Manusia Sudah Buta Mata Hati
Manusia Sudah Buta Mata Hati
Tuhan! Setiap detik engkau memberi oksigen kepada manusia
Membolehkan mereka menyambung hidup
Mereka tidak pula nampak nikmat itu dari-Mu
Setiap masa mereka menggunakan mata untuk melihat keindahan alam-Mu
Setiap masa juga mereka mendengar berbagai-bagai berita dan ilmu
Menggunakan telinga yang Engkau anugerahkan pada mereka
Namun mereka tidak terasa apa-apa bahawa itu pemberian-Mu
Mereka hidup begitu sahaja tanpa memikirkannya
Mereka tanpa malu-malu dengan-Mu,
nikmat yang begitu besar Engkau beri kepada mereka
Seolah-olah Engkau tidak memberi apa-apa kepada mereka
Mereka boleh berfikir dengan akal anugerah dari-Mu
Dengan akal ini, bermacam-macam rahsia alam-Mu yang mereka temui
Ilmu demi ilmu, penemuan demi penemuan yang mereka peroleh dari-Mu
Walaupun begitu tidak terasa juga oleh mereka kuasa-Mu dan anugerah-Mu
Mereka tidak terasa kasih sayang-Mu dan nikmat dari-Mu
Rupanya mata kepala mereka sahaja yang celik
Mata otak mereka sahaja yang terbuka
Mata hati mereka sudah buta
Hampir merata manusia hidup di dunia begini keadaannya
Engkau sebagai Tuhan mereka melupakannya
Lantaran itulah berbagai-bagai cara Engkau hukum mereka
Dengan bencana alam, kemiskinan, tidak ada kasih sayang sesama mereka
Engkau hukum mereka dengan berbagai-bagai jenayah, pergaduhan dan peperangan menyusahkan mereka
Engkau dera mereka dengan didatangkan berbagai-bagai penyakit merbahaya
Namun masih belum lagi mereka insaf dan sedar
Mereka tidak akan sedar selagi mata hati mereka buta
3.4.2003 – 2
Menjelang Zuhur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 854 reads
Post new comment