Tertib Dalam Mencari Ilmu 2

Kuliah Umum


31/10/2005

sambungan

PERLUNYA MENGIKUT TERTIB

Antara sebab rosaknya masyarakat dan anak-anak muda kita hari ini ialah kerana mencari ilmu yang tidak mengikut tertibnya. Sebelum mereka mengenal Tuhan dan sebelum jiwa mereka diisi dengan aqidah dan ketauhidan melalui pendidikan fardhu ain, mereka didedahkan dengan ilmu-ilmu akademik yang tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan. Di samping itu, mereka juga terdedah kepada bebagai-bagai pengaruh liar seperti rock, metal, rap dan sebagainya, sama ada di dalam mahupun di luar sekolah.

Disebabkan jiwa mereka kosong, pengaruh-pengaruh tersebut terus meresap masuk ke dalam hati mereka. Mereka tidak disediakan untuk menghadapi pengaruh-pengaruh jahat seperti ini. Mereka tidak diberi imuniti atau pelalian dari pengaruh-pengaruh yang merosakkan itu. Kita biasanya sibuk memberikan anak-anak kita suntikan imuniti atau pelalian dari berbagai-bagai penyakit seperti batuk kokol, difteria, polio dan cacar, tetapi kita ambil ringan tentang kerosakan aqidah, akhlak, peribadi dan kemanusiaan mereka. Walhal kerosakan aqidah dan akhlak ini Neraka padahnya.

Ilmu dunia itu sifatnya seperti pisau. Kalau digunakan untuk kebaikan maka baiklah jadinya. Kalau dihalakan kepada kejahatan maka jahatlah jadinya. Segala bentuk ilmu dunia boleh dijadikan modal atau alat untuk berbuat baik atau untuk berbuat jahat.

Oleh itu untuk mengelak dari berlakunya kerosakan dan bala bencana, manusia yang hendak diberi ilmu dunia ini mestilah dari kalangan orang-orang yang baik, yang beriman kepada Tuhan, yang berakhlak dan yang bertanggungjawab. Kalau tidak, mereka akan gunakan ilmu, kepandaian dan kemahiran mereka untuk membuat kerosakan, untuk memutar belit, untuk menipu dan untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Lagi banyak ilmu dan kepandaian yang ada pada mereka, lagi besarlah kerosakan yang akan mereka lakukan. Sebagai tamsilannya, cuba kita lihat anggota-anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera. Perkara utama yang ditekankan dan dididik sebelum mereka dibenarkan memegang senjata api ialah disiplin dan tata tertib. Hanya dengan disiplin dan tata tertib barulah senjata api di tangan anggota-anggota keselamatan itu dapat digunakan untuk menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara. Kalau orang yang tidak ada disiplin diberi senjata api, ini sangat berbahaya.

Begitulah juga orang yang mempunyai banyak ilmu dunia tetapi jahat dan tidak kenal Tuhan . Mereka ini juga berbahaya. Justeru itu, tertib dalam mencari ilmu seperti yang digariskan oleh Imam Al Ghazali ini perlu dititikberatkan. Ia perlu diserapkan ke dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak mesti mengenali Tuhan terlebih dahulu sebelum mereka mengenali pekara-perkara lain. Barulah mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang menyeleweng. Barulah segala ilmu yang dipelajari dapat dijadikan alat untuk berbakti dan meninggikan kalimah Tuhan. Kalau tidak, manusia akan menggunakan ilmu untuk kejahatan dan untuk melawan Tuhan. Lebih dahsyat lagi, mereka akan `menyembah` dan bertuhankan ilmu.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer