Dunia Huru Hara
Dunia Huru-Hara
Apa sudah jadi kepada dunia!
Di sana-sini huru-hara
Krisis politik merata-rata di setiap negara
Jenayah setiap hari pembunuhan menjadi-jadi
Apa sudah jadi kepada manusia
Pembesar-pembesar gila kuasa, si kaya tamakkan harta
Penzaliman terjadi setiap hari, pembaziran harta jadi budaya
Si miskin terbiar, rakyat jelata menderita
Cerdik pandai gila bercakap, contoh tiada
Para pejuang kasar dianggap agama dan utama
Pembawa kasih sayang dianggap lemah dan hina
Guru-guru hanya memberi ilmu, didikan tiada
Buah darinya murid-murid sudah tidak hormat guru-gurunya lagi
Ibu bapa sudah hilang wibawanya
Kerana akhlak maruah tidak dijaga
Menjadikan anak-anak hilang hormatnya
Atau kasih sayang kepada ibu bapa hampir hilang di hati
Kerana hubungan ibu bapa dengan anak-anak telah renggang sekali
Apa sudah jadi kepada masyarakat dunia
Disiplin hidup manusia sudah punah
Membangunkan kehidupan mengikut nafsu sendiri-sendiri
Akibatnya, banyak perlanggaran berlaku di jalanraya
Muda-mudi ramai yang melepak-lepak tanpa disiplin
Hidup mundar-mandir tanpa tujuan
Membuang masa sia-sia sepanjang hidupnya
Umur dihabiskan dengan tidak memberi faedah apa-apa kepada agama dan bangsa
Apa sudah jadi kehidupan ini
Nilai-nilai murni sudah punah
Nilai-nilai negatif menggantikan tempatnya
Akhirnya manusia terseksa dengan sikapnya sendiri
Aduh apa sudah terjadi kepada dunia
Ketenangan sudah tiada, ketakutan di mana-mana
Hidup nafsi-nafsi, hubungan satu sama lain sudah tiada
Jauh sekalilah kasih sayang
Memang sudah gersang
Kepada siapalah hendak merujuk atau mengadu?
Kepada pemimpin atau pembesar?!
Mereka sudah jadi buaya
Kepada para ulama?
Kasih sayang mereka sudah tiada
Kepada orang politik?
Merekalah yang banyak mencetuskan krisis dunia
Rakyat menderita kerana mereka
Kepada raja-raja?
Mereka hanya ibarat bunga penyeri negara, kuasa tiada
Aduh habis kepada siapa hendak mengadu?
Tunggulah pemimpin yang ditunjukkan oleh Tuhan
Yang membawa kasih sayang dan penyelamat manusia
Tuhan bila lagilah penyelamat itu hendak datang?!
10.1.2002
Malam Jumaat
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 928 reads
Post new comment