Tsunami


26/12/2005

Pembawa Mesej dari TUHAN
Kini telah setahun peristiwa Tsunami di Banda Aceh berlalu. Kenapa peristiwa ini berlaku? Tentunya Tuhan mempunyai tujuan baik melalui kejadian ini. Marilah kita sama-sama cungkil apakah hikmah dan pengajaran di sebalik tsunami.

Antara tujuan baik Tuhan melalui kejadian Tsunami ini ialah:
1.Kepada orang bertaqwa adalah untuk meningkatkan darjat.
2.Kepada orang soleh, Tsunami bertujuan menghapuskan dosa
3.Kepada orang-orang yang degil dan menolak Tuhan dan sistemNya (walaupun Islam) maka Tsunami ini adalah hukuman Tuhan buat mereka.
4.Kepada orang kafir ialah kutukan.

Terdapat pula hikmah-hikmah tambahan dari kejadian Tsunami antaranya dalam arus kesedaran Islam yang melanda Asia, mungkin ada lagi golongan yang boleh diinsafkan tapi tidak lagi melalui dakwah dan tarbiyah. Mereka agak lambat dan liat untuk yakin maka Tsunami cukup membantu untuk mereka benar-benar insafkan diri sebagai hamba dan datang ke dunia adalah untuk Tuhan bukan ikutkan nafsu dan syaitan atau bertuhankan akal fikiran.

Manusia perlu tahu bahawa di antara kesalahan-kesalahan yang kita manusia lakukan kepada Tuhan yang membuatkan Tuhan bertindak begini terhadap Asia atau timur jauh ini.Antaranya; tinggal di bumi Tuhan tapi membuat sistem lain daripada sistem yang Tuhan perintahkan, telah menolak sistem Tuhan, kononnya sistem Tuhan sudah ketinggalan zaman, tidak global dan macam-macam lagi tuduhan dan penghinaan lagi yang dibuat kepada Tuhan dan sistem Tuhan.Percaya rezeki, ajal maut, sakit semuanya dari Tuhan tapi hidup berjuang, bekerja, berkorban, dan mengabdikan diri bukan kepada Tuhan tapi kepada nafsu dan syaitan. Tuhan tidak diperdulikan. Ada yang berjanji pada Tuhan di waktu sembahyang sebagai suatu sumpah taat setia `Bahawa sesungguhnya sembahyangku, amalanku, hidupku dan matiku semuanya untuk dan kerana Allah, Tuhan sekalian alam`. Tapi di luar sembahyang konsep hidup yang diperjuangkann bukan lagi konsep yang Tuhan perintah. Sebaliknya hidup dihabiskan untuk tegakkan konsep-konsep Barat yang sama sekali tidak dirujuk kepada Tuhan.

Tsunami, terima kasih kerana mengajarkan kami erti hidup. Terima kasih kerana membuatkan kami insaf. Terima kasih kerana mengubah kami kepada satu hala tuju yang benar-benar menjadi destinasi hidup. Penanganmu Cuma 10 minit, cukup untuk membuatkan manusia mampu berkata:

`Tuhanku, kalau beginilah sudahnya, aku tiada pilihan melainkan menjadikan hidup semata-mata untuk mencari keredhaanM. Aku amat takut dengan kemurkaanMu yang tidak mampu dihalang walau oleh sebuah kuasa dunia. Aku takut dengan nerakaMu. Ya Allah, selamatkan aku!`

PETIKAN DARI UTUSAN MALAYSIA 26.12.2005
Air mata terus mengalir -- Mangsa tsunami sukar lupai tragedi setahun lalu
Oleh ZULKIFLEE BAKAR

MENGENANG MASA DEPAN... Ismail Othman bersama isterinya, Zubaidah Mohd. Amin di khemah usang di pusat penempatan sementara Seulimeum, Aceh Besar, Banda Aceh semalam.
________________________________________

BANDA ACEH 25 Dis. - Tiada apa yang dapat diucapkan selain air mata yang mengalir setiap kali ditanya apakah perasaan mereka menjelang setahun berlakunya bencana tsunami.

Ternyata tragedi hitam itu masih segar dalam ingatan mereka seolah-olah ia baru berlaku semalam. Itulah gambaran perasaan mangsa-mangsa tsunami yang bukan sahaja mengalami kehilangan harta benda tetapi juga mereka yang tersayang.

Bagi Latifah Hanum, 54, yang tinggal di Kampung Kedah, di sini tsunami seolah-olah meragut segala-galanya. Dia bukan sahaja kehilangan suami, malah sembilan ahli keluarganya termasuk anak, menantu, cucu dan ipar.

Seperti juga mangsa-mangsa tsunami yang lain, Latifah juga tidak berpeluang untuk menziarahi kubur insan-insan tersayang yang terlebih dahulu menemui Ilahi.

"Hari demi hari ingatan saya kepada mereka semakin kuat, saya tidak dapat melupakan mereka biarpun saya berusaha untuk mengingatkan diri saya berkali-kali bahawa apa yang berlaku adalah takdir Allah," katanya dengan nada sebak.

Menurut Latifah, ketika hari kejadian pada 26 Disember tahun lalu, dia berada di rumah saudara di Medan dan hanya mengetahui bencana berkenaan melalui media.

"Apabila pulang saya mendapati kesemua mereka sudah tiada, apa yang tinggal hanyalah sebahagian sahaja rumah saya," katanya yang tinggal di rumahnya yang masih belum diperbaiki.

Ketika ditanya kenapa beliau masih tinggal di situ, Latifah berkata, dia merasa sedih untuk meninggalkan kawasan tersebut kerana di situ terdapat pelbagai kenangan manis dengan ahli keluarganya.

Tsunami yang turut melibatkan 12 buah negara itu secara rasminya mengorbankan lebih 260,000 mangsa dengan yang paling ramai ialah di Aceh.

Bencana alam yang terkuat dalam tempoh 40 tahun itu berlaku selepas gempa bumi berukuran 9.2 skala Richter yang berpusat di Sumatera.
Gempa bumi yang berlaku pada pukul 8.59 pagi waktu Malaysia itu menyebabkan terjadi tsunami setinggi 30 meter pada pukul 9.45 pagi waktu Malaysia.

Kesedihan yang sama turut dirasai oleh Jailani Darus, 40, yang tinggal di penempatan sementara di Lhoong, Banda Aceh.

Dia yang kehilangan seorang anak dalam tragedi berkenaan berkata, tarikh 26 Disember akan diingatinya sepanjang hayat kerana pada tarikh tersebut kehidupannya berubah.

Jika dahulu dia tinggal di rumah yang agak selesa, kini dia terpaksa meneruskan kehidupan bersama isteri serta empat anaknya di pusat penempatan tersebut.

"Apa yang saya sedih sehingga ke hari ini, kami semua masih teringatkan seorang lagi ahli keluarga kami terkorban. Kami tidak tahu di mana dia berada dan sudah 12 bulan tragedi itu berlaku, maka kami menerima hakikat bahawa dia sudah kembali kepada Allah," katanya dengan nada tersekat-sekat.

Bagi Jailani, biarpun kesedihan masih membelenggu diri dan keluarganya, namun hidup harus diteruskan.

Justeru untuk menyara keluarga, Jailani berulang-alik sejauh 32 kilometer sehari bagi menjual nasi lemak di depan sebuah hotel bertaraf dua bintang di sini.

Ketika Jailani masih meratapi pemergian anaknya, seorang lagi mangsa tsunami, Junaidah Abdullah, 56, lebih merasa pilu kerana terpaksa meneruskan kehidupan tanpa suami dan tiga anaknya.

Kesemua mereka terkorban dalam tragedi itu dan Junaidah kini tinggal bersama seorang lagi anaknya di rumah yang dibina khusus untuk mangsa tersebut.

"Sekarang sudah setahun peristiwa itu berlalu, tetapi saya tetap teringatkan suami dan anak-anak yang sudah meninggal dunia. Walaupun sedih tetapi saya kuatkan juga semangat kerana apa yang terjadi adalah kehendak Ilahi," katanya.

Ketika ditanya apakah perasaannya menjelang setahun mengingati tsunami, Junaidah terdiam sebentar dan berkata, "Apa yang terjadi adalah kuasa Allah dan ia sudah pasti ada hikmah." - Utusan

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer