Perjuangan Islam Berbeza Dari Perjuangan Umat Islam

Untuk pengetahuan bersama, agar tidak dikelirukan, bahawa perjuangan Umat Islam dengan perjuangan Islam adalah berlainan, jangan kita tidak faham.Kita yang berjuang ini hendaklah faham kedua-duanya itu ada perbezaan.

Perjuangan umat Islam adalah perjuangan yang diusahakan oleh umat Islam tidak kira berteraskan Tuhan ataupun berlandaskan syariat Islam sekalipun perjuangan umat Islam itu global di semua aspeknya ataupun satu-satu aspek sahaja tapi tidak berasaskan iman dan tidak berlandaskan syariat Islam. Sedangkan Islam itu cara hidup, berteraskan iman dan syariat Islam daripada persoalan hidup hingga mati berlandaskan Islam.

Perjuangan Islam adalah satu perjuangan yang dikendalikan oleh umat Islam di bawah seorang pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan setidak-tidaknya seorang pemimpin Islam yang bertaqwa yang ilmu Islamnya cukup di seluruh aspeknya. Dia memimpin pengikut-pengikutnya ke arah cita-cita Islam yang berlandaskan syariat Islam, Tuhan sebagai teras perjuangan ataupun dengan kata lain, terasnya adalah iman.

Yang ada sekarang ini di seluruh dunia perjuangan umat Islam, perjuangan Islam oleh Umat Islam tidak ada sebenarnya mengikut ciri-ciri yang kita katakan. Oleh itu perjuangan umat Islam tidak dapat bantuan Tuhan makin gigih umat Islam berjuang, semakin mendapat kehinaan. Perjuangan umat Islam di merata dunia hari ini tidak disegani oleh musuh Islam bahkan mudah masuk perangkap musuh-musuh Islam.

Terutama orang-orang Yahudi yang peka sangat dengan Islam dan umat Islam bahkan mereka lebih suka umat Islam itu berjuang kerana perjuangan umat Islam itu akan melemahkan umat Islam dan ajaran Islam. Tetapi umat Islam riuh rendahlah dengan perjuangan sedangkan perjuangannya disedari atau tidak dimonitor oleh musuh-musuh Islam. Itulah akibatnya umat Islam yang berjuang tidak berteraskan iman dan berlandaskan syariat Islam.Umat Islam yang berjuang, yang untung musuh-musuh Islam

Memperjuangkan Islam bukan sekadar memberitahu halal dan haram, membangunkan Islam bukan cukup hanya mengecap seseorang itu bidaah, sesat, fasik, munafik, ekstrim dan melampau.
Memperjuangkan Islam bagaimana menyuburkan tauhid dalam fikiran, siapa yang takutkan Tuhan dan mencintai serta menghayati Tuhan, agar Tuhan jadi tempat rujuk dan tempat menaruh harapan, Tuhan dibesarkan, diagungkan bahkan tempat sandaran insan hingga Tuhan diingati dimana-mana dan dirasakan Tuhan adalah segala-galanya.

Memperjuangkan syariat Islam tidak sama dengan memperjuangkan ideologi dan undang-undang ciptaan akal manusia. Orang yang memperjuangkan syariat dahulu padahal masyarakat belum lagi kenal, cinta dan takutkan Tuhan pemilik syariat, sebenarnya mereka tidak mengikut Sunnah dan jalan yang pernah ditempuh oleh Rasulullah SAW. Mereka mengikut jalan yang telah ditempuh oleh pejuang-pejuang ideologi yang sekular. Sejarah Rasulullah SAW yang berjuang selama 23 tahun itu, 13 tahun pertama baginda mengenalkan Tuhan kepada manusia agar Tuhan dikenal dicintai dan ditakuti. Kemudian barulah baginda memperjuangkan syariat Tuhan selama 10 tahun.

Padahal Tuhan itu satu, sedangkan syariat Tuhan beribu-ribu banyaknya, tapi waktu yang diambil untuk memperjuangkan Tuhan lebih banyak. Sebab, apa erti berjuang bila tidak kenal dan cinta Tuhan. Apa erti solat, zakat, puasa, haji, menutup aurat, bila tidak kenal, cinta dan takutkan Tuhan. Apa erti menolong orang tua dan kawan-kawan bila tidak dibuat atas dasar hendak mencari redha Tuhan. Mengerjakan satu amalan syariat, suatu kebaikan atau meninggalkan suatu larangan bila dibuat bukan atas dasar Allah, maka dia mungkin riyak atau munafik. Dosa riyak atau munafik ini lebih besar daripada dosa tidak menutup aurat, menipu atau mencuri.

Jadi bila kita tersalah teknik dalam berjuang, kita memperjuang-kan syariat tanpa memperjuangkan Tuhan lebih dahulu maka secara sedar atau tidak sedar kita berjuang untuk menjadikan rakyat munafik. Kalaupun tidak semua rakyat mungkin sebahagian.

Jalan yang ditempuh ini bukan jalan Islam. Bukan jalan yang Tuhan sampaikan pada Rasul. Tapi jalan atau sistem yang diwujudkan oleh musuh kita. Sebenarnya sistem atau cara perjuangan seperti ini, yang mewujudkannya dan memperjuangkannya bukan orang Islam, dia musuh Islam.

Dari sini barulah orang ingin bersyariat sebagai melahirkan cinta kepada Tuhan, dari sini orang akan cinta mencintai sesama insan, orang akan bersatu padu, rasa bersama dan bekerja sama, lahir timbang rasa, mengutamakan orang lain, khidmat sesama manusia kerana Tuhannya.

Orang kaya menjadi bank kerana pemurahnya, inginkan pahala dari Tuhannya, cerdik pandai tawadhuk, yang bodoh merujuk, yang miskin sabar di dalam hidupnya. Begitu juga berjuang menunjuk jalan bagaimana mengutamakan akhirat, menggunakan apa yang ada pada diri manusia, memberitahu bagaimana bersatu di dalam Islam, maju secara Islam, berhibur mengikut Islam,
menunjuk jalan bagaimana berekonomi menurut Islam, bermasyarakat secara Islam.

Yang lebih penting para pejuang di dalam diri mereka ada role model untuk diikut, ibadahnya, perpaduannya, masyarakatnya, ekonominya, keluarganya, kebersihannya, kasih sayangnya, kerjasamanya dan lain-lainnya. Inilah dia perjuangan Islam sebenarnya, bukan sekadar cakap-cakap, slogan dan syarahan. Yang lebih awal daripada semua itu, para pemimpin Islam ada ilmu untuk disarankan, untuk pimpinan dan didikan. Ia merupakan panduan untuk insan yang ada kemahuan, bukan sekadar slogan, gesaan dan semangat-semangat yang tidak ada panduan.
Kalau cara itu umat Islam berjuang cepat membatalkan tujuan, kalau tidak hanya angan-angan bahkan membawa perpecahan. Para pejuang mestilah cukup persiapan, persiapan ilmu, role model kepada manusia yang hendak disedarkan. Kalau begitu berjuang bukan mudah dan senang tapi amat mencabar, bukan seperti makan minum dan berpakaian serta hiasan,

Selanjutnya: sifat-sifat-perjuangan-kebenaran

 

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer