Yang Halal, Yang Berkat Dan......


09/05/2006

Utusan Malaysia 8 Mei 2006
Forum Halal Sedunia 2006 bermula - Trend ekonomi global yang
semakin dinamik telah mencetuskan minat terhadap penerokaan dimensi baru pasaran halal. Sehubungan dengan itu , .......................

Forum yang difokuskan di dalam ruangan tengah akhbar Utusan Malaysia
telah memaparkan kepada kita bagaimana kehendak pasaran umat Islam
terhadap barangan halal sehingga mencecah RM500 billion setahun adalah amat mengkagumkan sehingga sesiapa sahaja pun yang menceburi industri ini dalam mengeluar dan memasarkan produk halal pasti mendapat tempat atau meraih laba berikutan permintaannya yang tinggi.

Namun apa hendak diperkatakan di sini bukanlah soal permintaan pasaran yang tinggi terhadap produk halal itu sendiri tetapi ada beberapa faktor lain juga sepatutnya diutarakan bagi memecahkan kepompong pemikiran umat Islam yang setelah sekian lama bersarang di dalam diri umat Islam sehingga apabila membuat analisa atau kajian hanya bersekitar soal-soal atau faktor-faktor wang ringgit , modal , permintaan pasaran dan sebagainya atau dengan kata-kata lain ianya hanya berlegar di dalam
ruang lingkup dunia sahaja tanpa mengkaitkannya dengan soal-soal
keTuhanan.
Adalah dirasakan bangga juga kerana Malaysia dikatakan mampu menjadi hub halal antarabangsa di mana pernah dimaklumkan sebelum ini bahawa logo halal daripada JAKIM telah mendapat pengiktirafan di Timur Tengah bagi membolehkan sesuatu produk digunapakai oleh umat Islam di sana.

Apa yang hendak diutarakan di sini ialah kesedaran umat Islam terhadap
barangan Islam adalah tinggi , namun ada beberapa faktor lagi daripada
perspektif tertentu perlu dilihat supaya halal tidak sahaja daripada
bebas daripada mengandungi Najis Mughalazah semata-mata maupun bebas daripada Najis Mutawassitah, malahan meliputi skop perlaksanaan terhadap pemprosesan produk halal tersebut , matlamat kepada penyertaan industri makanan halal , dominasi rangkaian pemasaran oleh umat Islam sendiri, badan yang benar-benar berwibawa dalam menyelamatkan umat Islam daripada perkara-perkara yang haram dan yang lebih utama dasar terhadap perintah menjauhkan yang diharamkan oleh Tuhan kepada manusia sejagat.

Tidak kira apa jua di dalam kehidupan manusia tidak akan terlepas
daripada 5 hukum iaitu wajib , sunat , haram , makruh dan harus.
5 hukum yang dinyatakan tadi adalah bersumber daripada perintah Tuhan
terhadap manusia yang disampaikan melalui Al-Quran dan Hadith serta
dipecahkan lagi kepada Ijma' Ulama' serta Qias. Maka hukum hakam
tersebut adalah jelas dan nyata kepada semua hatta perkara yang harus
pun boleh mendatangkan pahala sekiranya menempuhi 5 syarat seperti
berikut :-

1) Niat kerana Tuhan
2) Perkara yang hendak dibuat hendaklah bertepatan dengan syariat
3) Perlaksanaannya hendaklah betul menurut syariat
4) Natijah atau matlamatnya hendaklah kerana Allah SWT
5) Tidak meninggalkan perkara-perkara yang asas yang terangkum di
dalam rukun Iman dan rukun Islam

Cukup syarat di atas , maka apa juga yang dilakukan, di sisi Tuhan ada
nilaian.

Namun konsep halal yang dicetuskan di pasaran sekarang tidak
mencerminkan satu identiti yang boleh membawa manusia kepada Tuhan
pencipta alam ini. Persoalan yang di bawa hanyalah soal untung-rugi dan
jumlah keterlibatan dana yang besar di dalam industri produk halal ini.
Soal siapa yang memerintahkan halal atau haram ini , tidak disebut
langsung. Soal mereka yang meraih untung besar daripada permintaan
produk halal ini tidak diambil kira, malahan penguasaan bukan Islam
terhadap produk halal ini juga bukan lagi perkara yang harus dititik
beratkan. Halalnya adalah kerana ada keuntungan komersil atau duniawi
semata-mata. Hasilnya dalam merebut peluang di dalam pasaran produk
halal ini, logo juga menjadi bahan perdagangan yang melibatkan kos yang
tinggi.
Ada sebuah syarikat makanan segera di negara ini memaklumkan bahawa
untuk mendapatkan status halal kepada makanan jualan mereka , mereka
membelanjakan lebih RM200 ribu setahun bagi logo atau tanda halal
tersebut. Telah terpapar banyak berita di akhbar-akhbar , banyak
syarikat-syarikat yang telah memperolehi status halal daripada pihak
yang bertanggungjawab terbukti menyeleweng daripada status halal yang
mereka perolehi sekaligus memberikan keraguan masyarakat terhadap pihak yang memantau dan mengeluarkan status halal di negara ini.

Pasti ini memeranjatkan, namun setelah beberapa ketika perkara ini
senyap begitu sahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku dan umat Islam
boleh meneruskan kehidupan mereka sendiri tanpa perlu risau akan status
halal yang terdapat di merata negara. Begitulah apa jua perkara
sekiranya tidak menepati ciri-ciri atau kehendak Tuhan yang menurunkan
perintah halal kepada manusia ini, sekiranya tidak benar-benar dihayati
dan difahami falsafah disebaliknya, maka perlaksanaan yang dibuat jauh
menyimpang daripada perintah Tuhan tersebut, iaitu untuk kebaikan
manusia sejagat.

Kita perlu tahu dalam menghasilkan produk halal ini, soal perkara atau
subjek yang hendak dihalalkan itu bukan semata-mata atas unsur-unsur
(jisim) yang terkandung di dalamnya semata-mata, kerana kalau hendak
dikatakan halal pada lahirnya, di negara barat telah lama
mengimplementasikan produk halal (walaupun tiada logo halal) di dalam
perniagaan mereka seperti "Interest Free Credit" di dalam sektor
kewangan mereka seperti di United Kingdom. Begitu juga di Switzerland
mengadaptasi perkara yang sama di sesetengah syarikat kewangan mereka. Malahan di Israel sendiri tidak mengamalkan riba' di kalangan mereka mahupun di sektor perbankan yang melibatkan urusan dengan bangsa mereka.

Ada juga sebuah syarikat antarabangsa di negara ini telah menjadi
dominasi produk-produk barangan halal terbesar , tetapi ianya milik
bukan Islam.

Amat ketara sekali bahawa, penguasaan bukan Islam terhadap produk halal di pasaran dunia bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Ini telah melabelkan umat Islam secara umumnya sebagai "non independent" dan hanya bergantung kepada orang lain untuk hidup sendiri. Daripada jumlah ratusan juta umat Islam di dunia, namun tidak ada satu kelompok pun mampu bersaing dengan bukan Islam untuk keperluan umat Islam sendiri.
Yang bukan Islam bukan perlukan kepada produk halal untuk kehidupan
mereka, malahan mereka pada asalnya menumpang dengan umat Islam kini mereka pula mendominasikan umat Islam. Tampak kecil tetapi sebenarnya amat serius kerana ianya melibatkan maruah umat Islam sendiri. Sampai bilakah baru kita mampu berdikari tanpa bergantung pada orang lain?
Persoalan inilah perlulah dijawab dan apakah langkah-langkah yang hendak diambil bagi mengatasinya.

Apa jua boleh berlaku dalam proses pengeluaran produk halal oleh bukan Islam ini, bukan bermaksud untuk prejudis tetapi apabila Tuhan telah memberikan amaran kepada kita melalui Al-Quran yang maksudnya :-

"Sesungguhnya tidak akan redho Yahudi dan Nasara sehingga kamu ikut akan mereka (cara)"

pastinya kita akan memikirkan semula apakah benar-benar halal
pengunaannya oleh umat Islam ? Halal setakat mana ? Bercampur adukkah dengan perkara-perkara yang haram atau subahat di dalamnya ? Keuntungan yang mereka perolehi, ke manakah disalurkan manfaatnya? Siapakah di belakang pemilikan syarikat yang berstatus korporat antarabangsa ini?

Namun semua ini tidak lagi menjadi persoalan sekiranya umat Islam mengubah sikap dan menjadi bebas dan menentukan sendiri hala tuju yang kita sendiri seperti yang sudah diperintahkan.
Kerana panduan sudah ada, cuma tinggal laksanakan sahaja. Tapi semua ini perlu kepada pencetusnya. Sebab pencetusnya bukan sebarang orang yang boleh melawan arus "mainstream" yang ada. Ianya mestilah seorang yang penuh karisma , kaliber dan yang paling utama paling bertaqwa di
kalangan manusia kerana tanpa taqwa , pastinya tiada bantuan Tuhan dan
tanpa bantuan Tuhan pastinya usaha ke arah melahirkan umat Islam yang
peka terhadap situasi yang "sebenar" akan kecundang. Dan yang lebih
pasti lagi orangnya bukanlah sebarang orang dalam melawan penjajahan
minda, penjajahan sistem dan penjajahan doktrin kerana ianya mestilah
membawa uslubnya tersendiri mengikut panduan Al-Quran dan Hadith dalam perjuangan menyelamatkan ummah.

Ini bukan kerja calang-calang orang sebab sekiranya bukan orang yang
dibantu Tuhan usaha mulia ini hanya akan tinggal nama sahaja , dan
terbarai di tengah jalan.

Wallahua'lam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer