Apabila Rasa Bertuhan Wujud
Apabila Rasa Bertuhan Wujud
Apabila rasa bertuhan wujud
Pasti rasa kehambaan ada
Bila rasa kehambaan ada
Automatik rasa bertuhan wujud
Dua perasaan ini tidak boleh berpisah
Salah satu perasaan itu membuahkan salah satu yang lain
Jika rasa bertuhan tidak wujud
Rasa kehambaan juga tidak akan wujud
Begitulah sebaliknya jika rasa kehambaan tidak wujud
Rasa bertuhan pun tidak akan wujud
Apabila rasa bertuhan tidak ada, akan wujudlah rasa ketuanan
Kalau dibiarkan hingga subur dan kuat
Akan lahirlah rasa ketuanan macam Firaun dan Namrud
Syirik dan kafirlah dia wal'iyazubillah
Rasa ketuanan atau rasa ketuhanan
Inilah yang melahirkan sifat ego dan sombong
Merasa diri luar biasa dan orang lain dipandang hina
Pemarah dan kejam, pantang ditegur dan dicabar atau ada tandingan
Kalau dia ada kuasa, dia akan bertindak dan menghukum
Kalau tidak ada kuasa mungkin dendam kesumat berpanjangan
Menunggu peluang untuk bertindak atau membinasa
Begitulah jika seseorang itu tidak ada rasa bertuhan
Sekalipun banyak beribadah dan bersembahyang
Bahkan ibadah yang banyak dan sembahyangnya itulah yang membangunkan kesombongannya
Di sini kita nampak bahawa rasa bertuhan itu amat penting
Atau rasa bertuhan itu perlu wujud di setiap jiwa manusia
Dari perasaan inilah lahir sifat-sifat kehambaan
Apabila lahir sifat kehambaan, sifat-sifat ketuanan pasti hilang
Sifat-sifat ketuanan itulah yang membinasa diri seseorang dan manusia
Yang menjadikan dunia ini tidak pernah rehat daripada huru-hara
Lepas Zuhur
26.10.99
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 852 reads
Post new comment