Umat Islam Hari Ini Ibarat Tiang Yang Sudah Dimakan Anai- Anai


16/08/2006

Pertahanan diri manusia itu atau benteng diri manusia itu, bukanlah fizikalnya tetapi jiwanya. Dengan kata-kata yang lain jati diri manusia bukan fizikalnya,tetapi rohaninya atau jiwanya. Yang merasa susah dan senang itu adalah jiwa manusia. Kalau manusia itu lemah sandarannya kepada Tuhan,lemahlah bentengnya atau lemahlah jati dirinya. Kalau manusia itu kuat sandarannya kepada Tuhan teguhlah atau keballah jati dirinya atau benteng dirinya.

Fizikal manusia itu mengikut jiwanya. Kalau rapuhlah jati manusia, robohlah fizik manusia. Jati diri manusia roboh berbagai-bagai peringkatnya, ada yang ringan, ada yang serius, ada yang punah ranah yang sudah tidak boleh dibetulkan. Kalau jati diri manusia tidak dapat dipulihkan, hidup ini tidak ada erti lagi kepada manusia sekalipun kaya, ada nama, ada kuasa, ada ilmu dan sebagainya.Mula-mula jati manusia dia rosak sedikit-sedikit, macam tiang dimakan anai-anai yang mula-mulanya sedikit-sedikit sahaja tetapi bila lama-lama bila dibiarkan, akhirnya tiang itu roboh dan berkecai.

Begitulah jiwa manusia atau jati manusia.Dia roboh sedikit-sedikit macam tiang di makan anai-anai. Kalau tidak dibaik pulih dengan segera, akhirnya tumbang dan berkecai. Jiwa itu atau jati diri itu bila tidak bersandar dengan teguh kepada Tuhan, mula-mula hatinya menjadi runsing, kemudian ia meningkat lagi sehingga jiwa menjadi keluh kesah.
Selepas itu terseksa diikuti dengan derita, selepas itu murung sahaja. Keadaan itu nampak dilihat diwajah mukanya dan kalau dibiarkan lagi, dia kecewa.Kemudian kalau dibiarkan lagi, kemuncaknya putus asa.
Bila jati dirinya sudah roboh dan berkecai, mudahlah seseorang itu bunuh diri dengan berbagai-bagai caranya. Orang yang putus asa hakikatnya sudah kafir kepada Tuhan, dan kalau mati kekal di dalam neraka Waliyazubillah.

Dizaman ini jati diri Umat Islam sudah rosak, ada yang rosak sedikit dan ada yang rosak banyak, ada juga yang rosak permulaan atau penghujung. Kuat dan lemahnya umat Islam bersandarkan kepada Tuhan boleh diibaratkan sebagai tiang yang sudah dimakan oleh bubuk, yang tidak boleh dipulihkan, hanya menunggu tiang itu roboh tersembam di atas tanah.

Tanda-tanda jati diri Umat Islam sudah cacat,lebih-lebih lagi menunggu roboh dan berkecai dapat dilihat didalam pergaulan:
Seperti seseorang itu pemarah menjadi budaya, dendam kesumat menjadi amalan, mudah berbalah dan bergaduh sekalipun disebabkan oleh masalah yang kecil. Akhirnya, mudahlah mencetuskan pergaduhan dan peperangan. Orang yang macam itu didahului oleh jati diri yang sudah rapuh. Apabila rapuh mudah tersinggung, mudah marah, mudah berdendam, mudah berbalah dan berbantah-bantah,mudah dendam kesumat,mudah membawa pergaduhan dan peperangan.

Di zaman ini rata-rata jiwa Umat Islam atau jati dirinya sudah berpenyakit dan setengah mereka, jati diri mereka sudah roboh dan berkecai.Tetapi pemimpin-pemimpin Islam, ulama-ulama Islam sudah tidak faham. Dalam keadaan mereka tidak fahamlah mereka disuruh bersatu, disuruh maju, disuruh membangun, disuruh cemerlang dan gemilang.

Akhirnya , cakap-cakap itu jadi angan-angan, jadi slogan.Bagaimanakah Umat Islam yang sedang sakit di suruh berjalan, disuruh bersatu dan berjuang.

Kita juga lihat umat Islam hari ini fiziknya dijaga sangat. Sakit sedikit sudah makan ubat, lemah sedikit sudah cari makan yang berzat. Kalau fiziknya cacat, cepat-cepat dia cari ubat, bermacam-macam exercise dibuat untuk menguatkan fizik. Untuk meneguhkan badan, maka dijagalah makan minum dan kesihatan, supaya fizik sihat, segar dan angun.

Tetapi kita hairan, jati diri tidak dipedulikan, sedangkan ketahanan dan benteng diri dibiarkan.Gejala-gejala masyarakat dikalangan Umat Islam, masalah-masalah yang timbul dalam kehidupan Umat Islam bukan fiziknya sakit, tetapi jiwa mereka yang sakit dan jati diri mereka sudah robek dan berkecai.

Umat Islam berhasad dengki bukan sebab kudis dirinya, tapi disebabkan kudis hatinya. Umat Islam tidak boleh bersatu bukan sebab fisik mereka tidak sehat, tetapi jiwa-jiwa mereka sudah diserang oleh mazmumah, yang memecah belah masyarakat. Umat Islam hidup nafsi-nafsi, bukan fiziknya yang sakit, tetapi mereka hidup nafsi-nafsi disebabkan jiwa mereka sudah sakit.

Diantara penyakit-penyakit itu adalah mementingkan diri sendiri,orang lain apa peduli. Umat Islam dihari ini terhina dimana-dimana bukan fiziknya yang punah ranah, tetapi jiwa mereka sudah yang punah ranah.

Dengan kata-kata yang lain, jati diri Umat Islam sudah tumbang dan rebah. Kalau nak membaiki semula Umat Islam ini bukan menganjurkan menjaga kecacatan yang lahir, tetapi hendaklah Umat Islam menganjurkan kecacatan yang batin itu untuk di baik pulih semula,
supaya jati diri Umat Islam tertegak semula.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer