Wanita Bukan Manusia Second Class


23/12/2005

Wanita itu dicipta dari tulung rusuk yang bengkok bukanlah Hadis yang asing bagi kita. Pandangan umum tentang maksud Hadis ini ialah wanita itu mudah terpengaruh melakukan perkara-perkara yang kurang baik. Kalau dibiarkan, mereka akan terus berkeadaan bengkok . Kalau hendak diluruskan pun, mesti berhati-hati kerana takut-takut mereka terus patah. Dengan kata-kata lain ia menunjukkan kelemahan wanita. Wanita seolah-olah manusia kelas kedua. Apakah tafsiran ini tepat? Mari kita tinjau apakah sebenarnya maksud Hadis ini?

Ia suatu keistimewaan

Maksud bengkoknya tulang rusuk itu adalah satu kesempurnaan dan bukan satu keburukan kepada diri wanita. Kerana bengkoknya tulang rusuk itulah, ia dapat melindungi organ-organ yang sangat penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, hati, paru-paru dan limpa. Kalau tulang rusuk itu tidak bengkok, ia tidak dapat memainkan peranan itu.

Ini bermakna bengkoknya wanita ialah satu sifat semulajadi yang Allah ciptakan untuk wanita agar dia dapat memainkan peranan yang tidak dapat dimainkan oleh lelaki. Sifat semulajadi yang dimaksudkan itu ialah sifat rahmah atau penyayang pada wanita. Dengan sifat penyayang ini, wanita mampu memelihara, menjaga dan mengasuh serta mendidik anak dengan sabar. Demikian juga mereka boleh melakukan tugas-tugas masyarakat yang memerlukan sifat lembut dan penyayang.

Tanggapan negatif terhadap wanita perlu dikikis. Secara individu, kemampuan wanita untuk menjadi baik adalah sama dengan kemampuan lelaki. Kalau lelaki boleh capai taraf iman yang tinggi, begitu juga wanita. Kalau lelaki boleh mencapai tahap taqwa yang tinggi, begitu juga wanita. Cuma, wanita tidak boleh mencapai tahap iman atau ketaqwaan yang tertinggi iaitu tahap para Nabi dan Rasul. Tetapi mereka ini lelaki pilihan, lelaki biasa pun tidak boleh capai tahap tersebut.

Walau bagaimanapun, untuk menjadi seorang wanita yang sempurna di sisi Islam, wanita perlulah dipimpin oleh lelaki kerana itulah kelebihan yang Allah sudah kurniakan kepada kaum lelaki sepertimana kelebihan sifat penyayang itu dikurniakan kepada wanita. Tidak ada diskriminasi dalam Islam.

Allahu Akbar!

Allahu Akbar. Tiada diskriminasi dalam ad-Deen. Oleh sebab itu, tidak ada sebab perlu wujudnya gerakan-gerakan feminisme atas nama "hak wanita" dalam sebuah negara Islam! Ana kesal, mengapakah wujudnya segelintir wanita yang merasakan perlunya gerakan feminisme ini, hatta mereka yang bertudung labuh sekalipun. Feminisme itu merupakan satu bentuk asobiyyah (racist/sexist/nasionalist), dan ia merupakan satu bentuk diskriminasi secara tidak langsung kepada kaum Adam. Berhentilah merendah-rendahkan wanita dan berhentilah jua menyamatarafkan wanita dengan lelaki. Wanita dan lelaki, masing-masing ada status mulia yang tersendiri dalam Islam. Wallahu A'lam. Wassalam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer