Bilakah Harapanku Menjadi Realiti
Bilakah harapanku menjadi realiti?
Aku inginkan bangsaku berkasih sayang dan bersatu
Rasa bersama dan bekerjasama
Keadilan, bertimbang rasa, perikemanusiaan menjadi budaya
Bermaaf-maafan perkara biasa
Aku inginkan para pemimpin, menjadi ayah, ibu, guru, pendidik dan kawan setia
Tempat berlindung, merujuk dan bermanja-manja
Masyarakat bersih dari maksiat yang nyata
Kurangnya jenayah ketakutan tiada pergi ke mana-mana
Aku inginkan bangsaku beriman, bertaqwa dan berilmu
Agar Allah Taala mencucuri rahmat dan berkat
Maju dan jaya, kemudahan hidup di mana-mana sahaja
Makmur dan bahagia aman dan sentosa
Aku mengharapkan para ibu bapa, guru-guru, pemimpin berwibawa tinggi
Berakhlak mulia pekerti tinggi boleh dicontohi
Agar mereka dikasihi dan ditaatidan dihormati
Anak-anak murid, rakyat jelata mudah dididiknya
Aku inginkan orang kaya bermurah hati
Orang miskin bersabar, tabah tidak hasad dengki
Miskin dan kaya boleh duduk bersama dan bekerjasama
Bertolong bantu sesama menjadi budaya
Tuhan! Bilakah harapanku ini menjadi realitinya
Berilah kami hidayah dan taufik agar suasana itu menjelma
Agar kami hidup aman damai, bahagia dan harmoni
Dunia ini pun menjadi syurga sebelum Syurga
28.8.2003 – 1
Menjelang Zuhur
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 881 reads
Post new comment