Menyalahkan Ibu Pertiwi
Menyalahkan Ibu Pertiwi
Malaysia tanahairku yang tercinta, ibu pertiwi bangsa Melayu
Bangsa lain asalnya tetamu akhirnya dengan kemurahan hati orang Melayu
mereka menjadi keluarga bangsa Melayu
Ibu pertiwi laksana ibu kandungnya tempat bermanja dan bergembira
dan tempat mengadu
Tempat berhibur, tempat berlindung bagi bangsaku yang tercinta
Ibu pertiwiku kaya, ada khazanah yang terpendam, ada aset
untuk anak-anaknya bangsanya
Ia wariskan dari satu generasi ke satu generasi untuk kebahagiaan mereka di zamannya
Ibu pertiwi kaya, ada harta, ada khazanah dan ada harta yang tersembunyi
buat generasi seterusnya di masa depan
Maka ramai pemimpin-pemimpin dan bukan pemimpin mengaku pemimpin
hendak mengurusnya dan menjaga ibu pertiwi yang kaya
Maklumlah ibu yang kaya, banyak harta, boleh bermanja ramai yang berpura-pura
ingin menjaga
Ramai mengambil kesempatan hendak mengurusnya
Pemimpin-pemimpin yang berebut-rebut tadi konon untuk menjaga maruahnya,
hendak memelihara kedaulatannya, mereka rupanya mengkhianatinya
Merekalah yang menodai dan menjatuhkan maruah ibu pertiwi negara bangsa
Kekayaan ibu pertiwi disalahguna
Mereka menggunakannya sesuka hati, untuk peribadi dan kroni
konon untuk mengurusnya dan menjaganya
Sudahlah begitu kerana mereka hendak menjaganya, mereka jatuh-menjatuhkan
sesama sebangsa
Kerana ibu pertiwi kaya untuk mengurusnya mereka berkrisis dan berbalah
dan berhasad dengki
Anak-anak ibu pertiwi berpecah-belah dan retak perpaduan mereka
Yang berjaya menjadi pengurusnya rasa bangga, yang gagal rasa kecewa
dan sakit hati pula
Rakyat umum yang tidak bercita-cita mengurusnya tahu silap mereka,
tapi tidak dapat membuat apa-apa
Mereka kecewa, tidak puas hati bercakap-cakap dan mengumpat di mana-mana
marahkan mereka
Yang menjaga ibu pertiwi sedar ramai anak-anaknya kandung atau tiri
tidak puas hati bahkan benci
Tapi mereka yang gilakan harta dan khazanah ibu pertiwi itu sudah hilang malu
Apa anak ibu pertiwi kata, biarlah dia kata apa sahaja
Yang penting aku sudah berjaya, aku sudah berkuasa, aku boleh buat apa sahaja
Di masa depan aku belum tentu ada kuasa dan mengurusnya
Mereka-mereka yang tidak campurtangan bahkan yang terpinggir
membuat jalannya sendiri pula
Kalau para pemimpin membuat onar secaranya tersendiri,
mereka ada onar yang tersendiri pula
Mereka lakukan berbagai-bagai gejala masyarakat yang menyusahkan semua golongan
di dalam negara
Seolah-olah mereka berkata: “Biarlah mereka pening kepala kerana kita juga pening kepala dibuat oleh mereka.”
Mereka berlepak-lepak melakukan vandalism, ragut, salahguna dadah, lawan guru,
lawan ibu bapa, gangsterism
Bergaduh, black metal, skin head, bahkan ada yang murtad peduli apa
Hari ini ibu pertiwi sungguh ternoda, maruahnya terhina, wibawanya jatuh
separas haiwan yang melata
Sekarang semua golongan termasuk yang menodanya cemas juga
Masing-masing menganggap kalau tidak cepat-cepat ibu pertiwi diselamatkan
masa depan anak-anak negara akan dikuasai dan kedaulatannya terhina
Mereka semua sudah kehilangan idea
Mereka sudah kehabisan idea untuk menyelamatkannya
Bermacam-macam formula diguna pun tidak jadi juga,
bahkan gejala masyarakat terjadi berganda-ganda
Sekarang barulah terfikir oleh mereka hendak mencari orang Tuhan
menyelamatkan anak-anak bangsa
Tapi para pemimpin masih ramai lagi yang belum mahu lagi sedar
dan belum mahu merujuk kepada Tuhan dan orang-orang-Nya
Walau bagaimanapun setengah mereka sudah ada kesedarannya untuk merujuk
kepada Tuhan dan orang Tuhan
Ini adalah khabar gembira dari Tuhan untuk bangsa kita sebagai anak ibu pertiwi
yang tercinta
Kita harap sedikit masa lagi ibu pertiwi dijaga oleh anak bangsa yang ikhlas
lagi dirahmati oleh Tuhan
Moga-moga ibu pertiwi bangsa maruahnya pulih semula, kedaulatannya gagah semula
13.7.2004 – 1
Menjelang Maghrib
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 792 reads
Post new comment