Punca- Punca Sifat Gopoh

  1. Punca atau sumber sifat gopoh itu benihnya adalah ciptaan Tuhan semulajadi. Dia lahir sama-sama dengan tubuh kasar manusia kemudian dibiarkan dia tanpa dididik hingga menjadi subur.
  2. Didorong lagi oleh sifat ego atau sombong sama ada disedari oleh orang itu atau tidak, kerana sifat ego juga benihnya juga telah Allah Taala cipta dari sejak lahir lagi, apatah lagi didorong oleh faktor-faktor yang mendatang seperti ada pangkat yang tinggi, kaya, ada kuasa dan lain-lain lagi.
  3. Mungkin kekurangan ilmu pengetahuan tentang ilmu-ilmu hati/jiwa sama ada mahmudah mahupun mazmumahnya. Ertinya hatinya atau jiwanya terbiar tanpa dapat pimpinan dan didikan yang sempurna secara Islam maka ia terdorong dari dalamnya.
  4. Boleh jadi juga faham tentang ilmu hati/jiwa tapi lemah bermujahadah atau tidak bersungguh-sungguh bermujahadah dikeranakan lemahnya iman atau lemah aqidah dan tidak tahan godaan dari luar diri yang sentiasa mencabar jiwanya.
  5. Mungkin juga didorong oleh sifat-sifat tamak dan rakus atau didorong oleh jiwa yang lemah, kerana lemahnya aqidah sekalipun di sudut ilmunya pakar aqidah atau pakar Tauhid, tapi tidak dapat dihayati

Gopoh menjadikan manusia melulu

Sifat gopoh boleh menjadikan manusia segala tindak-tanduk dan sikapnya tidak berdisiplin hidupnya terutama bila berhadapan dengan dua keadaan ini:

Pertama: Apabila waktu senang atau mewah.

Di waktu mereka ada duit, hilang pertimbangan waktu berbelanja, terlalu gopoh berbelanja. Dia beli apa sahaja, macam-macam dia beli, berfaedah atau tidak berfaedah, perlu atau tidak, terutama jangan sahaja nampak barang atau benda yang dia suka atau barang yang orang lain ada, dia akan beli. Nampak sungguh macam orang kemarukan atau tidak siuman. Hilang rasional sekalipun dia seorang berpelajaran, mendapat pelajaran tinggi, berjawatan tinggi, berkedudukan penting di dalam masyarakat. Akhirnya rumah macam muzium.
Apabila sudah terlalu banyak hingga tidak terurus, timbullah pembaziran. Maka kesenangan tidak dapat dikongsi oleh orang lain.

Kedua: Apabila mendapat kesusahan seperti miskin, sakit, bencana alam, kemalangan, di waktu itu mereka yang gopoh itu nampak sangat melulu di dalam hendak menyelesaikan masalah atau hendak mengatasi masalah.

Keluh-kesahnya begitu ketara, mukanya tidak ceria, maka mengadulah dia ke sana ke mari. Dia tidak fikir orang suka atau tidak suka, sesuaikah orangnya tempat mengadu atau tidak, orang itu simpati atau benci, dia akan menceritakan masalahnya, dia akan luahkan perasaannya. Dia tidak kira orang itu jemu atau tidak jemu mendengarnya, setiap kali berjumpa mesti bercerita tentang masalah walaupun sebelum ini entah berapa kali sudah diceritakan kepadanya namun dia tidak jemu-jemu bercerita masalahnya.

Kalau hendak mengatasi kemiskinan hingga membuat yang tidak patut, hingga menimbulkan masalah yang lebih kusut lagi seperti berhutang di sana, berhutang di sini, hingga hutang di sekeliling pinggang. Begitu juga kalau sakit,apabila berjumpa sahaja ubat di mana-mana dia mesti beli, digunakan atau tidak dia tidak kira, yang penting beli. Padahal apabila sudah dibeli sekali dua sahaja digunakan atau dimakan. Kemudian beli lagi ubat yang jenis lain pula.

Begitu sekali gopoh membeli ubat. Itu boleh tahan, setengahnya jumpa bomoh, sami, berubat menyalahi syariat, bersandar dengan Tuhan langsung tidak ada, dengan Tuhan terus dilupakan, Tuhan tidak ada di dalam jiwanya. Dia rasa segala masalahnya boleh diselesaikan oleh usahanya, hingga terlalu bersandar dengan usaha, hilang disiplin diri. Bila hilang disiplin nampaklah melulunya tindak-tanduknya. Hingga hilang pertimbangan akal fikirannya.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer