Mengapa Tidak Kagum Dengan Tuhan
Mengapa Tidak Kagum Dengan Tuhan
Engkau kagum dengan ahli astronomi
Kerana mereka dapat mengesan bintang-bintang, planet-planet dan perjalanannya
Engkau kagum dengan ahli-ahli sains kerana dapat membuat penemuan demi penemuan
Engkau kagum dengan filasuf-filasuf kerana dapat memikirkan perkara-perkara yang seni-seni
Dapat membuat penyelidikan benda-benda yang tidak terfikir oleh manusia selama ini
Engkau kagum dengan ahli-ahli ilmu yang dapat mereka berbagai-bagai ciptaan untuk keperluan manusia
Orang yang mata hatinya celik sedikit pun tidak hairan dengan mereka
Kerana mereka mengesan benda-benda yang sudah sedia ada
Mereka mengetahui bahan-bahan yang telah wujud
Tapi mengapa engkau tidak kagum dengan pencipta benda-benda dan bahan-bahan itu?
Mengapa engkau tidak terasa hebat dengan Tuhan yang menjadikan, mentadbir benda-benda dan bahan-bahan itu?
Padahal ahli-ahli fikir tadi dapat mengesan benda-benda yang ada
Tapi mereka tidak mengenal langsung Tuhan pencipta benda-benda yang sudah ada itu
Macamlah orang kagum dengan orang yang dapat tahu adanya harimau di dalam hutan
Tapi tidak kagum dengan siapa yang menjadikan harimau dan menghantarnya ke dalam hutan?!
Mengkagum dengan orang yang dapat mengesan benda dan bahankah lebih cerdik atau orang yang kagum dengan yang mengadakan benda yang cerdik?
Begitu lemahnya manusia yang akalnya sahaja yang berfungsi tapi jiwanya tidak berfungsi
Mereka rasa hebat dengan benda yang akan binasa
Mereka kagum dengan benda yang tidak akan kekal
Tapi mereka tidak rasa hebat dengan Tuhan yang tidak binasa dan yang kekal abadi
Mereka rasa ajaib dengan benda yang kena jadi dan kena tadbir yang langsung tidak ada kuasanya
Tapi mereka telah melupakan Tuhan yang mencipta, mentadbir dan yang menentukan nasib segala benda
Kerana itulah Allah Taala utuskan rasul-rasul dan para-para nabi ke dunia
Untuk mencelikkan hati dan menghidupkan jiwa agar kenal Tuhan yang Maha Pencipta
Kalau hendak diharapkan ahli fikir sahaja sampai bila pun hati akan buta daripada mengenal Tuhan yang Maha Esa
1 Safar 1421
Menjelang Tidur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 883 reads
Post new comment