Wahai Petani Dan Nelayan, Janganlah Engkau Bersedih Hati


01/10/2006

Wahai petani dan para nelayan janganlah engkau bersedih hati engkau tidak dikenali. Janganlah berkecil hati orang ramai tidak peduli, mereka hanya kenal makanan, sayur-sayuran, ikan dan daging yang engkau hasilkan setiap hari. Makanan yang sedap-sedap tidak diambil tahu pun oleh mereka siapa kamu dan dari mana kamu hasilkan. Kamu susah atau senang mereka tidak pun ambil peduli dan prihatin.

Begitulah sikap manusia yang sudah ditakdirkan Tuhan terhadap orang yang berjasa macam kamu nelayan dan petani. Redhalah, yang penting ikhlaskan hati agar kamu mendapat ganjaran dari Tuhanmu setiap hari.

Minda-mindaku juga sudah diterima orang, tanpa pengetahuan dari mana minda itu datang. Aku sebenarnya sudah senasib dengan kamu. Aku bangga mindaku diterima orang sekalipun aku belum diterima dan tidak diketahui orang, tidak mengapa kamu tidak dikenali, yang penting kamu berjasa kepada negara, bangsa dan agama. Itulah bakti kepada bangsa, negara dan umat di dalam hidupmu.

Aku dan kamu senasib, aku tidak berkecil hati minda-mindaku sekarang ini macamlah barang-barang yang kamu hasilkan setiap hari. Siapakah punya minda itu mereka tidak ingin tahu. Mungkin ada yang mengaku ia adalah dari ilmu mereka sendiri. Aku tidak berkecil hati mesti ada hikmah dari Tuhan Rabbul alamin. Tentulah ada baiknya mindaku diterima mereka tidak tahu dari aku.

Penerimaan minda itu adalah makanan akal dan jiwa, aku dikenali tidak perlu, yang penting mindaku difaham, dihayati, dijadikan panduan untuk hidup mereka. Tuan-tuan dan puan-puan janganlah bersedih hati kamu tidak dikenali yang penting bahan-bahan yang dihasilkan oleh kamu itu amat diperlukan. Itulah khidmat kamu untuk manusia dan yang bernyawa, sepertilah mindaku itu, ia adalah sumbanganku kepada bangsa, negara dan agamaku. Moga-moga aku ikhlas, itulah yang aku akan bawa mati semoga Tuhan meredhaiku. Itulah yang penting bagiku. Aku berlindung dengan Tuhan daripada mencari nama, Ampunkan dosa aku Tuhan, ampunkanlah aku jika berlaku..

19.5.2004 1 Menjelang Maghrib

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer