Rumah Tangga Islam Rumah Tangga Bahagia

Utusan Malaysia 25 Mei 2006 Muka Hadapan

Syor benarkan lelaki mengamalkan perkahwinan misyar - Seorang pensyarah universiti hari ini mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Tiada beban , batu digalas. Begitulah ungkapan yang boleh diperkatakan berhubung isu cadangan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar sebagaimana yang dinyatakan di atas oleh seorang sarjana pengajian Islam bertaraf professor dengan dikuatkan lagi hujjahnya bersandarkan kepada fatwa seorang ulama antarabangsa yang terkenal yang umum sudah mengenalinya serta perlaksanaan yang telah dilakukan di Arab Saudi.

Bagi kaum lelaki awam, memang tiada masalah, ibarat kata besar tapak tangan, nyiru, malah padang Stadium Bukit Jalil ditadahkan sebagai tanda sokongan yang tak berbelah bagi atas cadangan yang diusulkan. Lebih-lebih lagi yang mengusulkan cadangan tersebut seseorang yang bukan dari golongan berkelulusan akademik, tetapi berkelulusan agama. Pendek kata orang alim agamalah. Tetapi bagi kaum hawa pula, kecuali segelintir yang minoriti, amat terkesan di hati mereka malah ada di antaranya menyifatkan usul ini seolah-olah meletakkan darjat kaum hawa itu seperti pelacur murahan. Cuma bezanya mereka melalui proses ijab qabul untuk mengesahkan atau menghalalkan hubungan jasmani antara lelaki dan wanita dan tak lebih dari itu.

Amatlah pelik usul ini dikemukakan dan sudah difatwakan di sebelah Asia Barat sana atas alasan menangani masalah jumlah janda-janda dan andartu yang semakin ramai dan tidak mempunyai suami. Hal ini bukan sahaja tampaknya menjatuhkan maruah kaum hawa, bahkan meletakkan Islam sebagai agama yang membawa keselamatan, kesejahteraan, meninggikan maruah umat Islam, memberikan jalan keluar atas segala permasalahan dunia dan akhirat yang datangnya dari Tuhan Yang Maha Agung, Maha Adil, Maha Mengetahui dan Maha Segala-Galanya, menjadi satu agama yang diperlihatkan sebagai agama yang boleh di "modify" mengikut kaedah akal masing-masing dan kesesuaian masing-masing, ikut fahaman masing-masing tanpa ada batasan dan hadnya dan juga tanpa mengira apakah implikasi yang bakal timbul dibelakang hari, dan lebih besar lagi, tidak ada Tuhan langsung sebagai matlamat kesudahannya.

Inilah masalah yang timbul di akhir zaman, sebagaimana yang telah diberitahu kepada kita melalui lidah Rasul tentang umat Islam akhir zaman yang hidupnya umpama melalui denai-denai yang dipenuhi dengan najis, terpaksa sungguh-sungguh berjalan dengan berhati-hati kerana bahaya terpalit najis. Dan Baginda juga memberitahu kita bahawa beruntunglah orang-orang yang "gharib" atau ganjil iaitu orang-orang hidup di bawah pimpinan orang yang bertaraf Rasul Bir Rasul yang menghidupkan Sunnah Nabi di akhir zaman, malah memperjuangkannya sehingga mereka beroleh keuntungan dunia dan akhirat, di dunia mereka beruntung kerana melihat keberhasilan perjuangan mereka kepada semua manusia bilamana manusia kembali kepada Tuhan sebagai matlamat hidup dan di akhirat mereka diberikan ganjaran syurga oleh Allah SWT atas rahmatNya yang Maha luas.

Apabila Tuhan menciptakan manusia yang terdiri daripada 2 jenis iaitu lelaki dan perempuan, bukan semata-mata Tuhan ciptakan mereka sebagaimana manusia cipta benda-benda yang mati seperti kerusi, meja, kereta, bangunan dan sebagainya. Manusia cipta bendar yang tidak ada perasaan dan tidak ada naluri ataupun kehendak. Meskipun begitu, benda yang diciptakan manusia perlu juga kepada penjagaan dan perlu juga kepada tatacara atas penggunaannya. Tuhan ciptakan manusia atas 3 unsur:

  1. Fizikal
  2. Mental
  3. Spiritual

Ketiga-tiga unsur di atas memerlukan cara dan peraturan-peraturan yang diciptakan juga oleh Tuhan buat manusia atas sifatNya yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ini termasuklah keperluan atau fitrah manusia inginkan hidup berpasang-pasangan yang termasuk ke dalam ketiga-tiga unsur tadi. Dari sudut fizikal , umum telah mengetahui atas hubungan biologi antara sesama lelaki dan perempuan dan tak perlu diperbahaskan lagi.
Dari sudut mental pula mengisi sesuatu ruang di dalam hidup berkeluarga dalam mengatur kehidupan, mengkaji kelebihan dan kelemahan serta potensi yang ada pada pasangan masing, di samping bertukar-tukar pandangan dan pendapat dalam suasana kasih-sayang dan kemesraan. Dari sudut spiritual pula dan yang paling utama, kaum lelaki sebagai pemimpin kepada kaum perempuan yang bergelar isteri, telah diamanahkan Tuhan kepadanya mendidik, memberi ilmu, memberikan panduan, tunjuk-ajar, memberikan nafkah lahir dan juga batin, supaya isteri tadi diletakkan dalam keadilan menurut pandangan Tuhan iaitu menjadikan Allah yang paling utama dalam setiap hal, kemudian Rasul maka selepas itu barulah suami.

Ini bukan kerja mudah dan bukan kerja calang-calang yang boleh dibuat sambil lewa. Atas nama Tuhan kita lafazkan kalimah "aku terima nikahnya sipolan binti sipolan" bagi menghalalkan kehidupan bersuami isteri menurut kehendak Tuhan, maka bermula daripada itu jugalah, segala tanggungjawab diletakkan di atas bahu si suami atas segala hal yang berhubung-kait dengan ugamanya dan fizikalnya.

Perlu difahami sungguh-sungguh, dalam hal tanggungjawab yang diamanahkan Tuhan pada orang lelaki yang menjadi suami, sekiranya isteri terbuat salah dan mendapat 1 dosa, maka suami mendapat 2 dosa. Ini semuanya adalah dasar amanah yang akan Allah tanyakan di Akhirat kelak. Maka sebab itu walaupun pada zahirnya nampak kelebihan pada kaum lelaki dalam urusan-urusan pentadbiran rumah tangga seperti jarang perlu memasak, menyelesaikan urusan anak-anak dan sebagainya, tetapi di dalam hal berhubungkait dengan amanah, di atas bahu kaum lelaki amatlah berat.

Maka sebab itu Rasul ada memberikan panduan kepada kaum perempuan terhadap tanggungjawabnya iaitu antaranya taat pada suami, memelihara solat, memelihara maruah diri dan menjaga harta suami dan selepas itu mereka boleh pilih pinta syurga mana untuk di masuki. Tidak sebagaimana kaum lelaki, perlu melihat banyak aspek samada di dalam rumahtangga, masyarakat, negara dan hal-hal yang bersifat global.

Ini yang menjadi permasalahan kepada umat Islam akhir zaman ini. Semua sistem sebagaimana yang diajarkan oleh Islam kepada kita sudah hiruk pikuk, tunggang langgang , punah ranah dan penuh kekeliruan. Bukan kerana Islam itu, tetapi kerana umat Islam yang tidak mahu menerima dan mengamalkan Islam secara keseluruhan, malah mengambilnya secara serpih-serpihan mengikut kesesuaian yang dirasakan perlu sahaja, selebihnya lebih meyakini sistem bikinan otak manusia yang tidak beriman dan tidak meyakini sistem Tuhan sebagai kaedah dan cara paling selamat.

Ini terbukti dengan konsep demokrasi yang telah menjadi pengamalan hampir semua negara umat Islam, penerimaan sistem kapitalis dalam urusan perniagaan dan kewangan, penerapan sistem sekular dalam pendidikan anak-anak, penularan budaya kuning dan lucah dalam kehidupan umat Islam, membudayakan hidup nafsi-nafsi sesama saudara se Islam dari sudut pemerintahan yang diamalkan seperti "devide and rule", malahan sesama jiran tetangga juga tiada ikatan ukhuwah yang sangat dituntutoleh Islam dan berbagai-bagai kerosakan lagi.

Maka apabila sudah terjebak dengan sistem yang sudah rosak lagi merosakkan oleh musuh-musuh Islam yang sememangnya hendak menghancurkan kekuatan umat Islam, kaedah dan jalan penyelesaian yang diambil juga membawa kepada parahnya lagi masalah yang sediakala tenat. Tidak kira pemimpin mahupun ulama` ,sama sahaja trend pemikiran mereka dalam menyelesaikan masalah, hanya memerah otak dan akal yang sudah "jamned" dan buntu yang hasilnya boleh kita lihat masalah tidak selesai, masalah baru pula timbul.

Berlainan dengan kaedah orang Tuhan. Orang Tuhan bertindak sangat berhati-hati dalam semua hal kerana pada mereka, sekiranya mereka tersilap, maka akibat buruk menanti mereka di neraka yang amat pedih. Segala tindak tanduk mereka, mereka "rujuk" dahulu kepada Tuhan. Sebab itu jalan penyelesaian yang mereka bawa amat konstruktif serta amat positif.

Sebagai contoh dalam hal bilangan kaum wanita yang berstatus janda atau andartu yang semakin meningkat. Ramai yang beranggapan malah bersifat amat prejudis, terutamanya kaum wanita, apabila disebut poligami, akan berlaku ketidak-adilan dan penindasan oleh orang lelaki terhadap kaum wanita. Memang tidak dinafikan ada juga kes-kes yang dibawa ke mahkamah syariah melibatkanpengabaian suami ke atas isteri pertama mereka selepas bernikah dengan isteri kedua dan sebagainya. Itu memang terjadi sekiranya mereka yang mengamalkan poligami atas faktor keperluan biologi sebagai keutamaan atas sebab mungkin isteri pertama sudah tua dan sebagainya.

Jika dilihat pada sudut ini, menggambarkan secara jelas kepada kita pemikiran dan pemahaman umat Islam terhadap perkahwinan itu semata-mata atas faktor fizikal dan sedikit sekali atas faktor mental lebih-lebih lagi faktor spiritual. Masakan tidak, bila sudah lerai daripada si isteri itu kejelitaan , kesihatan dan keupayaan, sedangkan suami masih lagi tegap, kacak dan sasa, maka terlerai jugalah ikatan kasih-sayang yang dahulunya ketika sebelum berkahwin diungkap ucapan lautan api sanggup ku renangi, badai dan taufan sanggup ku tempuhi demi cinta padamu. Ucapan atas dasar nafsu serakah yang tiada nilai dan bertambahnya iman. Maka diketika si isteri sudah "longlai" , maka si suami pula tercelik pula biji matanya untuk bertukar "angin" atau menambah "spare part" .


Bilamana si isteri juga melangsungkan perkahwinan atas dasar tadi, akan merasa dikhianati oleh suaminya lantas ada sanggup menuturkan kata-kata biar main perempuan asalkan jangan aku dimadukan. Ini hakikat dan ini realiti yang terjadi pada pasangan suami-isteri Islam masa kini.

Tetapi pada Orang Tuhan jalan poligami yang dilaksanakan atas dasar dan falsafah sebagaimana yang dikehendaki Tuhan keindahannya bersifat universal. Diterima ramai, malah akan mengucapkan terima kasih yang amat banyak kepada Tuhan yang telah menciptakan satu sistem yang mampu menyelesaikan masalah manusia yang dianggap amat "delicate" ini kerana ia melibatkan perasaan atau emosi kaum wanita yang amat sensitif.

Dalam Islam bukan sahaja berpoligami punya falsafah, malah monogami juga punya falsafah. Dalam Islam perkahwinan bukan semata-mata untuk menyelesaikan tuntutan biologi kerana kalau soal itu semata-mata maka pasti masalah tidak akan selesai. Sebagai bukti , sejarah telah menceritakan kepada kita, raja-raja di Cina dizaman dinasti-dinasti pemerintahan mereka, ribuan isteri dan gundik-gundik diraja mereka.

Namun nafsu raja-raja ini tak pernah puas. Begitu juga baru-baru ini, seorang ber "title" ustaz, 4 isteri dan puluhan anak, tak cukup isteri, anak-anak perempuannya yang di bawah umur juga menjadi "santapan" serakah nafsu kebinatangannya. Cukup 2 bukti sebagai cerita. Apa yang hendak difokuskan di sini ialah matlamat dan falsafah sebenar perkahwinan menurut kaedah Islam yang diberi faham oleh orang Tuhan kepada kita. Pasti ramai yang tidak faham dan tidak tahu kerana ilmu ini tak akan diperolehi daripada mana-mana institusi pengajian agama di dunia ini. Antara matlamat dan falsafah perkahwinan menurut ajaran Islam ialah :

  1. Untuk memenuhi tuntutan fitrah antara lelaki dan perempuan
  2. Untuk melahirkan generasi untuk penerus kepada cita-cita Islam
  3. Untuk melahirkan zuriat yang sudah ada cita-cita Islam yang merupakan aset kepada kedua ibu bapa dan menjadi harta dan tenaga kepada Islam
  4. Untuk mendapat amal jariah hasil daripada keturunan yang beriman serta sambung menyambung memperjuangkan cita-cita Islam
  5. Untuk mengembalikan generasi kehidupan sebagaimana generasi ketika di zaman salafussoleh dahulu
  6. Untuk menghiburkan hati kekasih Allah Ta`ala iaitu Rasulullah yang pastikan memberikan pahala buat kita.
  7. Untuk meramaikan umat Islam yang membanggakan dan menggembirakan Rasulullah SAW, serta melahirkan satu generasi yang mempunyai cita-cita besar yang bermotifkan Islam sejagat dan bukan sekadar melepaskan tuntutan biologi semata-mata sebagaimana niat sebahagian besar umat Islam secara umumnya.
  8. Untuk membina susur galur atau keturunan supaya orang kenal asal usul kita yang menerima Islam sebagai agama kita.
  9. Untuk diniatkan mengiburkan hamba Allah yang lain kerana niat menghiburkan orang mukmin diberi pahala oleh Allah.

Cukup 9 perkara pokok di dalam tujuan dan falsafah perkahwinan yang diajarkan oleh Orang Tuhan kepada kita, sudah memberikan satu gambaran kepada bahawa ianya membawa satu pengertian yang sangat besar serta global sehingga mampu membina satu empayar Islam yang menaungi umat yang lain bermula daripada terbinanya rumahtangga yang mempunyai satu matlamat dan satu cita-cita. Ini tak pernah diajarkan oleh sesiapa , hatta alim ulama` sekalipun. Rahsia membina ketamaddunan berteraskan kepada cita-cita Islam dalam ertikata lain demi kerana cinta dan takut kepada Tuhan, terbentang luas untuk diikuti dan diamalkan.

Jadi tidak timbul soal ramai janda, ramai andartu, ramai menolak poligami, masalah sosial di kalangan umat Islam yang bertambah kronik, merempat dan menagih simpati serta harap pada musuh, kerana sekiranya masing-masing umat Islam meletakkan sepenuhnya keyakinan lantas memperjuangkan 9 matlamat perkahwinan yang dinyatakan di atas tadi, masalah yang kita hadapi kini akan secara otomatiknya dapat diselesaikan.

Barulah ketika itu kaum wanita dengan rela hati mencari "adik-adik" baru untuk suami mereka yang tercinta, para suami pula akan sentiasa berlaku adil semampu yang mungkin terhadap isteri-isterinya ,anak-anak terdidik dan terasuh dengan suasana dan cita-cita perjuangan Islam, janda-janda terbela malah sentiasa bersabar serta redha akan ketentuan Tuhan atas diri mereka dan masyarakat yang amat bertanggungjawab atas satu sama lain atas dasar dan ikatan ukhuwah Islamiah.
Fakta dan realiti ini berlaku di zaman salafussoleh dahulu. Zaman di mana keindahan Islam dipamerkan secara total kepada manusia sehingga berbondong-bondong manusia memeluk agama Tuhan yang suci ini.

Berpoligami adalah tradisi yang terbina atas dasar dan cita-cita Islam dan bukan hawa nafsu kerana ketika itu rata-rata umat Islam bertaraf orang-orang Soleh dan amat sedikit yang toleh. Mereka amat takut dengan Tuhan serta amat mencintaiNya. Segalanya adalah untuk Tuhan baik pada lelaki mahupun perempuan. Maka atas dasar itu mereka melakukan apa sahaja termasuk mengorbankan perasaan dan emosi mereka demi "merebut" Tuhan, idola mereka sehingga Tuhan membalas kembali kepada mereka satu kehidupan yang aman dan permai sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud ; "Negara yang aman makmur serta mendapat pengampunan Tuhan "

Inilah yang sepatutnya menjadi idaman dan cita-cita setiap pasangan yang hendak membina istana bahagia yang hakiki. Yang mampu membawa keselamatan dunia dan akhirat hasil daripada tunjuk ajar dan didikan orang Tuhan kepada kita.

Wallahua`lam.....

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer