Mencari Kesenangan Dunia
Mencari Kesenangan Dunia
Bangunkan kemajuan, mencari kesenangan bukanlah satu kesalahan
Kemajuan dan kesenangan amat diperlukan di dalam kehidupan
Apabila maju dan dapat kesenangan bukan senang hendak mengekalkan sifat kehambaan
Mencari ilmu hingga menjadi pandai memanglah disuruh
Setengah-setengah ilmu wajib dipelajari
Kalau tidak dipelajari satu kesalahan di sisi Tuhan
Kerana ia memberi faedah kepada kepentingan umum di dalam kehidupan
Tapi apabila pandai dapat menguasai ilmu
bukan senang hendak merendah diri sesama insan
Biasanya ramai orang menjadi ego dan sombong kerana kepandaian
Kekayaan tidak salah dicari
Kalau pandai menggunakan kekayaan ramai pula orang yang dapat dibela
Masyarakat dapat manfaatnya
Tapi setelah kaya bukan senang hendak menjaga hati
Biasanya datang sifat bangga, bakhil pun tiba, cinta dunia pun berbunga,
orang yang miskin dihina
Menjadi pemimpin bukanlah salah
Adakalanya ia menjadi fardhu kifayah
Tapi setelah menjadi pemimpin biasanya watak mudah berubah
Sebelumnya lemah lembut jadi pemarah, biasanya penyayang menjadi pemberang
Dahulu bertimbang rasa sekarang menjadi zalim pula
Begitulah manusia susah hendak mengekalkan rasa kehambaan
Setelah senang, mewah, ada nama biasanya kehilangan Tuhan
Jauh sekalilah hendak takut dan cintakan Tuhan
Begitulah watak dunia kalau tidak maju terhina, jika maju menghina pula
Berjaya dalam kehidupan berbangga, tidak berjaya inferiority complex pula
Berjaya pun datang sifat negatif, tidak berjaya pun begitulah juga
Mengapa terjadi begitu?
Di mana salah silapnya?
Buat jadi bahaya tidak buat pun bahaya!
Silapnya mencari kemajuan dunia bukan untuk keredhaan Tuhan,
tapi keredhaan diri sendiri di dalam kehidupan
Maka terjadilah seperti yang telah disebutkan
Rupanya dunia itu memang diperlukan
Tapi ia seperti anak gadis, jarang kita tidak digodanya
Atau dunia seperti ular berbisa
Pandai menggunanya ia menghiburkan
Tapi jarang orang tidak dipatuknya
Oleh itu carilah kemajuan dan kesenangan dunia, ia bukan satu kesalahan
Kalau diusahakan kerana Tuhan boleh menjalinkan kasih sayang
disamping dapat keredhaan Tuhan
Senang di dunia bahagia di Akhirat
Selesa di dunia selamat di Akhirat
Buatlah kemajuan dunia kerana Tuhan faedahnya sesama insan
7.6.2004
Menjelang Zuhur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 1467 reads
Post new comment