Bab 11 Sunnatullah






Sunnatullah



Apakah itu sunnatullah? Sunnatullah ialah hukum Allah. Ia adalah peraturan, sistem dan ketentuan Allah untuk hamba-hamba-Nya di dunia ini sama ada hamba-hamba-Nya yang bernyawa atau yang tidak bernyawa. Tuhan adakan sistem dan peraturan atau sunnatullah ini untuk dipatuhi oleh sesama makhluk dari azali lagi. Kalau diikut sistem dan peraturan ini maka hamba atau makhluk itu akan selamat. Kalau tidak diikut, makhluk atau hamba itu akan binasa. Lain makhluk, lain sistem dan sunnatullah yang wajib dipatuhinya. Ada sistem untuk tumbuhan. Ada sistem untuk haiwan. Ada sistem untuk manusia. Ada sistem untuk jin dan malaikat. Masing-masing makhluk mesti mengikut sistem yang dikhususkan untuknya.

Kalau tumbuhan dan kayu-kayan tidak mengikut sunnatullah yang dikhaskan untuknya, dia tidak akan selamat. Dia akan binasa. Haiwan juga begitu. Kalau dia tidak mengikut sunnatullah yang dikhaskan untuknya, dia akan binasa.

Makhluk seperti semut pun, ada sunnatullah atau sistem untuk nya. Kalau dilanggar, semut akan musnah. Kita tidak faham tetapi semut faham. Begitu juga benda-benda jamadat seperti air dan batu-batan, dan makhluk seperti jin dan malaikat. Ada sunnatullah untuk mereka. Hanya bezanya malaikat itu makluk yang taat. Dia tidak njelanggar sunnatullah.
Sunnatullah itu sifatnya ia tidak berubah-ubah. Tuhan berfirman:

Maksudnya: "Dan sekali-kali engkau tidak akan dapat sunnah Tuhan itu berubah-ubah." (Ahzab: 62/Al Fath: 23)

Maksudnya: "Sekali-kali engkau tidak akan dapati sunnah Tuhan itu bertukar ganti." (Al Fathir: 43)

Maksudnya: "Dan sekali-kali engkau tidak akan dapati sunnah Tuhan itu beralih." (Al Fathir: 43)

Tuhan itu Maha Berdisiplin. Setelah ditetapkan sunnah-Nya Dia tidak mengubahnya sampai bila-bila walau dalam keadaan apa sekalipun. Ada banyak hikmah kenapa Tuhan berbuat begitu. Semuanya merupakan rahmat untuk hamba-hambaNya.

Bila sunnatullah tidak berubah-ubah, kita mudah belajar dan mudah tahu kerana ia perkara yang tetap yang berlaku setiap masa. Bila mudah tahu maka mudah pula kita patuh kepada sunnatullah itu.

Disebabkan sunnatullah tidak berubah-ubah, maka hidup kita menjadi teratur. Hidup kita menjadi regulated dan bersistem. Selepas siang, kita tahu ada malam. Selepas malam, kita tahu akan datang siang. Ia silih berganti secara tetap. Kalau malam dan siang tidak tetap dan berubah-ubah, hidup kita akan menjadi kucar-kacir. Gula itu manis secara tetap. Garam pun masin secara tetap. Kalau manis gula dan masin garam tidak tetap yakni ia berubah-ubah, maka sukar bagi kita untuk mem-bancuh teh dan kopi dan untuk memasak. Air pula mengalir dari lompat tinggi ke tempat rendah, dari daratan ke lautan. Kalau sunnah ini berubah dan air mengalir dari lautan ke daratan, hidup kita dalam bahaya. Inilah yang berlaku bila terjadi tsunami.

Begitu juga, apabila sunnatullah itu tetap dan tidak berubah-ubah, semuanya berjalan secara teratur. Kita akan dapat rasakan bahawa dunia ini ada yang menyusun, ada yang mengatur dan ada yang mentadbirnya. Dunia tidak dibiarkan berfungsi dengan sendiri ikut sesuka hati tanpa sebarang sistem. Justeru kita akan dapat merasakan kehadiran dan peranan Tuhan dalam mentadbir dunia dan alam ini. Itulah satu dari tanda-tanda kebesaran Tuhan kalau kita mahu mengambil iktibar.

Jangan kita ubah sunnah Tuhan. Jangan kita langgar sunnah Tuhan. Nahas besar bagi sesiapa yang berbuat demikian.
Sekali sekala, Tuhan terbalikkan sunnah-Nya itu. Ada kalanya a api tidak membakar seperti kisah Nabi Allah Ibrahim. Ada orang tidak lemas setelah 40 hari ditelan ikan nun (paus) seperti kisah Nabi Allah Yunus. Ada anak lahir tanpa bapa seperti Nabi Allah Isa. Ada orang wujud tanpa ibu dan bapa seperti Nabi Allah Adam. Ada orang hidup kembali setelah mati selama 100 tahun seperti kisah Uzair. Ini semua adalah untuk menjaga aqidah manusia supaya orang tidak bertuhankan sunnatullah atau benda-benda lain selain Allah atau beriktikad bahawa Tuhan juga tertakluk kepada sunnah-Nya.
Khusus bagi manusia, sunnatullah itu ada dua bentuk:

  1. Karhan (terpaksa)
  2. Tau'an (ada pilihan)

KARHAN

Sunnatullah yang berbentuk karhan ini banyak bersifat lahiriah. Kalau dilanggar, kebinasaannya berlaku serta-merta atau secara segera. Contohnya, Tuhan sudah sunnahkan bahawa manusia perlu bernafas. Bernafas pula mesti dengan udara. Kalau ada manusia yang tidak mahu bernafas, maka dia akan mati. Kalau dia tidak mahu bernafas dengan udara dan mahu tukar pula bernafas dengan air, maka dia telah melanggar sunnatullah. Dia juga akan mati.

Tuhan sudah sunnahkan bahawa manusia akan merasa lapar dan dahaga. Untuk menghilangkan lapar, manusia perlu makan. Untuk menghilangkan dahaga, manusia perlu minum. Ini cara Tuhan menentukan supaya manusia itu sentiasa berada dalam keadaan sihat, kuat dan wal'afiat. Tetapi kalau ada orang hendak menghilangkan lapar dengan berjoging dan menghilangkan dahaga dengan memanjat pokok, maka dia sudah melanggar sunnatullah. Lapar dan dahaga tidak akan hilang dengan berjoging atau memanjat pokok. Malahan lapar dan dahaga itu akan bertambah, bukan berkurangan.

Kalau manusia mahukan anak, dia kena berkahwin. Ini sunnatullah. Kalau dia bertapa di perdu buluh betong untuk men dapat anak, sampai bila pun dia tidak akan mendapat anak kerana itu bukan sunnatullah yang telah Tuhan tetapkan. Tidak ada anak buluh betong. Itu hanya dongeng. Dongeng bukan sunnatullah.

Sunnatullah yang berbentuk karhan ini ramai orang taat dan patuh kerana mereka terpaksa. Kalau tidak patuh, balasan atau kebinasaannya datang segera. Orang Islam mahupun orang kafir, semuanya patuh.

TAU'AN

Sunnatullah yang berbentuk tau'an ini banyak yang bersifat-rohaniah dan maknawiah. Tidak semua orang tahu. Hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang mengetahuinya. Sunnatullah yang berbentuk tau'an ini manusia boleh memilih untuk taat atau ingkar. Namun kalau sunnatullah berbentuk tau'an ini dilanggar dan manusia ingkar, mereka tetap akan binasa. Hanya kebinasaan itu ditangguhkan. Ia tidak berlaku serta-merta atau secara segera. Walau bagaimanapun kebinasaan akan tetap berlaku. Kalau tidak di akhir hayat, pasti di Akhirat akan binasa juga dan dicampak ke dalam Neraka. Siapa yang melanggar sunnatullah tau'an ini, dia sebenarnya melanggar hukum dan perintah Tuhan.

Perintah Tuhan supaya manusia beriman kepada Allah, taat pada rasul, melaksanakan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang, itu termasuk sunnatullah yang berbentuk tau'an. Manusia boleh pilih untuk patuh atau ingkar. Namun kalau dilanggar atau diingkari, lambat-laun pasti akan dihukum dan binasa juga.
Begitu juga dengan janji-janji Tuhan untuk orang-orang soleh, mukmin dan bertaqwa seperti di dalam ayat-ayat berikut:

Maksudnya: "Dan Dia (Allah) melindungi orang-orang yang soleh." (Al A'raf: 196)

Maksudnya: "Berhak atas Kami, Tuhan menolong orang-orang mukmin." (Ar Rum: 47)

Maksudnya: "Tuhan itu pembantu bagi orang-orang bertaqwa." (Al Jasiyah: 19)

Ini semua adalah sunnatullah. Kalau hendak selamat serta dilindungi Allah, kena jadi orang yang soleh. Kalau hendak mendapat pertolongan, kena jadilah orang yang mukmin. Kalau hendak mendapat pertolongan dan bantuan Tuhan, kena jadi orang bertaqwa. Sunnatullah ini tidak berubah. Keselamatan pertolongan dan bantuan akan diperolehi oleh orang mukmin dan bertaqwa di dunia lagi kecuali atas dua sebab:

  • Kerana hendak jaga aqidah
  • Kerana Tuhan hendak bagi yang lebih besar lagi di Akhirat nanti.

Pertolongan dan bantuan yang Tuhan bagi ke atas individu yang bertaqwa mudah dilihat dan dikesan. Tetapi pertolongan dan bantuan yang Tuhan bagi di atas dasar sebuah jemaah sukar hendak dikesan. Ini kerana pertolongan dan bantuan Tuhan itu dirata dan dipelbagaikan. Ada ahli jemaah yang dijadikan kaya, ada yang diberi ilmu. Ada yang penyantun dan berkasih sayang. Ada yang pandai membuat perhubungan. Ada yang pandai mendidik. Ada yang pandai mentadbir dan sebagainya. Seperti juga di dalam sesebuah masyarakat, akan berlaku saling bantu membantu, kuat menguat dan perlu memerlukan kerana jemaah itu hakikatnya adalah sebuah masyarakat yang kecil.

Barulah jemaah itu jadi cantik dan indah. Kalau dalam sesebuah jemaah itu semua ahlinya hanya kaya-kaya belaka atau hanya alim-alim belaka, maka tidak ada indahnya. Jemaah seperti itu tidak akan dapat berfungsi dengan baik. Tidak ada ikatan di antara ahli-ahlinya. Tidak wujud perlu-memerlukan dan kuat-menguatkan di kalangan ahli. Tidak ada kepelbagaian kemahiran dan kebolehan.

Jemaah ibarat satu team bola sepak. Setiap pemain ada tugas dan peranannya masing-masing. Penyerang tugasnya mendapatkan gol. Penjaga gol pula tugasnya menjaga gawang. Begitu juga pemain-pemain yang lain. Ada yang di bahagian perta-hanan. Ada di bahagian sayap. Ada midfielder atau playmaker. Kita tidak boleh marahkan penjaga gol kerana tidak pernah skor gol. Itu bukan kerja dia. Tetapi, pengaja gol dan pemain-pemain lainlah yang banyak mengumpan bola kepada penyerang untuk dia mendapatkan gol.

Adalah juga menjadi sunnatullah bahawa kalau manusia semuanya jahat-jahat belaka, Tuhan akan musnah dan binasakan mereka, kecuali kalau ada orang-orang yang bertaqwa di kalangan mereka. Ini yang orang tidak tahu. Ulama pun tidak faham. Bumi ini tidak akan Tuhan kiamatkan selagi ada manusia vang menyebut nama Tuhan. Kalau sudah tidak ada lagi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan dan sudah tidak ada lagi orang yang menyebut nama Tuhan, maka bumi ini akan Tuhan kiamatkan. Tidak ada nilai apa-apa bumi ini kepada Tuhan kalau sudah tidak ada lagi orang yang bertaqwa di atasnya. Manusia yang hidup dan dapat melihat berlakunya Kiamat sebenarnya bukan manusia lagi. Mereka itu haiwan yang bertopengkan manusia. Mereka tidak beriman. Mereka berbuat maksiat dan kemungkaran terang-terangan tidak ubah seperti lembu dan kambing. Orang yang sebesar zarah iman pun akan Tuhan matikan sebelum berlakunya Kiamat.

Oleh itu kita kena ajak manusia supaya ikut sunnah Tuhan. Jangan ingkar dan jangan langgar sunnah Tuhan. Kelak kita akan binasa. Kita kena ajak manusia supaya beriman dan bertaqwa. Ini yang akan menyelamatkan kita dan sekaligus bumi ini dari kebinasaan dan kemurkaan Tuhan.

Artikel ini adalah bagian dari buku Samudera Minda yang berisi karya Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer