Bab 03 Siapa Yang Zalim






Untitled Document



Istilah zalim dalam Islam luas maksudnya. Tetapi umumnya umat Islam hanya memahami kezaliman itu dalam skop yang kecil, sempit dan terbatas. Oleh yang demikian, ramai umat Islam terperangkap dalam kezaliman atau terlibat dengan kezaliman atau berlaku zalim tanpa mereka sedar. Kerana ini juga, ramai umat Islam mudah melihat kezaliman orang lain tanpa menyedari bahawa mereka sama-sama zalim atau mereka lebih zalim lagi dari orang yang mereka anggap sebagai zalim itu.

Orang yang zalim itu ialah orang yang berada dalam kegelapan. Istilah zalim berasal dari perkataan zulumat yang bermaksud "kegelapan".

Lawan kepada zalim ialah adil. Dalam Al Quran ada disebut:

Maksudnya: "Adil itu lebih hampir kepada taqwa." (Al Maidah: 8)

Kalau adil itu lebih hampir kepada taqwa, maka zalim itu sudah tentu jauh dari taqwa.

Zalim itu berbagai-bagai bentuk. Ada tujuh aspek atau kategori zalim. Ianya seperti berikut:

1. Zalim dengan Tuhan

Inilah aspek atau kategori zalim yang tertinggi. Zalim dengan Tuhan ini termasuklah kufur, syirik, tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan, tidak peduli dengan Tuhan, lupa Tuhan dan dalam kehidupan atau dalam sistem hidup, tidak terhubung dengan Tuhan. Walhal Tuhan menghendaki supaya apa sahaja yang kita buat atau yang kita kerjakan di atas muka bumi ini mesti terkait dan terhubung dengan Tuhan.

2. Zalim melalui perbuatan anggota badan

Tuhan menganugerahkan kita pancaindera dan anggota badan seperti mata, telinga, lidah, tangan dan kaki. Kalau semua ini disalahgunakan dan digunakan dengan tidak mengikut kehendak Tuhan, maka kita telah melakukan kezaliman.

Mata melihat yang haram, telinga mendengar yang haram, lidah berkata yang haram seperti berbohong dan mengumpat, tangan berbuat yang haram seperti mencuri atau memukul orang dan kaki berjalan ke tempat yang haram, semua itu adalah kezaliman.

Semua anggota dan pancaindera mesti digunakan untuk membuat kebaikan dan berjuang ke jalan Allah. Orang yang tidak berjuang itu adalah zalim. Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (dengan tidak berjuang ke jalan Allah)." (Al Baqarah: 195)

3. Zalim yang terhubung dengan harta

Harta itu hak mutlak Tuhan. Ia hanya dipinjamkan kepada manusia supaya ditadbirkan dan diagihkan mengikut kehendak Tuhan. Oleh itu ia mesti digunakan selaras dengan kehendak Tuhan. Ia tidak boleh digunakan pada jalan maksiat atau yang haram. Zakat yang meVupakan hak fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lapan mesti dikeluarkan. Kalau ini diabaikan, ia merupa kan suatu kezaliman. Orang yang tidak mengorbankan hartanya ke jalan Allah adalah orang yang zalim.

4. Zalim terhadap manusia lain

Ini seperti memukul, mengata, memfitnah, memberi malu, men-| curi dan merompak barang orang dan sebagainya.
Zalim seperti inilah yang dibesar-besarkan oleh orang. Zalimi seperti inilah yang banyak diperkatakan di media massa danj dijadikan isu sama ada di suratkhabar, radio dan televisyen.

5. Zalim berkait dengan kuasa dan jawatan

Tidak kiralah jawatan apa, asalkan ada kuasa dan disalahguna-kan, maka itu adalah satu kezaliman. Ini melibatkan presiden, perdana menteri, menteri, DO, pengarah, pegawai, pengurus hatta kerani atau pelayan pejabat sekalipun.

Bila kuasa digunakan sesuka hati atau disalahgunakan dan tidak mengikut kehendak Tuhan, maka itu adalah suatu kezaliman.

Kezaliman seperti ini juga banyak diperkatakan oleh orang dan dimain-mainkan oleh media massa.

6. Zalim terhadap ilmu

Ilmu juga seperti harta dan kekayaan. Ia diberi oleh Tuhan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, tidak kira ilmu dunia ataupun ilmu agama. Apabila ilmu digunakan untuk bermegah, sombong, untuk mendapat glamour, jawatan, pengikut, untuk, cari duit, pengaruh dan untuk kepentingan diri dan tidak untuk mengenal diri, mengenal Tuhan dan tidak untuk berbakti kepada manusia, maka ia adalah satu kezaliman.

7. Zalim dengan perasaan (iaitu roh atau hati)

Roh atau hati itu, peranannya adalah untuk berperasaan seperti suka, duka, sedih, takut, cinta, cemas dan sebagainya. Sepatutnya segala rasa-rasa ini adalah untuk Tuhan. Kita patut cinta dan takut kepada Tuhan. Kalau terbuat dosa, kita patut rasa cemas dengan kemurkaan Tuhan. Sedih kalau-kalau dosa kita tidak diampun. Kalau perasaan-perasaan ini tidak dirasakan kerana Tuhan tetapi hanya dirasakan kerana makhluk, maka itu adalah satu kezaliman.

Contohnya, yang disedihkan bukan kerana dosa yang tidak diampun tetapi kerana sakit, susah, miskin, orang tidak sayang, difitnah, dihina dan sebagainya. Yang ditakutkan bukan Tuhan tetapi kalau tidak naik pangkat, diturunkan pangkat atau kalau dipulaukan orang. Yang dicintai bukan Tuhan tetapi isteri, anak dan harta benda hingga semua itu lebih diutamakan dari Tuhan.

Kalau beginilah erti dan hakikat zalim dalam Islam, siapa berani mengaku yang dia tidak zalim. Kita besarkan dan hebohkan tentang kezaliman orang kepada kita tetapi kita tidak sedar bahawa kita lebih zalim lagi. Besar kemungkinan Tuhan izinkan orang menzalimi kita kerana kita sendiri telah berlaku zalim dengan Tuhan melalui perbuatan kita atau dengan harta kita dan sebagainya dan kita tidak taubatkan. Hakikatnya, orang yang menzalimi dan yang dizalimi mungkin sama sahaja statusnya atau mungkin orang yang dizalimi itu lebih teruk lagi dan layaklah dia menderita dari kezaliman orang lain.

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh mengelak diri kita dari berlaku zalim dalam semua aspek atau kategori yang disebut di atas terutama zalim kita dengan Tuhan. Kerana kezaliman kita dengan Tuhanlah yang menyebabkan kita terjebak dengan kezaliman di aspek-aspek yang lain. Bila hubungan kita dengan Tuhan rosak atau lemah, maka Tuhan tidak pimpin kita 'agi dan kita mudah buat kesilapan dan kezaliman.

Juga, marilah kita berhenti dari menuding jari menuduh orang lain zalim kerana besar kemungkinan kita lebih zalim dari mereka kalau diukur dengan kacamata Islam. Kita kena merasakan yang diri'kita inilah yang zalim. Merasakan diri kita zalim itu disuruh Tuhan kerana merasa diri zalim adalah sifat hamba. Kita wajib kekalkan sifat hamba pada diri kita. Kalau kita sendiri sudah merasakan yang kita ini zalim, sudah tentu kita tidak tergamak untuk menuduh orang lain zalim.

Mungkin juga dengan sentiasa merasakan bahawa diri kita ini zalim, maka mudahlah kita membasahkan lidah kita dan lebih-lebih lagi hati kita dengan kalimah-kalimah taubat.

Artikel ini adalah bagian dari buku Samudera Minda yang berisi karya Abuya Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer