Ujian Allah Untuk Semua Manusia


13/01/2006

Tragedi: 345 jemaah maut dipijak * 300 lagi cedera * Belum ada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat
Utusan Malaysia 13 Jan 2006
MINA, Arab Saudi 12 Jan. - Lebih 345 orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera apabila puluhan ribu jemaah haji terpijak sesama sendiri semasa bersesak-sesak untuk mengerjakan ibadah melontar di kawasan Jamratul Usta, di sini hari ini.

Sehingga pukul 11.50 malam ini (waktu Malaysia), tiada laporan jemaah haji Malaysia terbabit dalam insiden itu yang berlaku antara pukul 1 hingga 2 petang waktu tempatan (pukul 6 hingga 7 malam waktu Malaysia).

Ini kerana jemaah Malaysia diarah melakukan ibadah melontar pada waktu malam sahaja iaitu selepas pukul 6 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Dr. Azmi Ahmad serta para pegawai Malaysia di sini masih menunggu laporan rasmi berhubung perkara itu.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, jumlah kematian dijangka meningkat kerana masih ramai lagi mangsa yang belum dihantar ke hospital berada dalam keadaan kritikal.

Jemaah-jemaah haji terbabit dikatakan tergesa-gesa menuju ke tempat melontar itu sebelum matahari terbenam.

Jurucakap Menteri Dalam Negeri, Mejar Jeneral Mansour al-Turki berkata, kejadian tersebut berlaku di laluan masuk sebelah timur kawasan berkenaan.

Tragedi itu dipercayai berlaku apabila beberapa buah beg terjatuh dari sebuah bas yang sedang bergerak di salah satu pintu masuk di situ menyebabkan puluhan jemaah haji tersepak beg-beg berkenaan sebelum terjadi perlanggaran sesama sendiri.

Kejadian rempuhan di kalangan jemaah masih berlaku walaupun pihak berkuasa Arab Saudi berusaha memperbaiki laluan bagi memudahkan kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia mengerjakan ibadah melontar.

Setiap jemaah haji wajib melakukan ibadah tersebut sebagai salah satu rukun haji.

Sebahagian jemaah haji sudah selesai melakukan ibadah melontar hari ini dan kembali semula ke Mekah untuk melakukan tawaf selamat tinggal.

Sementara itu, suasana agak cemas apabila deretan ambulans keluar masuk membawa mangsa yang cedera dan maut dalam kejadian itu.

Beberapa buah helikopter turut terlibat dalam operasi menyelamat selain menjaga keselamatan kawasan berkenaan.

Siaran televisyen Al-Arabia turut menunjukkan visual puluhan mayat dan mereka yang cedera diletakkan dalam dua buah kontena di tepi jalan besar menuju ke Jamratul itu.

Tragedi ini berlaku lima hari selepas kejadian hotel runtuh di kawasan Al Ghazzah dekat Masjidil Haram yang mengorbankan 76 nyawa termasuk empat jemaah dari Malaysia.

Kali terakhir kejadian jemaah mati akibat terpijak ketika hendak melontar di Mina ialah pada 2004 yang mengorbankan 224 jemaah ketika berada di kawasan melontar di Jamratul Aqabah di Mina.

Tragedi paling buruk ialah peristiwa rempuhan besar-besaran sehingga menyebabkan kesesakan di Terowong Al-Muasseim di Mina pada 1990 menyebabkan 1,426 jemaah haji terbunuh termasuk 153 orang dari Malaysia. - Agensi

ULASAN: Manusia yang hidup di dunia sekalipun tinggi statusnya tidak dapat elakkan diri daripada ujian Allah. Raja diuji, rakyat diuji, orang besar diuji, orang kecil diuji, orang perempuan diuji, orang lelaki diuji, orang jahat diuji, orang baik-baik diuji. Semua manusia tak dapat elakkan diri mereka dari diuji.

Ujian itu berbagai-bagai pula bentuknya, miskin, sakit, bencana alam, kejahatan manusia, merbahaya yang datang dari haiwan. Bahkan adakalanya bahaya yang datang dari makanan. Kadang-kadang perkara yang tidak disangka menjadi ujian kepada manusia.

Isteri memudharatkan suami, suami memudharatkan isteri. Anak memudharatkan ibu bapa, ibu bapa memudharatkan anak-anaknya. Adakalanya kenderaan memudharatkan manusia. Bahkan seribu satu macam ujian datang menimpa, dia datang dengan tidak disangka-sangka.

Kalau begitu lebih baik kita diuji dalam mentaati-Nya. Kalau kita derhaka pada-Nya diuji juga tetapi dalam ketaatan diuji oleh Tuhannya ada kira-kira dari Tuhannya.
Dapat redha-Nya dan dapat darjat dan pangkat dalam Syurga. Tetapi kalau dalam derhaka kita diuji juga, bukannya derhaka boleh terlepas ujian dari-Nya. Jadi kalau dalam derhaka pun diuji juga, rugi di dua negara. Di dunia dapat kesusahan, di Akhirat Neraka.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer