Pejuang Kebenaran Menegakkan Keadilan
Pejuang Kebenaran Menegakkan Keadilan
Orang-orang Tuhan dan kekasih-Nya penuh dengan penderitaan dan kesengsaraan
Tersingkir dan terbuang dari tanah airnya dikeluarkan daripada kampung halaman, dizalimi oleh penguasa-penguasa di zamannya,lumrah sahaja kepada mereka
Miskin dan papa pula, pengikut-pengikutnya peringkat awalnya adalah golongan bawahan yang dhaif-dhaif dan tidak ada kuasa
Berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat, membawa kebenaran, melarikan iman, kalau-kalau ada orang yang boleh menerimanya di dalam perantauan
Namun mengaku kalah dan putus asa tidak ada di dalam kamus hidup mereka
Setelah berjuang beberapa lama, sesudah menerima ujian demi ujian, bersama pengikutnya yang setia baru diberi kemenangan
Setelah menderita beberapa lama, barulah Allah Taala kembalikan ke tanah airnya yang tercinta membawa kemenangan yang cemerlang
Kebenaran itu amat terserlah di dalam kehidupan mereka
Mencintai Tuhan berkasih sayang sesama manusia
Keadilan dapat ditegakkan, hidup aman damai dan harmoni dan bahagia
Berlainan sekali tokoh-tokoh dunia, yang menjadi pengikut-pengikut
kisra-kisra dan raja-raja
Mereka duduk di gedung-gedung besar, indah, dan di istana-istana yang tersergam gagah
Di kelilingi dengan taman-taman bunga yang indah yang mempesona manusia
Rumah mereka dibentang dengan permaidani tebal dan mewah lagi indah
Dengan pengawal-pengawal yang berlapis-lapis di kiri kanan menjaga dirinya yang terpaksa setia
Mereka hidup mewah tenggelam dengan nikmat dunia
Memiliki intan berlian, emas dan perak dan aset-aset yang berharga
Mereka itulah yang menimpakan kezaliman kepada orang-orang yang membawa kebenaran dan kekasih Tuhan dengan berbagai-bagai tuduhan dan alasan
Yang menjadi ancaman kepada perjuangan kebenaran di setiap zaman
Kita sekarang bolehlah membuat pilihan dari sekarang
Mahu menerima sunnah para-para kekasih Tuhan atau menerima sunnah kisra
dan raja-raja?!
Mahu hidup mewah, senang sementara di dunia atau mahu hidup senang di Syurga berlama-lama?!
Tanyalah hati sendiri berfikirlah sebelum mati, mahu pilih hidup yang macam mana?!
Tepuk dada tanyalah selera
Tanyalah hati sebelum terlewat lagi
Tapi ingat pilihan itu jangan sampai merugikan kita
Jangan sampai menempah Neraka yang amat malang lagi celaka
30.1.2004 – 2
Menjelang Asar
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 965 reads
Post new comment