Tuhan Itu Penyelamat


27/07/2006

Sebenarnya pejuang-pejuang kebenaran itu, sepanjang masa, sejak dari rasul-rasul dan nabi-nabi hinggalah ke akhir zaman, mereka itu adalah orang Tuhan. Kalau benarlah apa yang diperjuangkan itu adalah sesuatu dari Tuhan, ertinya mereka adalah orang Tuhan.Orang-orang ini berjuang, datang ke tengah masyarakat, datang kepada kaumnya, bangsanya dan puak-puaknya adalah sebagai penyelamat.

Kalau para-para pejuang itu, walaupun mereka mengaku pejuangkan kebenaran, atau zaman sekarang ini memperjuangkan Islam tetapi kalau bukan bersifat penyelamat, itu bukan pejuang kebenaran. Itu bukan orang-orang Tuhan. Itu adalah penipu-penipu. Menjual nama Tuhan untuk kepentingan kelompok-kelompoknya.

Macam mana pula orang Tuhan datang ke tengah masyarakat tetapi tidak membawa keselamatan? Bukan penyelamat. Sedangkan Tuhan itu penyelamat. Sebab itu, kalau hanya sekadar pengakuan, slogan-slogan, itu tidak boleh diambil kira kalau mereka itu bukan penyelamat. Jadi, tolong ambil perhatian bahawa orang-orang Tuhan adalah penyelamat. Penyelamat apa? Penyelamat dari miskin kepada kayakah? Daripada bodoh kepada cerdikkah? Itu terlalu kecil. Yang besar ialah:

Pejuang-pejuang kebenaran memperjuangkan untuk selamatkan aqidah umat. Itu yang paling besar. Siapa sahaja yang pejuangkan kebenaran dari dulu hingga sekarang, yang hendak diselamatkannya adalah aqidah umatnya, kaumnya, bangsanya. Sebab itu, kalau kita baca Quran terutama ayat-ayat Makkiyah, oleh kerana Tuhan itu hendak menyelamatkan aqidah hamba-Nya, maka melalui Rasulullah dan sahabat-sahabatnya yang merupakan orang-orang Tuhan, Tuhan promosi dir-Nya dengan sangat banyak sekali. Selama 13 tahun Allah promosi diri-Nya. 13 tahun ayat-ayat Makkiyah turun, Tuhan perkenalkan diri-Nya. Mengenalkan diri itu ada 2 tahap iaitu:

a) Untuk betulkan aqidah. Agar manusia jangan mempertuhankan jin, patung, malaikat dsbnya.

b) Yang kedua, bila orang sudah terima Tuhan itu adalah Allah, diperjuangkan pula supaya orang takut dan cintakan Tuhan.

Jadi aqidah itu ada 2 peringkat. Yang pertama hendak betulkan iman dan yang kedua agar sampai peringkat takut dan cinta. Kalau kita belajar Sifat 20 untuk sekadar hendak sahkan aqidah dan iman. Takut dan cintakan Tuhan tidak akan boleh berlaku kerana ia banyak bersifat otak dan falsafah, ia tidak jatuh ke hati.Sebab itu ia tidak akan membuatkan sampai takut dan cinta pada Tuhan. Ia sekadar untuk percaya. Setakat hendak sahkan iman.

Bagi tahap kedua, kita lihat dalam Quran, masyaAllah, Tuhan promosi diri-Nya supaya orang takut, cinta dan mabuk serta gila dengan-Nya. Tidak salah gila dengan Tuhan. Sebab itu Rasulullah berkata, Ingatlah Allah banyak-banyak sampai orang kata engkau gila. Ini tahap kedua.

Kalau kita baca Quran terutama ayat Makkiyah, macam mana Tuhan kempen diri-Nya, seolah-olah Tuhan masuk pilihanraya. Di zaman Firaun, Dia bertanding dengan Firaun. Waktu itu dia promosi diri-Nya. Kempen dengan manusia. Hendak jadikan Aku pemimpin atau Firaun sebagai pemimpin. Firaun itu Aku yang jadikan dia. Tidak hebatkah Aku? Patut engkau jadikan Aku sebagai pemimpin. Firaun itu macam kamu juga. Tahu letih dan tahu tidur. Aku tidak. Aku tidak makan dan tidak minum. Aku Pencipta. Firaun pun Aku yang cipta. Maka hendaklah kamu lantik Aku sebagai pemimpin.

Setiap masa Tuhan buat kempen pilihanraya dengan pemimpin-pemimpin dunia. Yang tukang kempen adalah para pejuang kebenaran, para Rasul, Nabi, sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan sesiapa sahaja yang perjuangkan Tuhan. Itu dia tukang-tukang kempen Tuhan. Supaya manusia pilih Tuhan. Janganlah pilih pemimpin-pemimpin dunia. Tuhan tidak rehat dari promosi diri-Nya.

Tetapi, begitupun Tuhan kempen diri-Nya, naik juga pemimpin dunia. Waktu ini Dia sedang bertanding dengan Bush. Yang lain itu semuanya pengikut Bush. Ada di Malaysia, Pakistan, China, Eropah dan seluruh dunia. Pemimpin-pemimpin seluruh dunia, itu semua pengikut Bush. Yang besar Bush. Tuhan sedang kempen diri-Nya tetapi tukang kempen Tuhan tidak ramai. Yang ramai tukang kempen Bush. Sebab itu Bush tertonjol tetapi Tuhan tidak tertonjol. Lahirnya ramai pemimpin-pemimpin yang bukan Tuhan. Sebab itu Tuhan sangat promosi diri-Nya supaya orang takut dan cinta.

Cuba kita huraikan ayat Quran secara umum tentang bagaimana Tuhan promosi diri-Nya, kempen diri-Nya, mengajak orang mengaku diri-Nya Tuhan, diri-Nya pemimpin.
Di antaranya Tuhan berkata:

Hai manusia! Langit dan bumi itu Aku yang jadiakan. Hai manusia! Dunia dan akhirat itu, kamu semua, Aku yang jadikan. Hai manusia!Ingat, di tangan Aku kekuasaan. Tiada siapa yang boleh gugat. Aku menghidupkan dan Aku yang mematikan. Aku menentukan nasib semua makhluk. Aku boleh kayakan dan boleh miskinkan. Aku boleh sakitkan dan sihatkan.Aku boleh ledakkan gunung semua.Aku boleh gempakan bumi untuk mengazabkan kamu semua bila kamu derhaka dengan Aku. Akulah yang beri rezeki. Nafas kamu itu Aku yang jaga. Seluruh yang ada, Aku yang tadbir. Sama ada di alam ghaib atau alam nyata, Aku yang mentadbir. Aku yang mendidik, menyelamatkan, menjadikan. Tidak nampakkah kuasa Aku? Tidak takutkah dengan Aku? Mengapa engkau hendak jadikan Namrud, Firaun, Abu Jahal, Bush dan sesiapa lagi sebagai Tuhan. Tidak nampakkah Aku yang sebenarnya Tuhan?

Jadi Tuhan minta, siapa yang hendak pejuangkan kebenaran, bawa mesej ini. Tuhan promosi diri-Nya dan minta disebarkan. Kamu sebagai lidah-lidah untuk promosi Tuhan. Adakah begitu? Tidak. Pejuang-pejuang Islam hari ini yang katanya memperjuangkan kebenaran, yang disuruh ialah membesarkan ekonomi atau masalah kemiskinan. Tuhan hilang. Dikatakan ini satu perjuangan kebenaran sedangkan ini satu penipuan. Yang dipromosikan makan minum, kemudahan hidup, promosi jalan raya, hendak beri biasiswa atau hendak hidup selesa. Tuhan tidak dikempen. Tuhan tidak dikenalkan, tidak ditakuti, tidak dicintai.

Kempen utama pejuang kebenaran ialah Tuhan.Hendak menegakkan aqidah umat. Sudah dikatakan tadi, aqidah ada 2 tahap. Tahap pertama ialah hendak mengesahkan iman. Yang susahnya ialah yang kedua iaitu bagaimana sampai cintakan Tuhan, macam mana sampai orang takutkan Tuhan dan mabuk dengan Tuhan serta merasakan bahawa Tuhan adalah segala-galanya. Bahawa Tuhan maha Besar, maha Agung dan maha berKuasa. Supaya hati itu penuh rasa berTuhan. Masa duduk atau jalan, rasa berTuhan penuh dihatinya.Kerana sudah takutkan dan cintakan Tuhan.

Aqidah yang kedua ini sangat susah. Yang pertama tadi, ramai juga orang buat. Sebab itu sifat 20 tidak lepas.Kalau mengaji, sifat 20 itu mesti dipelajari tetapi selepas itu dilupakan. Maka aqidah tahap yang kedua tertinggal. Macam mana hendak cintakan Tuhan dan takutkan Allah terabai. Takut dan cinta itu tidak lagi diperjuangkan dan diusahakan.

Jadi, tujuan perjuangan yang pertama iaitu hendak selamatkan aqidah umat dari berTuhankan selain Allah kepada orang berTuhankan Allah.Daripada orang takutkan selain Allah kepada takutkan Allah.Daripada cintakan selain Allah kepada cintakan Allah. Inilah yang pertama dan utama.

Perjuangan kebenaran yang kedua, menyelamatkan akhirat manusia.Daripada manusia yang cintakan dunia, mengutamakan dunia, kepada yang utamakan akhirat dan cintakan akhirat. Selepas Tuhan kempen dan promosi sungguh-sungguh diri-Nya, Tuhan promosi pula akhirat-Nya. Bagaimana hebat akhirat-Nya. Sama ada tentang nikmatnya memang sangat hebat. Kalau kita baca ayat-ayat Al Quran, diantaranya banyak menunjukkan Tuhan mempromosikan akhirat daripada dunia. Diantara yang Tuhan promosi, akhirat lebih utama, lebih baik dan lebih kekal.Itu diantara yang Tuhan kempen supaya orang utamakan akhirat dan cinta akhirat.

Tuhan memberitahu bahawa: selepas engkau hidup, engkau akan dimatikan dan selepas itu engkau akan dipersoalkan. Ada 4 tahap yang akan engkau lalui iaitu:

1.Alam mati
2.Alam barzah
3.Alam padang masyar
4.Alam akhirat

Hingga Tuhan beritahu bahawa tidak ada harga dunia ini. Dalam hadis Tuhan menceritakan dengan menggunakan lidah Rasulullah, dunia dan segala isinya ini harganya sama dengan sayap nyamuk.Hebatkah dunia itu? Kalau seperti itulah harga dunia, Aku tidak berikan orang kafir makan.Siapa yang engkar menentang, Aku takkan beri makan. Tetapi kerana Aku pandang dunia ini tidak sebesar sayap nyamuk pun harganya.Tuhan kempen betapa hinanya dunia. Tidak ada nilainya dunia. Kalau ada harga setimbang sayap nyamuk pun siaplah. Orang kafir pun tidak akan diberi makan. Orang derhaka pun tidak akan diberi makan kerana kederhakaannya. Tetapi kerana dunia tidak ada harga disisi Allah, Tuhan kata ambillah.Begitu Tuhan kempen hendak bandingkan dunia dan akhirat. Tidak ada harga langsung dunia ini jika dinisbahkan dengan akhirat. Hinggakan Tuhan beritahu, bandingkan dunia dan akhirat macam kita hidup 1 jam sahaja di dunia.
Katakan kita hidup di dunia selama 1000 tahun, di akhirat rupanya hidup 1 jam sahaja di dunia. Kerana satu jam hendak masuk neraka? Hidup 1 jam hendak dipertahankan? Sampai kita derhaka dan lalai dengan Tuhan? Hingga sanggup kekal abadi dalam neraka? Ini manusia bodoh dan tidak boleh berfikir kerana mempertahankan hidup satu jam. Itu kalau hidup 1000 tahun.
Selalunya kita hidup setakat 50 tahun jadi berapa jam pula di akhirat? Mungkin 1 minit hidup. Begitulah Tuhan kempen. Begitu orang-orang Tuhan kempen. Inilah penyelamat. Sebab manusia telah cintakan dunia. Besarkan dunia. Tidak besarkan akhirat. Cinta lebih-lebih lagilah tidak.

Oleh kerana cinta dunia, sanggup bergaduh dan jatuh menjatuhkan. Sanggup fitnah memfitnah.Kerana cinta dunia, sanggup berpecah belah, hilang kawan dan bunuh berbunuhan. Datang penyelamat dan datang pejuang-pejuang Tuhan, hendak betulkan fikiran ini. Daripada cinta dunia kepada akhirat. Daripada mengutamakan dunia kepada mengutamakan akhirat. Begitu kempen Tuhan. Begitu orang-orang Tuhan kempen. Tetapi kebanyakan manusia dengar hujung-hujung telinga saja. Tetapi bila disebut keindahan dunia, masuk semua akal, hati dan nafsu. Oleh itu manusia yang mengutamakan dunia dan cinta dunia, dunia sudah huru-hara. Bila huru-hara, itulah neraka sebelum neraka.

Bagi pejuang-pejuang kebenaran, yang kedua ialah hendak membuatkan manusia cintakan akhirat lebih dari cintakan dunia. Begitu juga pejuang-pejuang kebenaran sepanjang masa dan zaman, datang ke tangan umatnya, kaumnya, puaknya dan masyarakatnya hendak menyelamatkan huru-hara hidup kepada hidup selamat, aman damai, berkasih sayang, bersatu padu, orang kaya tolong orang miskin, yang miskin doakan orang kaya, pemimpin menaungi dan rakyat pula taat, jiran berbaik-baik macam satu keluarga. Seolah-olah jiran pula keluarganya juga. Supaya aman damai rumahtangga. Berkasih sayang sesama anak isteri. Supaya ekonomi berjalan baik, politik berjalan dengan baik, maka Tuhan datangkan penyelamat.

Tuhan datangkan penyelamat untuk membawa syariat Tuhan, promosi Tuhan supaya dengan syariat itu hidup aman damai, kasih sayang, harmoni, bahagia kerana syariat Tuhan saja boleh menyatukan orang, menghidupkan kasih sayang, hidup bekerjasama, hormat menghormati, berperikenausiaan, aman damai dalam keluarga, aman damai dalam masyarakat dan dalam kehidupan.
Jadi pejuang-pejuang kebenaran mempromosi syariat supaya syariat menjadi ilmu yang dihayati dan diapplykan dalam kehidupan. Maka itulah jalan selamat yang mana selama ini tidak selamat akan jadi selamat setelah pejuang-pejuang kebenaran promosi Tuhan. Itu yang ketiga. Tetapi adakah itu berlaku?
Kalau adapun sedikit sangat. Sebaliknya hendak pejuangkan hudud. Hudud itu habuk daripada keseluruhan syariat. Padahal syariat itu khazanah, himpunan ilmu dan merupakan peraturan, disiplin hidup dan sistem hidup. Kalau diamalkan manusia boleh buat syurga sebelum syurga yang hakiki. Inilah penyelamat. Penyelamat yang telah membuatkan manusia daripada huru-hara kepada aman damai dan berkasih sayang. Jadi kena promosi Tuhan sepanjang masa.

Begitu juga, pejuang-pejuang kebenaran sepanjang masa datang menyelamatkan umat tentang akhlak. Daripada akhlak yang jahat kepada akhlak yang baik.Daripada akhlak yang hina kepada akhlak yang mulia. Daripada akhlak yang setaraf dengan haiwan kepada akhlak yang bertaraf malaikat. Inilah tugas pejuang-pejuang kebenaran sepanjang zaman. Menguruskan akhlak manusia, daripada bakhil kepada pemurah. daripada sombong kepada tawadhuk. Daripada ingin glamour kepada menghinakan diri kepada Allah. Daripada rasa benci dan suka perjudis dengan manusia datang rasa kasih sayang.

Inilah penyelamat iaitu tahap keempat. Soal-soal lain seperti makan minum, tempat tinggal atau pakaian, Tuhan tidak ambil pusing sangat.
Bahkan soal-soal ini, kadang-kadang Tuhan katakan contohnya, seorang itu miskin, jadi kalau penyelamat, tunjukkilah jalan untuk kaya.Tetapi kadang-kadang Tuhan kata sabarlah.Tentang hal yang remeh-temeh, Tuhan bukan suruh perjuangkan supaya jadi kaya tetapi Tuhan kata sabarlah.
Contohnya kalau sakit, bukankan teruk? Sepatutnya perjuangkan Hospital atau Tuhan suruh orang-orang-Nya perjuangkan kesihatan. Sebaliknya apa yang Tuhan pesan kepada orang-orang-Nya ialah sakit itu pahala, Tuhan redha dan Tuhan sayang. Sakit itu kerana Tuhan hendak tinggikan darjat di Syurga.
Jelas bahawa hal yang remeh-temeh Tuhan tidak suruh tukar. Yang awal tadi mesti ditukarkan. Disuruh promosikan sungguh-sungguh, terbalikkan betul-betul, dari atas kebawah, dari bawah ke atas.Tetapi yang remeh-temeh, Tuhan suruh sabar. Kalau sakit, sabarlah kerana itu tanda Tuhan sayang. Miskin pula dikatakan kasih sayang. Mana ada perjuangan begini? Berapa banyak parti Islam diseluruh dunia, yang mereka hendak selesaikan ialah makan minum.

Kata mereka, kalau kami berkuasa, kami hendak berusaha kayakan orang. Kalau kami berkuasa kami hendak selesaikan hidup orang. Apa maksud itu semua? Benda yang remeh temeh yang diperjuangkan. Mana dunia tidak haru-biru? Macam mana tidak jadi neraka dunia? Jelas disini yang perkara utama dilupakan. Kalau memperjuangkan ideologi, itu kita tidak fikirkan kerana mereka menempah neraka. Memang mereka fikirkan dunia semata-mata. Yang kita persoalkan ialah yang memperjuangkan Islam. Sama saja dengan orang ideologi berjuang. Yang diperjuangkan adalah makan minum, tempat tingal dan benda yang remeh temeh, itu yang dibesar-besarkan.

Jadi pejuang-pejuang kebenaran memperjuangkan 4 perkara iaitu:
1.Aqidah
2.Akhirat
3.Syariat
4.Akhlak

Kalau ada orang yang hendak marah bila pejuang-kebenaran kebenaran mempromosikan Tuhan, itu adalah Firaun atau Namrud akhir zaman. Hakikatnya pejuang kebenaran adalah orang Tuhan yang hendak menyelamatkan manusia.

SEKIAN

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer