Hati Nurani
Hati Nurani
Hati nurani adalah makhluk Allah Taala yang ajaib
Sarangnya adalah hati daging boleh dilihat oleh mata lahir
Para-para doktor sering melihatnya ketika dibedah dada manusia
Hati nurani tidak dapat dilihat oleh mata lahir sekalipun dibelah dada
Hati daging tidak ada erti apa-apa
Ia hati rumah kepada hati nurani yang sangat berharga
Hati nurani itulah yang dipersoalkan oleh Tuhan hingga ke Akhirat sana
Hati nurani adalah sangat ajaib dan sangat berperanan
Namanya pun berbagai-bagai istilah diberi kepadanya
Adakalanya hati, digelarkan raja diri
Hati nurani itu juga dipanggil roh, ia adalah kekal abadi
Ia penentu apakah manusia itu baik atau jahat, itulah dia hati mengikut sabda Nabi
Ia juga diberi nama fuad, ia merupakan jismullatif
Ada nama lain lagi tapi jarang didengar iaitu lubbun
Hati nurani ini adalah khazanah Allah Taala yang bagaikan lautan tidak bertepi
Yang terbesar sekali ia merupakan gudang ilmu ilham bagi wali
dan wahyu bagi Rasul dan Nabi
Akal hanya gudang ilmu bagi manusia biasa sekalipun dia profesor
Bagi Rasul, Nabi dan wali ada dua sumber ilmu yang mereka perolehi
Yang tidak diperolehi oleh manusia yang tidak bertaqwa iaitu manusia biasa
Kerana itulah mereka itu amat cerdik dan terlalu pandai, boleh memperkatakan
apa sahaja dan menjawab secara global
Orang yang mendengar rasa takjub dan kehairanan, terpukau
dan tercengang-cengang dibuatnya
Kedua-dua sumber ilmu itu mereka perolehi daripada Tuhan Rabbul ‘izzati
Hati nurani itu juga adalah lautan rasa
Atau alam rasa seluas alam semesta
Samada positif atau negatif dapat dirasanya
Hati nurani itu adalah rebutan di antara malaikat dan syaitan
Masing-masing berlumba-lumba hendak mengisinya
Malaikat mengisi dengan keimanan, keyakinan, ketaqwaan, ketenangan, rasa-rasa baik, peri kemanusiaan, timbang rasa, belas kasihan
Syaitan mengisi dengan kekufuran, keraguan, rasa-rasa jahat, rasa permusuhan, dan hawa nafsu serakah kehaiwanan
Hati nurani itulah apabila ia terlalu bersih dapat menjangkau ke alam-alam ghaib dengan izin Tuhan yang memilik segala yang ghaib
Hati nurani itulah yang terbuka, sekalipun mata kasarnya terkatup
Kadang-kadang ia melihat macam mata lahirnya melihat perkara-perkara di luar alam nyataseperti Luh Mahfuz, ‘arasy, Barzakh, jin dan malaikat, yang dikatakan kasyaf
Sering melihat secara rasa dengan tepat diistilahkan firasat
Adakalanya dijatuhkan ilmu di dalam hatinya dikatakan wahyu atau ilham
Tidak kurang juga hatinya mendengar suara tidak dapat melihat lembaganya
10.3.2004 – 1
Menjelang Zuhur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 1730 reads
Post new comment