Bab 12 Lima Kesusahan Orang Mukmin






Lima Kesusahan Orang Mukmin



Ada Hadis yang bermaksud:

"Orang mukmin itu berhadapan dengan lima jenis kesusahan."

Orang mukmin di sini bermaksud orang yang bertaqwa. Bila disebut mukmin dalam Quran atau Hadis ertinya orang yang bertaqwa. Kecuali kalau istilah mukmin itu dikuti dengan istilah lain yang membawa maksud yang lain. Contoh nya mukmin 'asi yang bermaksud mukmin yang derhaka. Maka istilah mukmin di sini tidak lagi bermakna orang yang bertaqwa tetapi orang beriman yang derhaka.

Adapun lima jenis kesusahan atau musuh bagi orang mukmin itu ialah:

  1. Hasad dengki orang mukmin yang lain
  2. Nafsu dalam diri
  3. Syaitan yang sentiasa hendak menyesatkan
  4. Orang munafik
  5. Orang kafir

Kelima-lima kesusahan atau musuh ini tentu memerlukan huraian dan penjelasan terutama di dalam konteks kehidupan di zaman moden ini. Nama atau istilahnya mungkin sama seperti di zaman Rasulullah tetapi hakikat kesusahan atau musuh itu berubah dan berbeza. Lebih-lebih lagilah cara untuk kita berhadapan dengan kesusahan dan musuh-musuh tersebut dalam suasana dan keadaan yang wujud pada zaman ini. Tentulah ianya juga sangat berbeza.

1. Hasad dengki orang mukmin yang lain

Sudah menjadi lumrah hidup bahawa orang mukmin itu akan dihasad oleh orang mukmin yang lain atas berbagai sebab. Boleh jadi kerana cemburu sebab orang mukmin itu menempa kejayaan. Atau mereka mendapat perhatian dan sokongan masyarakat. Atau mereka mendapat pengaruh melebihi orang mukmin yang hasad itu, lebih-lebih lagi kalau yang hasad itu mempunyai kuasa dan autoriti. Boleh jadi juga kerana orang mukmin yang hasad dan mempunyai kuasa itu bimbang dan takut rahsia dan kelemahan mereka akan terbongkar.

Cara untuk berhadapan dengan mukmin yang hasad dengki ini tidak boleh dilakukan secara sembrono. Kita tidak boleh hadapi mereka secara depan-berdepan atau membalas kejahatan mereka dengan kejahatan. Mereka ada pengaruh atau kuasa dan sebahagian masyarakat yang tidak faham meyakini mereka. Kalau dihadapi secara berdepan akan timbul konflik. Masyarakat akan keliru dan akan mengambil pihak. Akan berlaku pecah belah. Ini merugikan masyarakat Islam. Atau orang mukmin hasad itu mungkin akan menggunakan kuasa dan Pengaruh mereka untuk menekan dan menindas. Ini lagi akan memecah-belahkan masyarakat Islam dan akan menimbulkan ketegangan.

Adalah baik kejahatan mereka itu tidak dibalas malahan didiamkan sahaja. Dibuat tidak tahu sahaja. Sikap ini boleh membendung masalah supaya tidak menjadi lebih besar atau lebih rumit. Masyarakat juga akan selamat dari kekeliruan dan
ketegangan.

Lebih baik lagi kalau kejahatan mereka itu dibalas dengan kebaikan. Ini memang disarankan oleh Rasulullah SAW. Baginda ada bersabda:

Maksudnya: "Hendaklah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kamu."

Tindakan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat ini bukan sahaja boleh membina harmoni malahan boleh menyedar dan menginsafkan mereka yang hasad itu.

Kalau diam tidak boleh, membalas dengan kebaikan juga tidak boleh, maka elok didoakan sahaja mereka itu supaya Tuhan memaafkan mereka, memberi mereka petunjuk dan mengubah sikap mereka.

2. Nafsu dalam diri

Sangat susah untuk berhadapan dengan nafsu dalam diri kita. Terutamanya kalau kita sudah merasakan yang nafsu itu adalah penasihat. Kita tidak sedar dan tidak perasan. Sepatutnya akal itu jadi penasihat. Tetapi apabila nafsu telah mengambil alih peranan akal secara tidak sedar, kita akan dengar dan terima nasihat nafsu. Akal akan digunakan untuk mengiakan kehendak nafsu.

Nafsu sangat menyuruh kepada kejahatan dan kemungkaran. Dia sangat tamak, bakhil, tidak tahan susah dan pantang dicabar. Untuk mengawal dan mendidik nafsu, perlu ada ilmu tentangnya. Ilmu itu pula perlu luas, halus dan seni.

3. Syaitan yang sentiasa hendak menyesatkan

Highway atau jalan masuk bagi syaitan untuk menyesatkan kita ialah melalui nafsu. Kalau nafsu tidak terkawal dan tidak terdidik maka luaslah jalan masuk bagi syaitan. Jalan-jalan syaitan ialah sifat-sifat mazmumah seperti tamak, pemarah, sombong, ego, bakhil dan sebagainya.

Oleh itu, hakikatnya nafsu adalah lebih jahat dari syaitan. Kerana kalau nafsu terkawal atau terdidik, syaitan tidak ada jalan untuk mempengaruhi dan menyesatkan kita.

Syaitan boleh masuk ke dalam diri kita melalui nafsu seperti jin. Kalau sudah masuk ke dalam diri, dikotak-katiknya kita. Dia boleh berdialog terus dengan akal dan hati kita. Dibisiknya kepada akal dan hati kita perkara-perkara yang memesong dan menimbulkan was-was dan keraguan. Telinga tidak dapat mendengar bisikan-bisikan syaitan ini.

Tipuan dan bisikan syaitan sangat halus. Manusia mudah terjebak dan tertipu olehnya. Dia bermula dengan merosakkan aqidah. Kalau ini dia berjaya lakukan, maka dia telah menang dengan sekali pukulan sahaja. Kalau dia tidak berjaya merosakkan aqidah, dia akan merosakkan amalan. Dia akan was-waskan orang supaya orang jemu dan letih untuk beramal. Kalau ini tidak berjaya, dia akan cuba merosakkan hati orang supaya riyak atau ujub atau berhasad dengki. Ini semua akan merosakkan amalan. Syaitan tidak jemu dan tidak letih untuk menipu dan menyesatkan manusia.
Contoh halusnya tipuan syaitan, dia (S) akan berbisik kepada manusia (M) seperti berikut:

  • S: Tuhan itu tak ada.
  • M: Mana boleh, dunia ini ada, pasti Tuhan ada.
  • S: Betul engkau.
  • S: Tuhan itu ada dua, sebab kerja Tuhan itu banyak. Mana cukup satu sahaja. Letihlah dia.
  • M: Tuhan itu Esa. Dia Maha Berkuasa. Dia tidak lemah. Dia tidak letih.
  • S: Betul engkau. Sebab kerja Tuhan itu banyak dan dia satu sahaja, tentu dia ada enam tangan.
  • M: Tidak. Tuhan tidak seperti makhluk. Tuhan tidak ada tangan.
  • S: Betul engkau.
  • S: Tuhan ada malaikat. Kalau Dia sudah tidak larat buat kerja, tentu Dia minta tolong dengan malaikat.
  • M: Mungkin juga.

HABIS!! Maka rosaklah aqidah manusia. Tidak larat itu bukan sifat Tuhan. Minta tolong dengan makhluk itu juga bukan sifat Tuhan. Tuhan tidak lemah dan tidak perlukan pertolongan makhluk. Halus dan bijak tipuan syaitan.
Oleh itu, jangan dilayan dan jangan dilawan bisikan syaitan. Jangan ambil peduli bisikan-bisikannya. Serahkan sahaja semuanya kepada Tuhan.

4. Orang munafik

Takrif munafik ialah melahirkan Islam dan menyembunyikan kekufuran. Namun ada perbezaan orang munafik di zaman Rasulullah SAW dengan orang munafik di zaman ini. Orang munafik dahulu, dia tahu dan dia sedar yang dia munafik. Dia tahu dia tidak beriman. Dia hanya mempamerkan Islam untuk menipu umat Islam.

Munafik sekarang pula lain. Dia yakin dia Islam. Dia sembahyang, berpuasa, bahkan naik haji. Tetapi ada perkara dalam Islam yang dia ragu. Dia ragu rezeki datang dari Tuhan. Lalu dia menghambakan diri kepada manusia. Kepada ketuanya atau taukenya, dia mengikut sahaja kehendak mereka walaupun bertentangan dengan hukum Tuhan. Dia ragu dengan sistem pemerintahan Islam. Dia yakin dengan demokrasi. Dia ragu dengan sistem pendidikan Islam. Dia yakin dengan sistem pendidikan Barat. Dia ragu dengan sistem ekonomi Islam. Dia yakin dengan sistem kapitalis dan sistem riba. Dia ragu dengan sistem perundangan Islam. Dia yakin dengan sistem perundangan sekular.

Inilah munafik di zaman ini. Mereka melahirkan Islam bahkan mereka seperti orang alim dan warak tetapi banyak perkara dalam Islam yang mereka ragukan dan mereka kufurkan. Munafik seperti ini bukan sedikit. Sesetengah mereka menguasai institusi-institusi ulama dan negara. Ada di antara mereka yang dianggap sebagai tokoh-tokoh Islam.

5. Orang kafir

Orang kafir ialah orang Kristian, Hindu, Buddha dan sebagai-nya. Mereka ini pandai. Mereka tidak akan perangi umat Islam. Kalau mereka perangi juga, dunia akan kutuk mereka.

Selagi umat Islam mengamalkan Islam seperti yang diajar oleh Rasulullah, membawa kasih sayang, hidup bersama dan bantu-membantu, bertoleransi dan hidup aman damai, mereka akan bingung. Mereka tidak boleh buat apa-apa. Namun kalau umat Islam kasar dan militan, mereka akan bertindak. Mereka akan menuduh umat Islam dengan bermacam-macam tuduhan dan akan menyerang umat Islam atas alasan memerangi keganasan.

Dengan orang kafir, kita mesti hadapi mereka dengan melahirkan sistem-sistem hidup alternatif iaitu sistem hidup Islam yang berbeza dengan sistem hidup mereka. Islam akan nampak cantik dan indah, penuh kasih sayang, toleransi, hormat-menghormati, bela-membela dan selamat lagi menyelamatkan. Mereka akan dapat membuat perbandingan sistem mana yang lebih baik. Kerana dalam sistem hidup mereka hanya ada tindas-menindas, tekan-menekan, tipu-menipu, hidup nafsi-nafsi, yang kuat menekan yang lemah, yang kaya memperalatkan yang miskin dan sebagainya. Mereka akan jatuh hati dan menerima kehadiran Islam. Akan ada yang memeluk Islam. Kalau mereka tidak memeluk Islam pun, mereka tidak akan menentang.

Artikel ini adalah bagian dari buku Samudera Minda yang berisi karya Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer