Orang Bertaqwa Aset Negara Dan Ummah
Orang Bertaqwa Aset Negara Dan Ummah
Orang-orang bertaqwa adalah aset negara dan ummah
Dari merekalah turunnya berkat dan rahmat
Kemakmuran wujud, kemewahan melimpah ruah kerana mereka
Disebabkan mereka rezeki murah, keamanan wujud, bala dijauhkan
Tapi ramai manusia yang tidak sedar dan tidak mengerti soal ini
Bahkan setengah manusia bermusuh dengan mereka
Mereka difitnah, disusahkan bahkan adakalanya mereka dibuang daripada tanah airnya
Manusia menganggap aset negara itu ialah bahan-bahan mentah yang berharga
Bangunan yang komersil, harta yang tersimpan, mata benda yang bernilai, kenderaan yang mahal
Mereka tidak terfikir orang yang bertaqwa adalah aset negara
Adanya mereka terjatuhnya pandangan Tuhan
Kepada merekalah keredhaan Tuhan
Kerana mereka adalah orang Tuhan dan kesayangan-Nya
Keberadaan mereka orang ramai mendapat keselamatan dan perlindungan
Awaslah jangan sampai bermusuh dengan mereka
Memusuhi mereka laksana memakan racun
Siapa memakan racun pasti binasa
Ertinya Tuhan akan mendatangkan bala bencana di dalam negara
Kesusahan yang akan menimpa adalah merata manusia
Takutilah Allah pada mereka
Kalau tidak boleh mengikut mereka jangan bermusuh dengan mereka
Kita akan nahas dan bahaya
18 Muharam 1421
Menjelang tidur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 835 reads
Post new comment