Untungnya Siapa Yang Berniaga(2)

Kuliah Umum


23/01/2006

6.Ujian-ujian dalam perniagaan memang banyak. Allah akan lakukan itu semata-mata untuk memberi peluang kepada para peniaga untuk bersabar. Yakni menerima ujian dengan hati takut dan harap kepada Allah. Takut untuk melenting dan marah-marah terhadap ragam manusia. Maka ditahan hati, ditekan rasa serta ditelan rasa kepahitan dengan mengharap pertolongan dari Allah akan segala keperluannya. Orang yang sabar akan dapat rezeki dan pahala tanpa hisab.

Allah berjanji dengan firman-Nya:
Maksudnya: "Orang-orang yang sabar disempurnakan pahalanya tanpa terhitung." (Az Zumar: 10)

Kalaulah kita boleh buat latihan-latihan praktikal secara serius untuk menjadi seorang yang sabar, masyaAllah, besarnya keuntungan dari perniagaan ini. Apa kita ragu tentang kemampuan Allah mengganda-gandakan perniagaan kita lebih dari apa yang kita sangkakan?
Pada saya berdasarkan pengalaman hidup orang yang tidak sabar, tidak mampu, menekan nafsu, marah-marah, selalunya rugi dalam hidup, orang tidak suka berniaga pun tidak sampai ke mana. Pada saya, sesungguhnya sabar adalah aset yang amat diperlukan dalam hidup.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: "Sabar sesaat itu lebih baik daripada dunia berserta isinya."

7. Islam adalah agama berlapang dada dan memaafkan.Ertinya seseorang yang dapat menerima dan memaafkan hal-hal atau ragam-ragam yang dia tidak setuju atau dia tidak suka, maka benarlah dia seorang yang berakhlak Islam. Sepanjang berurusan jual dan beli memang kita sering berhadapan dengan perkara atau orang yang tidak menyenangkan. Maka ambillah kesempatan ini untuk mengaut keuntungan luar biasa yakni menjadi orang yang paling mulia kerana memiliki akhlak yang paling baik. Kita sembunyikan atau simpankan rasa tidak senang. Jangan gopoh-gopoh melepaskan perasaan, nanti hilang harga diri kita di mata orang. Masalah orang jangan diselesaikan secara bermasalah. Selesaikan secara yang Allah suka. Nanti Allah bantu kita.

Ingatlah firman-Nya dalam Al Quran:
Maksudnya: "Apabila kamu telah berbalah dalam satu-satu perkara, hendaklah kembali kepada Allah dan Rasul, jika kamu beriman dengan Allah dan hari Akhirat." (An Nisa: 59)

Mengapa susah sangat kita hendak memaafkan dan melupakan salah dan silap orang lain? Bukankah kita pun tersalah dan tersilap yang amat memerlukan kemaafan dari manusia? Katakanlah kesalahan orang lebih dahsyat dari kita hingga itu sulit untuk kita mendiamkan sahaja kesalahannya hingga hilang sifat lapang dada dan pemaaf kita. Baiklah, kalau begitu suka saya memberitahu bahawa kesilapan saudara sendiri ialah tidak merendah diri kepada Allah yang telah memberi kebaikan pada saudara yang orang lain pun tidak memperolehinya.

8. Seterusnya peniaga boleh bergembira dan merasa beruntung kerana mereka, beberapa orang lain boleh mendapat pekerjaan. Mendapat pekerjaan ertinya tidak lagi menganggur sekaligus mendapat rezeki halal. Kedua-duanya memang diperintahkan oleh Islam. Bahkan dengan berniaga, tenaga manusia dimanfaatkan kepada manusia lain. Mereka menjadi produktif demi memakmurkan masyarakat dan negara. Begitu besarnya hasil dari keuntungan dari perniagaan kita. Keuntungan bentuk begini (maknawiah) sebenarnya lebih menenangkan. Jadi kalau Allah uji kita dengan mengurangkan sikit keuntungan wang, tentu kita boleh terima sebab ada keuntungan lain yang sedang kita nikmati. Atau kalau kedua-dua keuntungan kita dapat, ertinya kita lebih patut bersyukur dan merendah diri kerana besarnya pemberian Allah pada `hamba yang seorang ini` dibanding dengan hamba-hamba-Nya yang lain.

9.Hendaknya kita selamat daripada tamakkan duit semata-mata dalam perniagaan. Sebab sebenarnya khidmat kita itu sangat memberi keuntungan pada masyarakat. Pahalalah yang kita harapkan dari khidmat tersebut.
Yakni melalui perniagaan, kita tolong memasarkan barang-barang buatan orang lain terutama buatan saudara kita umat Islam. Usaha-usaha mengeluarkan barangan Islam cukup mulia.
Maka kalau kita sanggup pula menjadi agen pengedarnya, mudah-mudahan kita pun tergolong dalam mereka yang menegakkan fardhu kifayah. Bahkan kalau kita dapat selamatkan barangan yang terbuang dan membazir, mudah-mudahan kita mendapat pahala tidak membazir. Allah sangat benci pembaziran, sebab pembaziran itu kerja syaitan.

10.Bila tertegaknya perniagaan-perniagaan umat Islam, kita melihat satu pembangunan syiar Islam. Menegakkan kemajuan duniawi secara Islam untuk memudahkan kehidupan adalah tanggungjawab semua orang selaku khalifah Tuhan. Dari sana orang akan dapat menyaksikan kebesaran Tuhan dan mereka dapat bersyukur.

11..Tapi selagi umat Islam tidak menegakkan syiar Islam dalam kehidupan mereka terutama di sudut perniagaan, susahlah manusia menganggap Islam itu hebat dan Allah itu Maha Kuasa. Manusia melihat tiada istimewa apa-apa Islam itu dan pada mereka mengapa Tuhan pun tidak menunjukkan kebolehan-Nya?
Kalau begitu alangkah besarnya sumbangan kita jika dapat tegakkan perniagaan secara Islam atas nama Islam. Nanti orang akan merasa nikmat-nikmatnya. Dan membesarkan Allah dan bersyukur kepada-Nya.
Keuntungan paling besar dari perniagaan kita akan dapat bila cukup nisabnya, yakni membayar zakat, sebagai salah satu dari Rukun Islam. Dengan zakat kita dapat membantu fakir miskin dan asnaf-asnaf yang lain. Zakat bagaikan jambatan kasih sayang antara orang berada dengan yang memerlukan. Betapa besarnya keuntungan ini.

12. Kemuncak bagi segala keuntungan ialah perniagaan menjadikan seseorang bertambah ilmu dan pengalaman. Ilmu praktikal tentang pengurusan, kewangan, didikan, menjaga pelanggan serta menghadapi cabaran. Pengalaman pula berbagai-bagai, dapat mengenal manusia, tempat, barang-barang dan nilai serta budaya. Maklumat-maklumat sebegini sangat berharga dalam kehidupan dan memang dituntut dalam Islam kita mencarinya.

Demikian saya melihat keuntungan-keuntungan yang sepatutnya diperolehi oleh siapa yang berniaga, yakni yang berniaga itu diniatkan kerana Allah untuk menegakkan cara hidup Islam. Ertinya sistem perniagaan Islam itu sebenarnya menjamin penggerak-penggeraknya mendapat rezeki yang halal dan dapat iman yang selamat. Insya-Allah.

Insan miskin yang terlibat dalam sistem ini sepatutnya tidak menjadikan perniagaan gelanggang mencari wang semata-mata hingga sanggup menipu dan menindas. Tetapi itulah tradisi di kalangan kapitalis. Mereka tidak ada aset kejiwaan roh tauhid sebagai pengawal perniagaan. Lalu mereka buat sesuka hati demi keuntungan diri semata-mata. Pelanggan atau pengguna atau pembeli kepada kapitalis tidak dilayan. Yang penting mereka mahukan wang pelanggan agar cepat-cepat jadi milik mereka. Sekalipun secara zalim dan ganas, secara langsung atau tidak. Perniagaan mereka tidak jadi pusat-pusat pertemuan dan perpaduan. Jelas sekali budaya nafsi-nafsi berleluasa di sana. Mereka tidak tahu bahawa perniagaan adalah pusat bina insan yang cukup praktikal dan menguntungkan.

Itu hanya ada di dalam ajaran Islam, cuma umat Islam tidak mampu melakukannya sedangkan para pencinta Islam (agama Allah) ini perniagaan ialah medan jihad fisabilillah. Mereka mengumpul dua kekayaan sekaligus, untuk dunia dan Akhirat. Mereka dapat imbangkan material dan spiritual. Lalu mereka memperolehi tamadun yang sempurna untuk masyarakat manusia. Inilah Islam, satu sistem hidup yang boleh jadi pengganti sistem kapitalis yang kini berada di ambang maut; duit banyak tapi jiwa rosak. Manusia bergaduh-gaduh di dalam kekayaan dari perniagaan. Inilah syurga idaman kapitalis. Pembangunan lahir yang mempesona diburu oleh orang-orang yang bersengketa dan huru-hara.

Moga-moga sistem perniagaan Islam akan dapat dilaksanakan dalam masyarakat kerana kelihatannya hari ini di mana bila matawang jatuh, masyarakat sudah mencari alternatif. Tentunya kepada cara niaga yang menyenangkan, yang menjamin bahagia untuk kehidupan lahir dan kehidupan batin. Untuk itu marilah kita mulakan sistem ini dalam hidup kita. Jadikan isi perjuangan kita, jihad fisabilillah di premis-premis perniagaan kita.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer