Kesalahan Bekas Kawan Kawanku
Kesalahan Bekas Kawan-kawanku
Bekas kawan-kawanku! Yang telah terpisah denganku sejak sepuluh tahun lalu
Yang telah menentang, menghina dan mengataku
Sama ada yang berada di gelanggang guaman, nasyid, berniaga, buruh, tulisan, pelajaran, makan gaji dan lain-lainnya
Sudah sepuluh tahun lamanya kamu berjuang hendak menjatuhkanku
Dengan berbagai-bagai cara, berbagai-bagai teknik dan usaha
Kamu telah menggunakan berbagai golongan menjatuhkan aku
Golongan itu sebahagia agensi kerajaan, atasan, golongan media massa,
ulama, masyarakat umum
Tuduhan demi tuduhan, penghinaan demi penghinaan, sindiran demi sindiran,
ejekan demi ejekan dilemparkan kepadaku
Aku hanya berdiam diri
Lebih-lebih lagi aku sebelum dibebaskan tidak dibenarkan bercakap,
menulis, mempertahankan diri
Aku diserang kiri dan kanan, aku berdiam diri, aku membisu
Cuma aku ada Tuhan, kawan sejatiku, aku mengadu kepada-Nya,
di samping aku mendoakan kebaikan kamu
Seperti yang aku diajarkan oleh Nabi
Usaha kamu sepuluh tahun itu adalah agak lama
Kalau menanam pokok sudah makan buah
Jika belajar sudah jadi pandai
Sekiranya berniaga dengan betul sudah jadi jutawan
Kalau berjuang setidak-tidaknya kawan sudah ramai
Kalau berkahwin sudah ramai menghasilkan anak-anak
Tapi apa yang aku lihat perubahan kamu tidak begitu nampak
Sejak kita berpisah hingga aku sudah bebas tidak ada apa-apa istimewa pun
yang ada pada kamu semua
Saya buat perbandingan antara kamu dan aku
Bukan pula hendak menghina kamu dan aku hendak berbangga dengan diriku
Aku berlindung dengan Tuhan dari berbangga diri
Aku berlindung dengan Tuhan daripada hendak menghina orang,
nasib aku pun belum tahu lagi
Aku buat perbandingan kerana hendak melihatkan kuasa Tuhan
Aku buat perbandingan menceritakan realiti yang terjadi
Moga-moga kita bersama boleh berfikir agar sedar dan insaf
Semoga kita dapat melihat dimana salah silapnya kita
Agar kita sempat bertaubat sebelum mati
Aku hendak buat perbandingan di sudut dunia sahaja
Kerana itu yang berlaku di dunia, nampak di mata, di dengar oleh telinga,
hendak pura-pura tidak boleh
Kalau hal akhirat sama-sama kita tidak nampak, kamu dan aku
Nasib kita di sana sama-sama belum tahu apatah kita ke Syurga atau ke Neraka
Cuma kita berharap, kita sama-sama ke Syurga,
janganlah hendaknya ke Neraka wal’iyazubillah
Setelah sepuluh tahun lamanya kita berpisah
Kamu ada usaha menjatuhkan aku, tapi tanganku terikat, mulutku dijahit,
aku tidak boleh mempertahankan diri
Aku hanya serah sahaja kepada Tuhan, aku tidak dapat membela diriku,
biarlah Tuhan yang membelanya
Sepuluh tahun kamu berjuang nisbah kekayaan, aku lebih kaya daripada kamu
Di dalam soal kenderaan kereta aku lebih canggih dan mewah daripada kereta kamu
Tempat tinggalku lebih besar dan selesa daripada rumah kamu
Di segi perniagaan aku ada 450 rangkaian di seluruh dunia,
kamu kalau ada pun hanya satu
Di sudut kawan dan simpati, kawan dan simpatiku lebih ramai daripada kamu
Bahkan ada yang di luar negeri, bahkan bertambah ramai daripada dahulu
Di sudut makan minum, berpakaian saya lebih mewah daripada kamu
Di sudut berjalan-jalan setelah saya bebas sama macam dahulu
boleh pergi ke mana-mana
Sedangkan kamu perjalanan kamu sangat terbatas
Nisbah nama, nama saya masih disebut-sebut orang bukan macam kamu
Nisbah isteri dan anak, isteri dan anakku lebih ramai dari kamu
Kecuali kamu yang sempat berpoligami di masa bersamaku dahulu
Yang belum sempat jangan poligami perang tidak berkesudahan nanti
Setelah dibuat perbandingan tentang dunia di antara aku dan kamu
Kamu tidak pun lebih istimewa dari aku
Padahal kamu bebas bertindak, bebas bercakap, bebas menghasut, bebas mengata
Sedangkan aku telah kukatakan aku hanya berdiam diri membisu
Sepatutnya aku yang paling teruk sekarang bukan kamu
Aku dengar ada di kalangan kamu hendak makan pun begitu susah sekali
Ada yang pakaiannya sudah lusuh sekali tidak terurus
Rambut pun kusut masai macam orang tidak siuman, sungguh kasihan
Cukuplah aku menyebut sekadar itu kalau kita mahu sedar dan insaf
Tidak perlu saya berkata lebih dari itu
Yang sebenarnya macam-macam yang aku dengar tentang kamu yang menyayat hati
Aku tidak mahu memberi malu
Kerana aku bukanlah manusia yang baik, aku pun manusia
yang selalu sahaja membuat dosa
Apa yang aku sebutkan sekadar hendak menyedarkan sahaja kalau mahu sedar
Jika tidak mahu sedar juga aku hanya serahkan kepada Tuhan
Tuhan tahulah hendak berbuat kepada hamba-hamba-Nya
Tuhan adalah Maha Bijaksana dan tidak menzalimi hamba-hamba-Nya
Kita tunggu dan lihatlah nanti, jika sama-sama panjang umur
31.10.2004 – 3
Waktu Asar
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 877 reads
Post new comment