Mengapa Tidak Nampak Kuasa Tuhan
Mengapa Tidak Nampak Kuasa Tuhan
Mengapa kita tidak boleh berfikir
Kalau kita berkuasa, ada yang Maha Berkuasa yang berkuasa ke atas kita
Agar kita tidak melakukan sewenang-wenangnya dengan kuasa yang ada
Kerana yang Maha Berkuasa bila-bila masa sahaja boleh merentap kuasa kita
Jika kita berilmu, mengapa kita tidak merasakan Tuhan itu mengetahui diri kita
Dia tahu lahir dan batin kita
Agar kita malu sentiasa dengan Tuhan dan takut hendak membuat dosa
Kalau kita kaya mengapa kita tidak boleh berfikir bahawa sedikit daripada kekayaan Tuhan ini diberi kepada kita
Supaya kita terasa Maha Kayanya Tuhan
Agar kita malu selalu dengan Tuhan dan boleh bersyukur kepada-Nya
Di dalam pengalaman hidup kita bukankah berbagai keadaan telah kita tempuh
Ada yang kita suka, ada yang kita tidak suka
Ada yang dari kemahuan kita, banyak pula yang bukan daripada kemahuan kita
Yang menakutkan dan yang menggembirakan
Senang, susah, miskin, kaya silih berganti
Mengapa engkau tidak nampak kuasa Tuhan, kehendak dan kebesaran-Nya
Apakah pengalaman kita ini terjadi dengan sendirinya?
Sedangkan kita tidak campur tangan
Tapi ia terjadi, bahkan sering sahaja terjadi
Terjadinya silih berganti
Tidak nampak lagikah pentadbiran Tuhan?
Masih belum tahu lagi sebahagiannya adalah Rahmat Tuhan?
Selainnya ada yang Jabbar dan Qahhar-Nya, Ilmu-Nya, kuasa-Nya dan kehendak-Nya?
Sudah gersangkah fikiran kita
Sudah matikah jiwa kita
Sudah butakah mata kita?
Selepas Zuhur
10.10.99
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 820 reads
Post new comment