00 Muqaddimah






Untitled Document



MUQADDIMAH
ANAK-ANAK adalah amanah Allah kepada ibu bapanya. Kalau diibaratkan mutiara yang diserahkan kepada seseorang untuk menjaganya, maka mestilah orang yang berkenaan itu menjaganya agar tetap terpelihara keasliannya sebagaimana ketika ia diserahkan. Kalau diibaratkan harta yang diamanahkan supaya menjadi modal perniagaan pula, maka harta itu mestilah dipergunakan sebaiknya agar modal itu bertambah dan berhasil. Hendaknya ketika diserahkan kepada tuan punyanya, harta itu tetap dalam keadaan baik bahkan bertambah. Anak-anak yang Allah amanahkan itu mestilah dijaga dalam dua bentuk yang telah dinyatakan.
Dari itu anak-anak mesti dididik agar keasliannya (fitrah semulajadinya) terjamin dan perkembangannya menepati sebagaimana yang diamanahkan. Oleh itu persoalan mendidik anak-anak menjadi terlalu penting

Ini jelas sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah

"Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih) maka kedua Ibu bapanyalah yang mencoraknya sama ada mahu menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi" (Riwayat Bukhari dan Muslim)"

Hadis ini secara langsung mengiktiraf ibu bapa sebagai guru; membimbing, mengasuh dan mencorak anak-anaknya semahunya. Merekalah yang bertanggungjawab untuk mencorak generasi akan datang. Bermula dari didikan semasa kecil inilah sebagai penentu corak hidup mereka di masa akan datang. Kalau kita mencorakkan dengan corak hijau maka hijaulah akan jadinya bila dewasa kelak; kalau merah yang kita corakkan maka merahlah yang akan terbentuk nanti.

Justeru itu anak-anak hendaklah dilatih supaya membiasakan diri dengan perbuatan atau pekerjaan baik. Akhlak mereka diperhatikan selalu agar memiliki akhlak mulia. Sebaliknya jika mereka dibiasakan dengan perbuatan jahat atau dicuatkan dalam pendidikan maka akan jadilah anak itu seorang yang jahat, derhaka dan berbagai-bagai lagi. Sebab itulah Allah dengan tegasnya memenntahkan orang-orang mukmin dalam firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli (keluarga) kamu dari api Neraka." (At Tahrim: 6)

Cara untuk memelihara mereka dari api neraka hanyalah dengan memberi didikan dan ajaran yang baik. Didikan tersebut tidak lain dan tidak bukan sudah tentu bermula dengan memperkenalkan Tuhan kepada mereka sehingga benar-benar tumbuh rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati mereka. Selain itu anak-anak perlu dididik dengan adab-adab yang baik seperti adab makan dan minum, adab bergaul, adab berbual, adab tidur dan macam-macam lagi. Kalau semua ini sudah dilatih sejak kecil, pastilah ia akan menjadi amalan setelah dewasa kelak.
Dalam masa yang sama hendaklah diawasi mereka agar jangan berkawan dengan orang yang jahat dan buruk pekertinya, jangan membiasakan mereka dengan kesenangan, kemewahan yang berlebihan dan jangan selalu melayani kemahuan mereka. Kalau ini tidak dijaga, mereka akan menjadi orang yang manja malah malas bekerja apabila dewasa. Ini akan merosakkan kehidupan mereka di masa hadapan.

Apa yang disebutkan di atas sudah menjadi kenyataan. Kegagalan umat Islam kini adalah berpunca daripada pendidikan terhadap anak-anak yang dicuaikan. Kita sepatutnya sedar dan berusaha ke arah satu sistem pendidikan yang berjaya untuk melahirkan generasi anak soleh yang mampu membina empayar kegemilangan Islam. Di tangan mereka inilah nanti yang akan membangunkan dunia ini dengan segala kecanggihan teknologi terkini berteraskan cinta dan takut kepada Tuhan. Inilah yang kita harapkan terhadap
generasi anak-anak hari ini. Buku PANDUAN ANAK SOLEH inilah yang diharap dapat memandu kita semua. Selamat membaca.

Artikel ini adalah bagian dari buku Panduan Anak Soleh yang berisi panduan-panduan untuk anak soleh dari Abuya Syeikh Ashaari bin Muhammad At Tamimi

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer