Bab 17 Cinta Dunia






Cinta Dunia



Manusia ini umumnya terpisah kerana dua cinta. Pertama cinta Tuhan dan kedua cinta dunia. Orang yang cinta Tuhan, lain sifat dan wataknya. Orang yang cinta dunia pula lain sifat dan wataknya. Manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Kalau dia cinta Tuhan, dia akan menjadi hamba kepada Tuhan. Dia akan mengabdikan dirinya kepada Tuhan. Begitu juga cinta dunia atau hubbud dunia. Hubbud dunia akan menjadikan seseorang itu abdud dunia atau ubbudiatun dunia laitu hamba atau abdi kepada dunia. Dunia akan jadi matlamat hidupnya. Dia akan membuat apa sahaja dan berkorban segala-galanya untuk mendapat dunia yang diidam-idamkannya itu.

Hubbud atau cinta akan membawa kepada abdud atau ubbudiah iaitu penghambaan atau pengabdian. Orang yang bercinta, dia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Dia perlu bersusah payah dan berkorban. Dia perlu menahan perasaan. Malahan dia perlu menderita demi cintanya itu.

Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya: "Tuhan tidak menjadikan dua hati dalam diri anak Adam."

Anak Adam itu hanya ada satu hati sahaja. Kalau hati itu diisi dengan Tuhan, maka dunia tidak ada dalam hati itu. Kalau hati itu diisi dengan dunia maka Tuhan tidak ada dalam hati itu. Tidak bercampur dan tidak berkongsi tempat antara Tuhan dengan dunia dalam satu hati. Yakni tidak akan ada orang yang cinta Tuhan dan cinta dunia dalam satu masa.
Cinta dunia adalah ibu atau kepala segala kejahatan. Maksudnya cinta dunia menghasilkan, melahirkan dan membuahkan berbagai-bagai kejahatan. Apa maksud cinta dunia? Cinta dunia ialah apabila dunia sudah jadi kecintaan dan kesayangan kita. Apabila dunia sudah masuk ke hati kita. Apabila dunia sudah jadi madamat kita. Apabila hati kita telah terpaut dengan dunia.

Yang dikatakan dunia itu banyak pula aspeknya. Ada bermacam-macam aspek dan bentuknya. Kalau satu sahaja daripada aspek atau bentuk dunia itu terpaut atau terlekat di hati kita, itu pun sudah sangat berbahaya. Lebih-lebih lagilah kalau cinta dunia itu terhadap banyak dan berbagai-bagai aspek dunia.

Dunia bukan hanya terbatas kepada segala macam mata benda seperti harta dan kekayaan. Ia umum. Ia tidak semestinya hanya berbentuk material. Antara apa yang dikatakan dunia itu termasuklah kekayaan, harta, pangkat, darjah kebesaran, nama, pujian, glamor, sanjungan, populariti, ramai pengikut, kuasa, kemegahan dan kemasyhuran. Ini di antara aspek dunia yang besar-besar.

Cinta dunia pula bukan semestinya penyakit orang besar-besar atau orang kaya-kaya. Orang miskin pun boleh kena penyakit cinta dunia. Orang miskin pun boleh cinta pada harta, kekayaan, pangkat, nama, glamor dan lain-lain. Hanya benda-benda itu tidak ada pada dia. Tetapi cinta tetap cinta. Cinta dunia bukan mesti memiliki dunia tetapi ada perasaan cinta terhadap dunia walaupun dunia tidak dimiliki. Cinta tidak semestinya memiliki. Ia adalah satu perasaan di hati.

Apakah maksud segala kejahatan? Sifat cinta dunia ini boleh melahirkan berbagai-bagai dan bermacam-macam bentuk kejahatan. Itu sebab ia dikatakan ibu atau kepala segala kejahatan. Ia boleh melahirkan sifat sombong, hasad dengki, bakhil, tamak, jatuh-menjatuh, benci-membenci dan lain-lain lagi. Kalau sudah majoriti manusia dalam masyarakat bersifat begini, maka tidak akan wujud kedamaian, tidak akan ada kasih sayang, tidak akan ada bela-membela dan manusia hidup nafsi-nafsi. Akan berlaku perpecahan, pergaduhan, perbalahan, tekan-menekan, tindas-menindas dan sebagainya.

Ia tidak terhenti di situ sahaja. Cinta dunia akan melahirkan lagi penyakit lain pula iaitu cintakan diri. Orang yang cintakan diri tidak akan fikir tentang orang lain lagi. Bahkan ada orang cintakan diri sampai tidak pedulikan ibu dan ayah atau keluarga sendiri. Apatah lagi terhadap orang lain yang tidak ada kena-mengena dengan dia. Lebih-lebih lagilah dia tidak ambil peduli. Manusia yang cintakan diri ibarat pokok di hutan. Masing-masing berlawan-lawan untuk meninggikan pucuk masing-masing kerana hendak merebut cahaya matahari.

Malas bekerja juga adalah sebahagian dari cinta diri. Malas untuk berusaha. Hanya suka meminta-minta dan bergantung dengan orang lain. Tidak fikirkan tanggungjawab terhadap ibu, ayah, isteri dan anak-anak. Cinta diri seperti ini termasuklah cinta dunia.

Jelas bahawa cinta dunia itu ibu dan kepala segala kejahatan. Pada asalnya ia hanya berbentuk perasaan. Tetapi bila perasaan cinta dunia ini dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan, ia berkembang kepada luaran. Ia bertukar menjadi perangai, tabiat dan kelakuan. Disebabkan cinta dunia ini menghalang manusia mencintai Tuhan, menjauhkan manusia dari kebenaran, memusnahkan kasih sayang, merosakkan perpaduan dan mem-porak-perandakan masyarakat, maka Yahudi dan Nasoro sangat mendorong umat Islam supaya mencintai dunia. Bila umat Islam cinta dunia, mereka jadi lemah. Mereka tidak mampu menggugat Yahudi dan Nasoro. Malahan Yahudi dan Nasoro mudah sahaja memperkotak-katikkan umat Islam yang cinta dunia.

Bagaimana mulanya penyakit cinta dunia ini berlaku? Bila mulanya penyakit cinta dunia ini menjangkiti umat Islam? Kalau orang kafir cinta dunia, kita tidak hairan. Mereka itu memang cinta dunia. Di zaman Rasulullah tidak ada cinta dunia. Tetapi bagaimana umat Islam yang sepatutnya cinta Tuhan boleh bertukar mencintai dunia?

Kita tidak tahu apa bentuk cinta dunia lima ratus atau enam ratus tahun dahulu sebab kita tidak nampak. Tetapi cinta dunia di zaman ini amat jelas bagi kita kerana kita lihat ia berlaku di sekeliling kita setiap hari. Penyakit cinta dunia ini timbul secara perlahan-lahan. Selepas zaman Rasulullah, ia berlaku sedikit demi sedikit sampailah sekarang.

Cinta dunia ini ada dua bentuk. Satu cinta dunia yang ber-bentuk dunia dan satu lagi cinta dunia yang berbentuk Akhirat. Cinta dunia yang berbentuk dunia mudah dilihat dan orang senang perasan. Contohnya cinta duit, cinta kekayaan, cinta pangkat, nama, glamor, pujian dan apa yang telah kita sebut sebelum ini. Tetapi cinta dunia yang berbentuk Akhirat sukar dapat dikesan. Orang awam tidak akan faham. Ia dianggap pula suatu kebaikan dan suatu perkara yang positif. Yang empunya diri pun tidak faham dan tidak sedar. Hanya orang yang bertaqwa sahaja yang boleh nampak. Cinta dunia berbentuk Akhirat ini banyak terjadi kepada orang-orang agama dan para alim ulama.

Orang cinta dunia yang berbentuk Akhirat bermula dari gilakan fadhilat. Iaitu gilakan pahala dan kelebihan dari ibadah. Mereka beribadah bukan sangat hendakkan keredhaan Tuhan atau untuk mendapat Tuhan tetapi untuk mengumpul pahala dan fadhilat sebanyak-banyaknya. Tuhan tidak berapa diambil kira dalam ibadah mereka. Mereka ingat pahala dan fadhilat itu macam duit. Kalau dapat kumpul banyak pahala dan fadhilat, mereka rasa mereka selamat dan boleh beli Syurga di Akhirat nanti.

Orang sebegini, ceritanya tidak ada lain hanya fadhilat sahaja. Masing-masing banyak ibadah terutama ibadah yang berbentuk khususiah. Masing-masing hidupnya meriah dengan ibadah. Hidupnya meriah dengan sembahyang, puasa, baca Quran, naik haji, wirid, zikir dan sebagainya. Tidak ada siapa pun yang akan sangka bahawa dia cinta dunia. Tetapi dalam dia cinta pahala dan fadhilat itu, cinta dunianya turut subur. Dia cinta ramai pengikut, cinta dipuji, cinta disanjung, cinta nama dan cinta glamor. Ibadahnya sama meriah dengan cinta dunianya. Ibadah seperti ini tidak ada nilai di sisi Tuhan.

Dalam waktu dia banyak buat ibadah itu, dia juga banyak simpan duit dan banyak kumpul harta dan sudah mula jadi tamak. Dunia sudah masuk ke dalam hatinya. Ini peringkat permulaan. Oleh kerana ibadahnya adalah kerana pahala dan fadhilat dan bukan kerana Tuhan, maka tidak ada keikhlasan dalam ibadahnya itu. Bila ikhlas tidak ada maka dia mudah tergelincir. Dia mudah ditipu oleh syaitan. Amalan Akhiratnya pun bertukar menjadi amalan dunia. Tuhan tidak lagi menjadi matlamat hidupnya.

Begitu juga dengan ilmu agama. Ramai orang mencari ilmu agama. Ramai orang jadi ulama. Di kalangan mereka ada pula yang cinta dunia. Ada yang kejar dunia sambil berselindung di sebalik ilmu mereka. Ada yang berebut-rebut untuk makan gaji atas nama Islam dan meniti pula di atas ilmu agama. Siapa sangka ini semua cinta dunia? Orang tidak anggap ini mengejar dunia. Orang tidak perasan. Orang akan kata ulama-ulama ini pejuang-pejuang Islam. Mereka orang-orang kuat Islam. Padahal semua mereka itu bekerja untuk cari makan. Ulama berselindung di sebalik ilmu agama untuk mencari dunia dan jawatan.

Bila ramai ulama seperti ini yang merebut dunia sedangkan dunia terbatas, maka gelanggang untuk dunia jadi sempit. Peluang hendak rebut jawatan, pangkat, duit dan nama terbatas. Akan berlaku perebutan. Akhirnya datang penyakit lain iaitu hasad dengki, jatuh-menjatuh, kata-mengata dan fitnah-mem-fitnah. Maka terbuktilah kata Tuhan bahawa cinta dunia itu ibu segala kejahatan. Ia melarat-larat. Ia sambung-menyambung. Awalnya berbentuk agama dan berbentuk Akhirat. Hujungnya semua jadi dunia.

Para ulama yang tidak terlibat dengan mengejar jawatan ini sama ada kerana tidak ada peluang atau kerana imbuhannya tidak seberapa, maka mereka buka sekolah, madrasah, pondok atau pesantren. Di situ ada duit, nama dan glamor. Orang bagi bermacam-macam sumbangan. Bahkan ada yang menyerahkan anak-anak gadis mereka kepada ulama-ulama seperti ini. Inilah orang agama. Orang ramai anggap mereka itu wali sedangkan mereka itu tenggelam dalam kecintaan kepada dunia. Hakikatnya mereka itu harimau dan buaya. Hanya orang ramai tidak tahu, tidak sedar dan tidak perasan.

Dari sini lahir pula penyakit lain. Antara sekolah, madrasah, pondok dan pesantren, mereka berebut-rebut hendak mendapatkan murid yang ramai. Kerana ramai murid bererti banyak duit. Mereka berusaha menjaga pengaruh. Terjadilah kata-mengata antara pondok dan pesantren, antara sekolah dan madrasah. Pondok ini kata pondok itu lemah tauhid. Pondok itu pula kata pondok ini lemah syariat. Pesantren ini kata pesantren itu lemah tasawuf. Pesantren itu pula kata pesantren ini lemah tafsir dan sebagainya. Kalau ada murid yang berpindah ke pondok atau pesantren lain, guru lamanya tidak mengaku dia murid. Dia dikatakan murid derhaka. Bahkan murid yang berpindah itu jadi musuh kepada murid-murid di pondok atau pesantren lamanya. Bukankah ini semua cinta dunia namanya?

Apabila gelanggang sekolah, madrasah, pondok dan pesantren ini terbatas kerana sudah terlalu banyak dan telah diisi pula oleh ulama-ulama yang hebat-hebat dan sukar ditandingi, maka lahirlah pula pendakwah-pendakwah bebas. Orang kata mereka ini pendakwah ulung. Sebenarnya tidak. Mereka ini tidak boleh dan tidak mampu untuk membuka sekolah atau madrasah. Jadi mereka buka gelanggang sendiri iaitu gelanggang bebas tanpa jemaaah. Mereka bergerak sendiri-sendiri. Lagipun kalau bergerak secara beramai-ramai, kena kongsi duit dan pendapatan. Kalau bergerak sendiri-sendiri, boleh bolot duit dan imbuhan semua sekali. Tidak payah bagi kepada orang lain. Mula-mula memanglah tidak nampak komersial. Tidak pun minta duit. Tetapi orang semua faham dan sedia maklum. Orang berdakwah mesti dapat duit.

Namun ada masa dan ada kalanya orang kurang bagi duit atau orang jemu dan langsung tidak bagi duit. Maka supaya tetap boleh dapat duit, sebelum berkuliah atau berdakwah, dibuat perjanjian dahulu. Kalau hendakkan saya berkuliah, kena bayar sekian-sekian banyak termasuk sewa hotel dan makan. Maka terbukalah tembelang. Semuanya sebenarnya komersial semata-mata. Kadangkala duit yang dituntut itu bukan sedikit. Sampai empat lima ribu RM sekali kuliah. Kalau duit yang dijanjikan kurang, tidak jadi pergi. Pergi ke tempat yang janjinya lebih mahal. Maklumlah, sudah ada nama. Sudah banyak kali keluar dalam radio dan TV Sudah dapat gelaran pendakwah bebas yang terulung.

Dari situ timbul pulalah penyakit lain. Bila pendakwah bebas sudah ramai, maka datang senget-senget hati. Ada yang berkata: "Ini tempat aku berdakwah, kenapa panggil orang lain. Kenapa tidak panggil aku." Terjadilah hasad dengki satu sama lain.

Ada pula ulama yang serba-serbi tidak boleh. Hendak buka sekolah, madrasah dan pondok tidak mampu dan tidak boleh. Hendak jadi penceramah bebas pun, gelanggang sudah sempit. Maka mereka buka gelanggang nasyid. Mereka jual suara. Mereka jadi penasyid.

Akhirnya ulama berjuang sama taraf dengan orang yang cinta dunia berjuang. Kalau kerja dengan kerajaan, ulama minta gaji yang sama dan setaraf dengan orang dunia. Kalau zaman dahulu, gaji guru agama kurang dari guru biasa. Guru agama gaji RM80, guru biasa RM200. Sekarang skimnya sudah sama. Lebih-lebih lagilah dunia jadi rebutan. Ulama mana pun sekarang ini yang bekerja dengan kerajaan, baik dengan institusi-institusi agama, jabatan-jabatan agama, majlis-majlis agama, pejabat-pejabat agama atau sebagai guru atau pensyarah agama, mind-set dan sikap mereka sama dengan orang dunia yang bekerja dengan kerajaan. Fikir duit, fikir gaji, fikir elaun, fikir bonus, fikir tuntutan perjalanan dan hotel, fikir pinjaman kereta, pinjaman rumah, fikir kenaikan gaji, kenaikan pangkat dan apabila pencen, fikir berapa pencen dan imbuhan yang dia akan dapat.

Di zaman dahulu, orang-orang agama, kalaupun bekerja dengan kerajaan, mereka pakai serban. Paling tidak pakai kopiah putih atau songkok. Sekarang, bila skim gaji sudah sama, serban, kopiah dan songkok pun entah ke mana. Sudah tidak pakai lagi. Susah hendak kenal yang mana pegawai, yang mana DO, yang mana kadi dan yang mana ustaz. Identiti sudah sama. Semua pakai bush-jacket, kot dan tali leher.

Disebabkan ulama-ulama ini sudah mempunyai mindset dan sikap sama seperti orang dunia maka mereka sudah tidak mampu lagi untuk memperjuangkan hak Tuhan, untuk meninggikan kalimah Tuhan dan untuk mendidik dan memimpin umat. Agama tidak hidup dan tidak subur lagi di tangan mereka. Mereka tidak lagi memperjuangkan agama tetapi menjadi ahli agama yang mencari dunia atas nama agama. Justeru, mereka menjadi penghalang kepada pejuang-pejuang kebenaran yang hak. Tidak cukup dengan mengorbankan agama untuk dunia mereka, mereka jadi musuh dan penentang pula kepada pe-

juang-pejuang kebenaran yang mereka itu telah mengorbankan dunia mereka untuk agama. Sekarang, siapa yang mengorbankan dunia untuk agama dan siapa pula yang mengorbankan agama untuk dunia. Dunia sudah terbalik.

Artikel ini adalah bagian dari buku Samudera Minda yang berisi karya Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer