Pemimpin Kebenaran
Pemimpin Kebenaran
Di dalam satu perjuangan kebenaran mestilah satu pimpinan
Pemimpinlah yang memberi ilmu, minda dan didikan
Siapa yang datang kemudian walau bijak macam mana sekalipun dia tidak boleh campur tangan
Dia kenalah menerima ilmu, minda, didikan dari pimpinannya
Walaupun ideanya tidak menyalahi, idea pemimpin mesti didahulukan
Bila satu pimpinan dari pemimpin nombor satu
Akan lahirlah aqidah yang satu, fikiran yang satu di dalam satu barisan
Pengikut-pengikutnya sangat berdisiplin terutama di dalam ibadahnya
Sikap dan tindakan tidak jauh perbezaan
Barulah dapat dilihat begitu cantik ahli-ahli di dalam barisan
Kerana itulah pemimpin nombor satu bukan calang-calang orang
Ilmunya cukup, wibawanya tinggi, mindanya tidak kehabisan
Agar siapa sahaja yang datang kemudian di kalangan cerdik pandai boleh menerima pimpinannya
Dia disegani, dihormati kerana mempunyai wibawa dan peribadi yang tinggi
Oleh itu pemimpin tidak boleh jadi rebutan
Kalau wibawa seseorang itu tidak cukup terserlah sekadar pandai bercakap sahaja, siapa boleh hormati
Pemimpin Islam itu sebenarnya peribadinya adalah bayangannya
Kerana itulah jemaah kebenaran sedikit sekali daripada anggotanya di kalangan ulama
Lantaran ulama tidak sanggup menerima pimpinannya
Tapi manakala sebuah jemaah Islam itu disiplinnya longgar
Pemimpinnya pula kurang berwibawa
Para-para ulama akan berani berada di sana kerana masing-masing mahu mencorak
Akibatnya lahirlah pimpinan di dalam pimpinan
Tidak akan terjadilah satu aqidah, satu fikiran dan satu jalan di dalam satu barisan
Inilah yang berlaku kepada jemaah-jemaah Islam di akhir zaman
Kerana itulah pemimpin Islam tidak dilantik oleh jari
Tapi dilantik oleh fitrah semulajadi, macam kedatangan nabi
Panduan Mencari Pemimpin
Selepas Asar
25.8.99
Di antara rahmat dan kasih sayang Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya sepanjang zaman sejak Nabi Adam Alaihissalam
Diutus para rasul dan para nabi
Para rasul adalah pemimpin umum di zamannya pada umatnya
Para nabi pemimpin khusus di bidang ibadah dan akhlak di zamannya
Walaupun para nabi tidak wajib menyampaikan
Tidak salah pula dia menyampaikan dan umat di masa itu menteladaninya
Selepas Muhammad Rasul SAW, para rasul dan nabi sudah tiada lagi
Yang ada hanya ‘rasul yang bukan rasul’ dan ‘nabi yang bukan nabi’
Iaitu ulama yang berwatak dan bersifat rasul dan ulama yang berwatak dan bersifat nabi
Ulama yang berwatak nabi ia datang di setiap zaman
Ulama yang berwatak rasul ia datang di setiap awal kurun
Ulama yang berwatak rasul ada diberitakan oleh Nabi itulah dia mujaddid
Begitulah di antara jadual dan ketentuan Tuhan buat umat Nabi Muhammad
Siapa yang boleh memahami jadual ini dan bertindak mengikut jadual, dia selamat
Siapa sahaja tidak faham jadual atau faham tapi tidak mengikutnya, pasti rosak
Kita sekarang sudah berada di awal kurun
Pasti sudah lahir dan berperanan seorang ‘rasul yang bukan rasul’ iaitu mujaddid
Yang lebih mudah dicari Hadis membawa berita ia lahir di sebelah Timur
Bagi orang yang ingin pimpinan mudah sahaja mencari
Moga-moga kita sudah bertemu dengan orangnya
Siapa yang bertemu wajib memberi taat setia
Siapa yang taat setia insya-Allah selamat di dua negara
Selepas Asar
13.9.99
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 950 reads
Post new comment