Nasihat Dari Abuya
Nasihat Dari Abuya
Untuk pengetahuan buat anak-anakku
Anak-anakku yang tercinta! Abuya ingin bercerita kalau sudi dengarlah!
Anak-anakku yang tersayang cerita ini jadikanlah ingatan kalau mahu selamat
Anak-anakku cara kita menilai sesuatu tidak sama, sangat berbeza?
Cara kita berfikir tidak sama bezanya terlalu jauh macam langit dengan bumi
Kemahuan kita, perasaan kita, nilaian kita tidak sama terlalu jauh
Jauhnya macam langit dengan bumi
Seolah-olahnya seorang hendakke hulu seorang hendak ke hilir
Seorang hendak ke lurah seorang hendak ke bukit bilalah hendak bertemu
Yang saya maksudkan perbezaan kita ini adalah bersifat rohani atau maknawi
Tidak bertemu yang bersifat maknawi dan rohani lebih berbahaya dari tidak bertemu secara fizik
Apakah yang sedang dan telah berlaku?!
Apakah yang telah terjadi di antara kita wahai anak-anakku?!
Apa yang dianggap baik oleh Abuya dianggap jahat oleh kamu
Apa yang dianggap menyelamatkan oleh Abuya dianggap tidak selamat oleh kamu
Bukankah begitu wahai anak-anakku?!
Apa yang menghiburkan dan membahagiakan buatku
padamu boring dan menjemukan kamu
Apa yang menguntungkan buatku ia dianggap merugikan buatmu bukankah begitu?
Sebagai contoh aku catatkan di sini
Buat Abuya Tuhan, iman, Islam, ihsan, nabi, Akhirat, berjuang, beribadah adalah terlalu agung dan mulia
Pada Abuya perkara-perkara tadi tidak boleh ditukar ganti
Ia adalah hiburanku, ia adalah kebahagiaanku
Ia adalah hidup matiku, tebusannya adalah nyawaku
Tapi padamu, makan, minum, pakaian, rumah, keluar bersantai-santai, mandi-manda adalah utama
Adalah dipandang besar di dalam kehidupanmu
Kalau tidak sempurna atau tidak dapat jadi masalah besar padamu
Ia adalah dianggap hiburan dan kebahagiaanmu
Kalau Abuya tidak beri itu semuanya kamu anggap Abuya tidak sayang padamu
Kamu anggap Abuya sudah benci kamu, sudah tidak ada dalam hati Abuya
Perkara-perkara tadi adalah hidup matimu
Kamu sanggup menggadai nyawa kerananya
Tuhan ada atau tidak, tidak ada erti apa-apa bagimu
Nabi, iman, islam, ihsan, akhirat, berjuang untuk Tuhan kamu anggap menyusahkan
Boring, menjemukan, meletihkan, menyusahkan, merugikan
Bukankah begitu tanggapanmu?
Apabila Abuya mendorong ke arah kemahuan kamu
Dianggap Abuya sayang
Jika kamu diarah kepada kehendak Abuya dianggap Abuya benci.
Ini adalah sebahagian kecil perbezaan di antara kita
Yang lain banyak lagi tidak payah diceritakan.
Kiaskan sahaja, kamukan tahu kehendakmu sendiri
Anak-anakku yang tercinta!
Betapa fikiran, pandangan, perasaan, kehendak kita sangat berbeza?!
Perbezaan ini terjadi tentu banyak faktornya
Di antaranya seperti berikut renungkanlah wahai anak-anakku:
Abuya adalah ayahmu, keselamatan kamu dunia dan Akhirat Abuyalah yang menentukan
Kesusahanmu adalah kesusahanku, kesenangan Abuya adalah kesenanganmu
Sejahat-jahat seorang ayah lebih murni pandangannya daripada anaknya yang tidak tahu apa-apa
Secuai mana pun seorang ayah masih ada rasa tanggung jawab kepada anak-anaknya
Berbeza kepada anak-anak rasa itu tidak ada kepadamu wahai anak-anakku
Pengajaran, pengalaman hidup ayahmu lebih banyak daripada apa yang ada padamu
Nilaiannya sudah tentu lebih adil daripada anak-anaknya yang belum ada pengalaman dan ilmu
Bahkan nasib hidupnya pada lahirnya masih bersandar kepadaku,
walaupun pada hakikatnya ada kepada Tuhan
Orang yang bersandar hidup dengan orang lain tentulah tidak sama dengan orang yang tempat bersandar hidup
Orang yang tempat bersandar masih ada rasa tanggungjawab, yang bersandar tidak ada rasa tanggungjawab
Apa yang mereka mahu, mesti ada, mesti selesa
Kehendak kamu mesti ditunaikan tanpa memikirkan buruk baiknya
Kemahuan kamu jangan dihalang tanpa timbang untung ruginya
Sedangkan seorang ayah yang bertanggungjawab
setiap kehendak anak-anaknya perlu ditimbang dahulu
Jika baik, sekiranya mampu, dia tunaikan, jika jahat tidak ditunaikan
Bagi si anak yang tidak ada tanggungjawab walaupun pada diri sendiri tidak begitu
Hati kecil tentu berkata, “Abuya tidak sayang. Abuya sudah benci kepadaku
Kehendak kita tidak pun ditunaikan. Ayah apa ini? Tidak ada ayah lebih baik padaku.”
Begitulah anak-anak berfikir,
Begitulah anak-anakku berperasaan,
Bukankah begitu?
Faktor-faktor lain, seorang anak yang masih mentah tentu belum ada cita-cita
Anak-anak yang pandangannya belum jauh,
sudah tentu pandangannya perkara-perkara yang mudah sahaja
Terangsang oleh perkara yang dapat diihat oleh mata sahaja
Hanya mudah dirangsang oleh makan minum, pakaian, tempat tinggal
Anak-anakku yang disayangi!
Untuk kamu lebih dapat memahaminya, Abuya datangkan satu contoh lagi
Kamu yang abang-abang dan kakak-kakaknya ini kan pernah berhadapan dengan adik-adik yang belum mengerti
Ada adik-adik yang suka main api
Api kan dilihat cantik, bercahaya, menghiburkan,
Kamu kan tahu api itu sangat merbahaya, sedangkan adik kamu tidak tahu api merbahaya
Jika kamu melarangnya, apakah kamu dianggap zalim?!
Kalau kamu menyegahnya kerana bahaya, apakah kamu dianggap oleh adik kamu tidak sayang
Apakah kerana hendak menghiburkan adik-adik, kamu biarkan sahaja, takut dianggap tidak sayang
Anak-anakku,
Kalau anak-anak boleh menjawabnya
Begitulah Abuya dan Ummu terhadap kamu
Apa yang kami larang kamu tidak tahu bahayanya macam adik tadi
Bila kami larang kesukaan kamu, tentu kamu mengatakan kami zalim
Lantas kamu anggap kami tidak sayang
Jika kami biarkan, kami disayangi tapi kami sudah jadi pengkhianat kepadamu
Begitulah wahai anak-anakku bilamana satu perkara tidak sama nilainya
Yang seorang menganggap perbuatan itu baik yang seorang lagi perbuatan itu jahat
Wahai anak-anakku,
Ada faktor lain yang kita ini tidak sejalan
Apa itu?
Faktor yang berbeza ialah faktor ilmu
Faktor ilmu membuat kita berbeza memberi nilai hidup
Kamu masih belajar, banyak perkara yang kamu tidak tahu
Bila banyak yang tidak tahu, banyak pula perkara yang kamu tidak tahu baik buruknya
Mungkin akan terjadi yang baik dianggap jahat, yang jahat dianggap baik
Anak-anakku,
Abuya dan ibumu walaupun tidak pandai tapi sudah banyak pengalaman dan ilmu yang dilalui
Banyak hal sudah tahu baik buruknya sedangkan kamu tidak tahu
Setengah hal nampak lahirnya baik tetapi tersembunyi kejahatannya
Ada hal nampaknya macam tidak baik tetapi tersirat di dalamnya kebaikan
Semua ini perlu kepada ilmu yang cukup memberitahu
Wahai anak-anakku,
Perlu kepada ilmu dan pengetahuan yang banyak, baru boleh menilai buruk dan baiknya
Oleh itu berbaik sangka dengan ayah dan ibu itu lebih baik
Urusanmu serah sahaja kepadaku dan ibumu
Apa yang baik kepadaku dan ibumu, baiklah untuk kamu
Apa yang dianggap jahat atau bahaya, itu adalah jahat dan bahaya bagimu
Bukankah begitu orang yang baik sangka dengan ayah dan ibu
Jika kita masing-masing hendak mempertahankan pendapat masing-masing,
kita tidak boleh duduk serumah
Kalau tidak badan berpisah, hati yang berpisah
Oleh itu anak-anakku ingin kuberitahu kepada kamu semua
Fahamilah sikap ayahmu imma ibumu agar kamu tidak terkeliru
Aku mengerti kamu inginkan kasih sayangku
Memanglah fitrah manusia semuanya begitu
Perasaanmu dan perasaanku sama sahaja wahai anak-anakku
Kasih sayang itu amat diperlu, ia makanan jiwa bagi manusia
Kamu inginkan kasih sayang aku pun begitu juga
Kasih sayang seorang ayah kepada anak-anaknya kenalah faham bagaimana bentuknya?!
Kasih sayang seorang ayah bukan seperti yang kamu mahu
Kasih sayang hanya mengikut nilai akal, mengikut rasa, mengikut nafsu
Sedangkan kasih sayang seorang ayah lihatlah tanggungjawabnya yang dia lakukan
kepada anak-anaknya
Apabila tanggungjawabnya ditunaikan itulah kasih sayangnya
Wahai anak-anakku!
Apabila seorang ayah memberi anak-anaknya Tuhan
Mengajak anak-anaknya mengutamakan Akhirat dari dunia
Di samping dunia tidak pula diabaikan
Itulah kasih sayang yang paling utama dari ayahnya
Kalau seorang ayah memberi anak-anaknya hanya semata-mata yang bernilai dunia
Untungnya sekejap, menderitanya lama
Kalau hanya makan minumnya dijaga, pakaiannya diurus, tempat tinggal selesa
Tapi Tuhan tidak dikenalkan jauh sekali untuk dicinta
Binatang pun tahu mengurus anak-anaknya wahai anak-anakku
Kalau secara dunia dan nafsu atau perasaan memanglah itu kasih sayang namanya
Itu kasih sayang murahan namanya wahai anak-anakku
Di sebalik itu dianggap pengkhianat kepada anaknya secara tidak sedar
Kerana tidak memberikan Tuhan kepada anak-anaknya
Tuhan adalah keselamatan dan kebahagiaan yang kekal abadi
Memberi kemewahan dunia adalah kebahagiaan dan keselamatan sementara waktu
Bahkan adakalanya di dunia lagi ia menipu lagi palsu
Betapalah selepas mati tipuannya sangat bahaya lagi celaka yang tidak ada taranya
Untung sekarung rugi segunung
Indahnya tidak sampai ke mana, mati masuk Neraka wa’iyazubillah
Wahai anak-anakku fahamilah erti kasih sayang dari ayahmu
Bukan pula kasih sayang itu hanya bermesra atau bergurau senda selalu
Kasih sayang tidak boleh dinilai sekadar diajak makan-makan,
bawa berhibur mengikut nafsu
Apa sahaja kehendak anak-anaknya dikabulkan selalu
Apa sahaja yang dibuat oleh anak-anaknya dibiarkan sahaja
demi kebahagiaannya konon?!
Anak-anaknya tentu sayang kepadanya
Tapi untuk kehidupan yang kekal abadi, selepas mati diabaikan
Untuk anak-anaknya ayahnya tidak pernah memberi keselamatan yang hakiki dan abadi
Tidak pernah memberi Tuhan, tidak pernah mengajak utamakan kehidupan selepas mati
Ibadah tidak pernah diajak bersama, akhlak mulia tidak dipeduli
Sungguh malang sekali, sungguh rugi
Untungnya sedikit ruginya sebukit wahai anak-anakku
Bahagianya tidak sampai ke hujung, penderitaannya nanti tidak ada penghujung
Wahai anak-anakku fahamilah erti kasih sayang yang sejati
Agar kamu tidak tertipu, supaya kita tidak merugikan diri sendiri
Anak-anakku jangan salah tafsir erti sayang dari sikap ayahmu?!
Nanti yang rugi adalah kamu sendiri
Kasih sayang dari ayahmu ada cara tersendiri
Ayah harap dari anak-anakku biarlah sesuatu itu kita terima nilainya sama
Apa yang ayah faham itulah yang aku harap kamu faham
Agar kita seia sekata, seperasaan agar kita tidak ada krisis dalaman
Agar tidak berlaku krisis nilai antara kita
Supaya aku tidak membenci kamu, dan kamu tidak membenci aku
Wahai anak-anakku yang tersayang ketahuilah,
Kasih sayang seorang bapa kepada anaknya:
Bukan semata-mata memberi makan, memberi pakaian,
memberi hiburan yang bersifat nafsu
Kasih sayang yang semacam ini jangka panjang menjadi racun rohani pada diri
Membinasakan, mencelakakan, merugikan, membahayakan
Kasih sayang seorang bapa yang sebenarnya bukan yang itu
Itu adalah kasih sayang murahan namanya
Adakalanya di dunia lagi mencelakakan dan membahayakan
Kasih sayang seorang bapa yang bertanggungjawab lebih jauh dari itu
Hendaklah anak-anakku mengerti hal ini agar tidak susah hati, supaya ayah tidak dibenci
Kasih sayang seorang bapa kepada anak-anaknya mengenalkan Tuhannya, ia kekal abadi
Mengajak anak-anaknya mencintai Tuhannya, takut kepada-Nya
Menyelamatkan anak-anaknya dari azab mati, dari seksa kubur
Penderitaan Mahsyar, penderitaan Neraka
Adakalanya anak-anaknya itu dilatih sedikit kesusahan
Agar anak-anaknya faham erti penderitaan
Supaya boleh bertimbang rasa kepada orang yang menderita
Ini bukanlah bererti ayah itu benci, ia adalah didikan
Ia adalah kerana sayang kepada anak-anaknya tapi anak-anaknya tidak mengerti
Macamlah anak-anak yang masih kecil
Hiburannya jalan raya, suka main di tepi parit, suka main api
Jika dilarang oleh ayahnya dia menganggap ayahnya benci
Padahal larang itu adalah kasih sayang ayahnya kepada anak-anaknya
kerana di situ ada bahaya
Tapi anak-anaknya tidak mengerti
Begitulah sikapku terhadapmu wahai anak-anakku
Padaku laranganku dan suruhanku selama ini itu adalah kasih sayangku
kerana aku tahu ia adalah memberi kebaikan kepada kamu
Kamu tidak faham dan tidak mengerti
Padamu itu adalah aku benci kerana kamu tidak mengerti yang hakiki
Jika kamu tahu itu adalah kebaikan untukmu,
sudah tentu kamu ucap terima kasih kepadaku
Tapi malangnya kamu tidak faham dan tidak mengerti
Ukuran kamu adalah nafsu, ukuranku Tuhanku
Bila ukurannya tidak sama kamu makan hati dan benci
Akhirnya susah hati, ingin lari tapi tidak boleh berdikari
Wahai anak-anakku fahamilah sikap ayahmu
Agar kamu tidak terkeliru dan celaru lagi
Kasih sayangku padamu menunaikan tanggungjawab untuk masa depanmu
terutama di Akhirat sana yang kekal abadi
Tapi kamu tidak tahu, ilmu kamu pendek sekali
Kasih sayangku hanya di dalam hati
Aku tidak perlihatkan kepadamu
Bahagia yang kamu dapat dari tindakanku itu lambat tidak segera
Kamu mahu segera sedangkan masa depan yang panjang kamu tidak ambil kira
Bahagianya segera, penderitaannya lama tidak ada kesudahannya
Wahai anak-anakku,
biarlah susah-susah dahulu senang-senang kemudian
Kalau kamu faham sikapku terhadapmu kamu akan bersangka baik denganku
Kamu adalah anak-anakku di bawah tanggungjawabku
Sejauh mana pun sakit mata memandang, tidak sama beratnya bahu memikul
Baik sangkalah wahai anak-anakku denganku
Aku hendak membawamu kepada Tuhan bersamaku
Biarlah kita bersusah-susah dan menderita dahulu
berbahagia kemudian yang berpanjangan kekal abadi
Marilah bersamaku kepada Tuhan wahai anak-anakku
Tuhan adalah segala-galanya buat kita, jangan tinggalkan Tuhan
Insya-Allah kita akan selamat di Hari Kemudian
Terima kasih wahai anak-anakku kalau mahu terima pandanganku
Terima kasih
Tuhan akan bersamamu
13.1.2004 - 2
Menjelang tidur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 1947 reads
Post new comment