Alangkah Hebatnya Tuhan
Alangkah Hebatnya Tuhan
Alangkah hebatnya Tuhan
Di dalam satu kerdipan mata berbilion-bilion yang dicipta-Nya dengan serentak
Di masa yang sama pula berbilion-bilion yang dibinasakan atau yang ditiadakan-Nya
Di dalam satu kerdipan mata, berbilion-bilion secara serentak diketahui yang ada mahupun yang tiada
Juga di masa yang sama dengan serentak berbilion-bilion perkara yang dilihat dan didengar-Nya
Kudrat-Nya Esa sepertimana sifat-sifat yang lain juga Esa
Kuasa membuat yang sedikit atau banyak, kecil atau besar sama sahaja
Tidak ada beza kerana Tuhan itu Kudrat-Nya bukan tenaga
Tapi Zat-Nya yang Maha Kuasa atau bersifat Kuasa
Kerana itulah Tuhan tidak terasa penat atau letih
Begitu juga Tuhan kehendak-Nya bukan dengan nafsu
Kerana itulah kehendak-Nya tidak menerima jemu juga tidak terasa ghairah seperti manusia
Dia berbuat atau tidak berbuat dengan kehendak-Nya yang penuh berhikmah
Tidak ada yang sia-sia atau yang tidak mempunyai hikmah yang tersirat atau tersurat
Apa yang terdahulu dan apa yang kemudian semua diketahui-Nya
Tidak pernah dilupakan-Nya sekalipun sebesar debu di udara
Murka-Nya bukan dengan nafsu
Kerana Tuhan itu tidak ada nafsu seperti makhluk-Nya
Suka-Nya atau cinta akan sesuatu bukan pula dengan perasaan-Nya
Kerana Tuhan itu tidak ada jiwa
Cinta-Nya pula mengikut kehendak dan hikmahnya
Bukan didorong oleh keadaan
Kerana keadaan dan situasi Tuhan yang mencipta-Nya
Segala apa yang hendak dibuat atau tidak bukan hasil fikiran atau hasil menimbang-nimbang
Kerana Tuhan bukan ada akal seperti manusia
Kerana Kudrat dan Iradat-Nya berlaku adalah kerana kepatutan-Nya
Dengan penuh hikmah dan pengajaran
Begitulah Zat Tuhan yang Maha Agung
Sungguh hebat dan menggerunkan
Menjelang Maghrib
30.12.99 (22 Ramadhan 1420)
Tulisan ini adalah sajak yang ditulis oleh Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi |
- 976 reads
Post new comment