Tuhan Kawan Setia Manusia, Keperluan Semua Manusia


19/11/2006

Tuhan adalah keperluan bersama manusia. Dia adalah segala-galanya untuk manusia. Tetapi ramai manusia tidak sedar Tuhan adalah keperluan manusia bersama. Maka manusia pun mencari keperluan murahan yang tidak berharga mengganti keperluan pertama dan utama. Kerana itulah keperluan murahan dimiliki tidak puas-puasnya. Selain susah mendapatkannya, susah menjaganya, susah mengurusnya, susah membawanya, susah juga mengawalnya. Kita jaga dia bukan dia jaga kita, kita urus dia bukan dia urus kita, susah kita dibuatnya.

Keperluan pertama dan utama sebenarnya adalah Tuhan yang Maha Esa pencipta manusia. Kita dapat Tuhan kita dapat segala-galanya. Tidak dapat Tuhan kita kehilangan segala-galanya sekalipun yang lain segala-galanya kita ada.Bawalah Tuhan ke mana-man, Dia keperluan kita di waktu bila pun dan di waktu di mana-mana.Di waktu musafir, di masa bermukim, jangan lupa kita bawa Dia bersama. Ke hutan, ke pekan, jangan lupa bawa Dia. Di waktu keseorangan, di masa ramai, bawa Tuhan bersama. Di waktu tidur, di waktu jaga, di waktu rehat, di waktu bekerja, mestilah bersama-Nya. Kita jadikan Dia kawan setia.

Membawa Tuhan ke mana-mana sangat mudah dan senang kalau faham ilmunya. Membawa-Nya tidak perlu tenaga fizik kerana Dia bukan benda dan fizik. Kerana itulah kita bawa Tuhan ke mana-mana tidak perlu tenaga.Bahkan berkat membawa Tuhan ke mana-mana meringankan lagi tenaga kita.

Bagaimana membawa-Nya?
Membawa-Nya mudah dan senang sahaja jika faham caranya dan tahu ilmunya. Kita bawa Tuhan dengan akal fikiran, jiwa dan perasaan kita. Kita bawa Dia dengan nafsu kita yang berkemahuan itu di mana sahaja. Kalau berjayalah kita membawa Tuhan ke mana-mana sungguh beruntung kita.

Dia jaga kita, Dia tadbir kita, Dia mengurus kehidupan kita, Dia jaga keselamatan kita.Dia mendengar kehendak-kehendak dan rintihan-rintihan kita. Jika Dia memberi nikmat kepada kita menghiburkan kita. Sekali-sekali Dia susahkan kita, jika kita faham susah pun menggembirakan kita.

Sungguh bahagia bersama Tuhan, kerana Dia kawan setia kita di mana-mana. Membawa dan berkawan dengan selain Tuhan, menyusahkan kita. Adakalanya dia khianat dan mencelakakan kita, hingga terhina kita dibuatnya.

Bawalah Tuhan ke mana-mana, Dia adalah keperluan hidup kita. Dia adalah kawan setia kita, bawalah Tuhan ke mana-mana. Rahsia ini sudah terlalu ramai manusia melupakannya bahkan jahil tentangnya. Kerana itulah manusia hidup ramai yang menderita. Kalau tidak menderita fizik, menderita jiwa.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer