begitu juga kena bersih dari benda-benda yang mencomotkan. Jangan dibawa sembahyang kain dan pakaian yang terkena minyak, kuah laksa, kuah gulai, sos, kicap, belacan, budu dan sebagainya. Walaupun ia tidak najis dan bersih di segi hukum, tetapi kita hendak berhadapan dengan Tuhan. Tidak patut kita comot dan membawa bermacam-macam bau yang tidak menyenangkan ke dalam sembahyang. Bila hendak berjalan dan bertemu orang, kita usaha bersihkan diri, berwangi-wangi dan bermekap. Tetapi dalam mengadap Tuhan, kita ambil mudah. Ini sudah mengecilkan Tuhan dan memuliakan manusia. Kita sudah tidak beradab dengan Tuhan.
  7. Ketujuh ialah bersih dari ideologi. Jangan ideologi jadi pegangan, jadi doktrin, jadi disiplin hidup dan lebih-lebih lagi jangan ideologi dijadikan agama atau cara hidup. Tidak kiralah ideologi atau fahaman apa sama ada komunis, nasionalis, sosialis, kapitalis, demokrasi dan sebagainya. Kerana dalam ideologi tidak ada Tuhan. Ideologi ialah sistem dan fahaman ciptaan manusia. Ideologi adalah teras sekularisme. Sebagai ilmu, tidak apa kalau kita belajar tetapi ia tidak boleh dijadikan pegangan hidup.

    Begitu juga dalam pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain lagi. Ia mesti bersih dari ideologi dan fahaman sekular. Dalam pendidikan terutamanya, kerana ia mencorak jiwa, peribadi dan pendirian kita, jangan pendidikan kita bercorak sekular. Bahayanya pendidikan yang bercorak sekular adalah kerana tidak ada Tuhan di dalamnya. Tuhan ditinggalkan. Tuhan tidak dibawa bersama. Tuhan tidak masuk dalam program pendidikan.

    Walaupun apa yang diajar itu halal dan berguna tetapi apabila Tuhan tidak ada di dalamnya, ia bertukar menjadi haram dan mudarat. Ada orang bertanya apa salahnya kita belajar sains, matematik, sastera, sejarah dan lain-lain. Sebenarnya belajar semua itu tidak salah. Salahnya apabila dalam ilmu-ilmu itu Tuhan tidak dibawa bersama. Bila Tuhan tidak dibawa dalam ilmu-ilmu itu, ilmu yang tidak salah jadi salah. Ilmu yang berguna jadi bahaya dan mudarat. Kerana bila Tuhan tidak dibawa bersama, sains jadi Tuhan, matematik jadi Tuhan, sejarah dan sastera pun jadi Tuhan. Walaupun tidak disebut di lidah, tetapi ia bermain di hati dan terpindah kepada tindakan. Perkara ini halus dan seni. Ramai orang tidak nampak perkara ini termasuklah para ulama.

    Ekonomi pun mesti bersih dari ideologi dan sekularisme. Iaitu bersih dari riba, bersih dari tekanan, penindasan dan monopoli. Ekonomi mesti berbentuk khidmat, pembelaan dan kasih sayang. Ekonomi mestilah bertujuan untuk memberi manfaat dan memudahkan kehidupan manusia serta memenuhi keperluan lahiriah para pelanggan. Kebudayaan pula mesti untuk mengisi kekosongan jiwa dan menyegarkan kembali fitrah semula jadi manusia. Melalui kebudayaan manusia dapat merasa bertuhan dan merasa diri sebagai hamba. Kebudayaan bukan untuk melayan, merangsang atau menggelodak nafsu serakah manusia hingga membuatkan mereka jadi lalai dan alpa.
  8. Kelapan ialah membersihkan pegangan kita dari adat terutama adat yang bercanggah dengan syariat. Jangan adat mengatasi agama. Setakat belajar tentang adat tidak mengapa tetapi jangan adat itu dijadikan pegangan. Contohnya tentang pembahagian harta pusaka dalam adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan dan beberapa tempat di kepulauan Sumatera.
    Dalam adat Pepatih anak perempuan yang mendapat harta pusaka. Anak lelaki tidak dapat apa-apa. Sebahagian besar harta yang diterima oleh anak perempuan itu tidak halal di segi syarak sebab tidak dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid. Kalau perempuan itu bersuami dan suaminya itu memakan harta isterinya, dia sebenarnya memakan harta haram. Kerana harta itu bukan hak isterinya tetapi hak orang lain.
    Sebab itu, sesetengah ulama yang warak tidak mahu ber-kahwin dengan perempuan Negeri Sembilan sebab harta perempuan itu sebahagian besarnya adalah haram. Yang sedihnya, ada pihak yang mempertahankan adat ini dengan berkata "adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah." Ini semua mengarut dan bertujuan untuk mengeliru dan mengelabui mata orang. Kalau sudah bersendikan syarak, apa perlu disebut adat? Sebut sahaja syarak dan patuh sahajalah kepada kitabullah. Lagipun tidak ada sedikit pun amalan ini yang selari dengan syariat. Mana mungkin adat seperti ini dikatakan bersendikan syarak, jauh sekali bersendikan kitabullah.

Jadi, kebersihan dalam Islam itu bukan di satu aspek, di satu sudut atau di satu bidang sahaja. Misalnya di sudut akidah sahaja atau di sudut tasawuf sahaja atau di sudut ibadah sahaja. Ia juga melibatkan pemikiran, pendidikan, ekonomi, pergaulan, adat dan lain-lain lagi. Kebersihan yang dituntut dalam Islam bersifat global. Islam mahukan kita bersih dalam semua aspek.

Artikel ini adalah bagian dari buku Samudera Minda yang berisi karya Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer