Perkara- Perkara Yang Menghalang Terjalinnya Kasih Sayang


29/11/2006

Manusia diciptakan sungguh istimewa, rumit dan pelik. Bukan saja ciptaan lahiriah dan fizikalnya yang sangat hebat, tetapi ciptaan yang batiniah atau maknawiahnya lebih-lebih lagi luar biasa dan maha hebat.

Lihat sifat akal yang boleh memahami, menghurai, menyimpan, mengeluarkan maklumat dan lain-lain lagi. Lihat pula sifat hati yang boleh merasai berbagai-bagai jenis rasa. Ada rasa yang bersifat positif dan ada juga yang negatif.

Mengapa manusia diciptakan dalam keadaan demikian? Bagaimana manusia harus mengimbangkan dirinya supaya ia menjadi sebaik-baik makhluk? Ini adalah persoalan yang mesti dicari jawapannya. Kalau tidak, tentu manusia akan tersalah dalam memperlakukan dirinya dan nasib malang pasti menimpa dirinya. Ibarat kita diberikan hadiah sebilah pisau, kita mesti tahu bahawa pisau mempunyai fungsi yang positif dan negatif. Bila dan bagaimana keduanya berfungsi mesti dipelajari dan diikuti supaya kita mendapat kebaikan darinya dan selamat dari keburukannya.

Ya, berhubung dengan persoalan diri manusia itu, yang kita katakan bersifat ingin disayangi, mengapa pula terjadi hal sebaliknya iaitu manusia tidak ingin menyayangi orang lain? Lojiknya, kalau kita mahu orang sayangkan kita tentu kita dulu yang sayangkan orang lain. Barulah kasih berbalas. Sebagaimana juga kalau kita tidak suka orang marah pada kita, kita jangan marahkan orang lain. Tetapi sifat pelik manusia ini ialah dia mahu disayangi tetapi tidak pula suka menyayangi. Dalam pada dia harap orang sayang padanya, dia marah-marahkan orang atau membuat perkara-perkara yang menjadikan orang tidak sayangkannya.

Mengapa dia tidak memberi kasih sayang kalau dia benar-benar mengharapkan kasih sayang? Mengapa dia tidak beri simpati kalau dia mengharapkan simpati? Mengapa tidak menghormati orang lain kalau ingin dihormati? Bukankah sepatutnya dia berfikir untuk memberi kasih sayang kepada orang supaya orang itu pula memberi kasih padanya? Ini tidak, dia saja harap orang kasih padanya, tetapi dia sendiri tidak kasihkan orang. Hingga akibatnya tiada manusia yang mendapat kasih sayang dan manusia lain, kerana berpunca dan tidak memberi kasih pada orang.

Mengapakah hal ini terjadi? Al Quran ada memberi sebab-sebabnya dan cara-cara mengatasi masalah ini.

1. Terdapat ayat-ayat yang berbunyi:
"Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan." (Yusuf: 53) )
" Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh (batiniah) yang nyata." (Yasin: 60)

Ya, rupa-rupanya dalam seketul hati anak Adam itu diciptakan juga sejahat-jahat musuh manusia. Musuh dalam diri lebih bahaya dari musuh dalam selimut. Musuh dalam diri boleh bawa manusia ke Neraka dunia dan Akhirat, kerana musuh-musuh batin menimbulkan sifat-sifat keji dalam hati yang menjahanamkan hidup manusia. Apakah dia sifat-sifat hati yang akan menjahanamkan hidup manusia itu?

Di antaranya ialah sombong atau takabur atau ego, sifat pemarah, sifat bermegah-megah, hasad dengki, bakhil, riyak (menunjuk-nunjuk) dan lain-lain lagi. Sifat-sifat ini, yang disebut sebagai sifat mazmumah, sangat mendorong manusia berkrisis dengan manusia lain dan sangat menghalang manusia dari memberi kasih sayang pada manusia lain, bilamana manusia memperturutkan mazmumahnya.

Ertinya dia tidak dapat menyayangi orang lain dan orang lain pun benci padanya, kerana kejahatan-kejahatan yang diperturutkan. Yang kejahatan itu dibenci oleh manusia. Inilah sebab utama dan penting mengapa manusia yang ingin dia disayangi, tidak dapat menyayangi manusia lain. Dia suka kebaikan dilakukan padanya tetapi tidak dapat melakukan kebaikan pada orang lain.

Seorang yang sombong, akan membesar-besarkan dirinya di depan orang lain, tidak mesra dan tidak merendah diri, hingga orang lain takut dan benci padanya. Orang tidak jadi hendak sayang padanya, walaupun dia itu cantik, pandai, berjawatan dan lain-lain keistimewaan ada padanya. Orang kagum padanya tetapi takut untuk mendekatinya. Maka dia tidak memperolehi kasih sayang yang patut diperolehi dan yang diingininya. Sedangkan kalau dia tidak sombong, dengan keistimewaannya itu sudah cukup untuk dia disayangi dan menyayangi.

Demikianlah mazmumah; ia menghalang manusia hingga manusia tidak lagi sayang-menyayangi bahkan benci membenci. Hal ini berlaku di kalangan manusia sebangsa dan seagama yang tiada hubungan darah.

2. Bagi mereka yang ada hubungan darah seperti antara ibu dan anak atau antara suami dan isteri, yang kasih antara mereka bersifat tabi`i atau semulajadi, mungkin mazmumah itu tidak sehebat pada orang lain. Ertinya, ayah biasanya tidak sombong pada anak dan sebaliknya anak pun tidaklah menyombong dengan ibu bapa. Tetapi mengapa pula tidak timbul kasih sayang?

Saya kira dalam soal ini, kasih tabi`i tidak dapat disuburkan kerana dihalang oleh kejahilan. Yakni masing-masing pihak tidak tahu pentingnya kasih sayang disuburkan dan tidak tahu juga bagaimana cara memberi kasih. Mereka tidak diajar tentang itu sama ada di rumah atau di sekolah. Bila tidak dididik maka syaitanlah yang mengajarkan; supaya anak-anak meninggi suara dengan ibu ayah, ibu ayah pula suka berleter dan berkasar dengan anak-anak. Padahal mereka saling kasih-mengasihi. Tawarlah hati bila demikian keadaannya.

Demikian juga guru dengan murid, antara mereka tidaklah berhasad dengki tetapi kerana tidak pandai membuktikan kasih, akhirnya pecah hati masing-masing.

Begitu jugalah suami isteri, memang saling cinta-menyintai (cinta nafsu) tetapi kerana tidak tahu atau tidak pandai melayan perasaan antara satu sama lain, akhirnya pecah-belah. Ya, akibat tidak belajar tentang ilmu memberi dan memelihara kasih sayang, maka nafsu dan syaitanlah yang mengajar hingga punahlah cinta tabi`i dan kasih biologi itu.

3. Penghalang lain yang membuatkan manusia tidak mampu mengekalkan kasih sayang sesamanya ialah sifat tidak sabar dengan ragam kawan. Katakanlah dua orang yang berkawan itu saling berkasih sayang, kerana masingmasing pandai menjaga hati dan memberi kasih. Tetapi kasih antara mereka masih boleh terlerai kalau ada sifat tidak sabar dengan kejahatan dan kesilapan atau kerenah satu sama lain.

Sedangkan manusia tidak sunyi dan salah dan silap. Misalnya, si kawan asyik bertanya itu dan ini hingga dia jemu melayan, lalu hilanglah sabarnya. Maka dia pun bermasam muka atau menjauh diri atau memberontak. Lalu hilanglah kasih sayang. Sedangkan kalau dia boleh bersabar, tentu kasih yang sudah ada boleh dikekalkan.

4. Kita tentu akui bahawa dalam pada kita ada perasaan ingin disayangi orang, kita juga bersifat sangat mementingkan diri sendiri. Sifat ini membuatkan kita kurang memikirkan kepentingan dan perasaan orang lain kerana terlalu memikirkan nasib kita. Kita kurang simpati dengan kesusahan orang lain, sebaliknya lebih menimbang-nimbangkan diri dan keluarga sendiri. Akibatnya, kita akan sanggup lihat orang susah asalkan kita senang.

Sebab itulah terjadinya kisah-kisah pemimpin-pemimpin negara menyalahgunakan kuasa negara dan rakyat. Peniaga-peniaga menaikkan harga barang dengan kadar yang tidak patut, memonopoli kekayaan, membayar gaji yang terlalu rendah kepada buruh dan lain-lain lagi. Sikap tolak-ansur, belas kasihan dan simpati pada orang tidak berlaku lagi.

Maka tidak peliklah kalau kita lihat hari ini rakyat tidak sayangkan pemimpin, pembeli atau pengguna membenci kapitalis dan lain-lain lagi.

5. Rasa fanatik kaum atau kelompok juga menjadi sebab mengapa kasih sayang terhalang. Bilamana manusia mengikutkan rasa melebihkan puak, dengan sendirinya manusia akan memandang rendah pada puak lain. Bila berlaku demikian, maka masing-masing akan saling bersaing, berlumba-lumba dan bergelutan. Hingga tertutuplah pintu-pintu untuk lahirnya kasih sayang di antara kumpulan dengan kumpulan.

Saya kira lima hujah di atas sudah cukup untuk memperlihatkan bahawa manusia ini diciptakan dalam keadaan yang sungguh pelik dan ajaib. Kerana dalam dirinya yang bersifat baik, ada musuhnya yang sangat jahat. Dirinya, yang asalnya cukup baik tetapi telah dirosakkan oleh musuh dalamannya tadi. Dia cinta kebaikan tetapi kerana tertipu dengan musuh yang ada di dalam dirinya, dia melakukan kejahatan.

Mengapa demikian halnya manusia ini diciptakan?
Adilkah ciptaan ini? Bukankah elok kalau manusia itu diciptakan tanpa musuh di dalam dirinya? Ya, mungkin ada pembaca yang menyoal demikian!

Tuhan Maha Bijaksana kerana menjadikan sifat-sifat jahat dan sifat baik dalam diri manusia. Kemudian diciptakan pula akal untuk memilih, berfikir dan bertindak. Kalau seseorang itu memilih kebaikan, tentu dia berusaha untuk mendapatkannya. Demikian juga kalau dia memilih kejahatan, tentu dia berusaha pula ke arah itu. Biasanya manusia sanggup berbuat apa saja untuk menjayakan pilihannya.

Tetapi ALLAH, kerana menciptakan manusia bukan dengan sia-sia, maka Dia akan mengadili pilihan manusia itu.
Firman-Nya:
" Beruntunglah siapa yang mensucikan hatinya. Dan rugilah orang yang mengotorinya." (Asy Syam: 9-10)
" Barangsiapa bermujahadah pada jalan Kami, nescaya Kami tunjukkan jalan Kami." (Al Ankabut: 69)


Walaupun ALLAH benarkan memilih, namun ALLAH hanya terima hamba-Nya yang memilih kebaikan dan berusaha ke arah itu. Siapa yang memilih kejahatan, ALLAH akan adili dan soalkan serta pertanggungjawabkan nanti, bilamana dia dipanggil berpindah ke alam kubur atau Alam Barzakh dan Akhirat. Di sinilah lojiknya adanya kehidupan selepas mati. Supaya manusia diberi keputusan terhadap ujian-ujian yang dihadapkan padanya di dunia. Kalau tidak ada sambungan lagi, ertinya hidup di dunia tiada keputusan, tiada penamat, tiada keadilan dan pembalasan, kepada kejadian-kejadian di dunia yang sifatnya belum selesai atau tamat.

Kalau tidak ada musuh dalam diri, tiada gunalah ada akal. Kalau tidak ada akal, untuk apa manusia ini diciptakan? Cukup dengan malaikat dan binatang-binatang memenuhi alam ini. Begitulah maksud ALLAH terhadap kita ciptaan-Nya. Kalau kita faham hakikat ini, kita akan tahu tujuan hidup, cara-cara untuk hidup dan ke mana sudahnya hidup ini. Sebab semuanya ini ada dalam `katalog` tentang penciptaan manusia ini!

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer