Tujuan Perjuangan Islam


21/12/2005

Pejuang-pejuang Islam mesti memastikan sungguh-sungguh bahawa tujuan membawa umat kepada Islam ialah dengan niat agar mereka itu selamat di dunia dan Akhirat, yakni hidup mendapat keredaan ALLAH dan terlepas dari azab Neraka. Untuk itu, kita harus memastikan bahawa kebaikan yang bakal mereka amalkan dalam hidup mereka itu adalah di semua tempat dan masa. Bukannya di satu tempat mereka tidak berbuat maksiat tapi melakukannya di tempat dan waktu yang lain.

Kalau ini terjadi, ertinya generasi itu adalah orang-orang yang tidak akan terlepas dari azab ALLAH di dunia dan Akhirat. Apa kita puas hati sekiranya perjuangan kita tetap tidak dapat memberi keselamatan dunia dan Akhirat pada umat? Di sinilah keikhlasan kita teruji. Kalau benar kita sangat bimbang keselamatan umat di dunia dan Akhirat, tentu kita tidak rela membiarkan mereka menipu diri dengan berkelakuan baik di dalam negara Islam tetapi jahat di luarnya.

Iman adalah asas untuk mencorakkan manusia dengan cara hidup. Hari ini kalau kita dapat kuasa negara dengan undang-undang atau syariat Islam, tanpa lebih dahulu mendidik masyarakat dengan iman, maka ramailah rakyat yang kena bunuh. Sebab orang tidak solat menurut hukum Islam setelah dinasihati tiga kali tidak juga mahu solat, hukumnya bunuh. Yang malang lagi kalau polisi yang diharapkan menjalankan undang-undang itupun tidak solat. Lalu siapa yang akan menangkap mereka pula? Maknanya akan banyaklah yang terlepas dari undang-undang.

Perjuangan Islam yang tidak berasaskan iman pasti tidak dapat membasmi kejahatan dalam masyarakat sepenuhnya. Sebab kalau manusia hanya ditakutkan dengan hukuman-hukuman atas kesalahan-kesalahan lahir sedangkan ada kesalahan-kesalahan yang manusia lakukan tidak ada hukumannya iaitu kejahatan-kejahatan batin yang bahayanya sangat besar kepada masyarakat. Seperti riyak, ujub, pemarah, tamak, bakhil, hasad, cinta dunia, gila kuasa, gila pangkat dan lain-lain mazmumah lagi. Kejahatan-kejahatan ini mendorong manusia untuk melakukan kejahatan-kejahatan lahir dan hanya dapat dihentikan kalau manusia ada rasa takut pada ALLAH. Jika tidak, manusia tidak akan mampu untuk melawan nafsu ini, maka mereka akan senantiasa berkrisis dan tegang antara satu sama lain. Masyarakat harmoni tidak akan wujud juga.

Itulah tujuan perjuangan Islam yang asasnya ialah iman. Didik masyarakat dengan kesedaran untuk cintakan ALLAH, cintakan Akhirat. Latih mereka memperbanyakkan solat, zikir, baca Al Quran supaya mereka jadi insan yang sabar, pemurah, kasih sayang, bertolong bantu, maaf-memaafkan. Pendek kata mereka itu generasi yang beriman dan bertaqwa yang sifatnya sangat mendengar dan patuh pada sebarang hukum ALLAH.

Satu hal lagi, dalam perjuangan Islam ini yang penting ialah mengIslamkan orang-orang yang bukan Islam. Bukankah Rasulullah itu, perjuangan pokoknya ialah mengubah manusia dari kafir kepada Islam? Rasulullah selamatkan mereka dari azab Neraka yang kekal abadi. Dalam perancangan membangunkan negara dan peradaban Islam, jangan sampai pejuang Islam mengajak orang kafir membangunkan negara Islam dalam keadaan mereka tetap kafir. Itu satu kekejaman. Untuk apa mengajak mereka selamat di dunia tapi di Akhirat masuk Neraka. Sebaik-baiknya lancarkan dakwah yang berkesan untuk mereka agar mereka itu tertarik dan masuk Islam. Itulah satu lagi tugas pejuang-pejuang Islam.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer