Tertib Dalam Mencari Ilmu (1)

Kuliah Umum
29/10/2005

PETIKAN
"Jika Allah sudah dikenali dan jiwa anak-anak diisi penuh dengan aqidah dan ketauhidan, maka mereka akan selamat ke mana sahaja mereka pergi dan dalam apa sahaja yang bakal mereka tempuh dan pelajari. Mereka akan ada imuniti atau pelalian dari segala macam kekeliruan dan kesesatan, juga dari segala macam dugaan dan pancaroba."

Ilmu itu memang penting bagi manusia. Dengan ilmulah manusia mengenal Tuhan. Dengan ilmulah manusia berakhlak. Dengan ilmulah manusia beribadah. Dengan ilmulah manusia membina tamadun dan peradaban. Dengan ilmulah manusia membangun dan berkemajuan. Dengan ilmulah manusia memburu dunia. Dengan ilmu jugalah manusia memburu Akhirat. Malahan ilmulah yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk yang lain. Manusia berlumba-lumba untuk mencari ilmu kerana dengan ilmu manusia boleh jadi pemimpin. Dengan ilmu, manusia boleh jadi kaya. Dengan ilmu, manusia disanjung dan dihormati. Dengan ilmu, manusia boleh mengawal, menjajah dan memperalatkan manusia lain. Dengan ilmu manusia boleh dapatkan kekuatan, pengaruh dan pengikut. Namun begitu, kalau ilmu tidak dikendalikan dengan betul, ia boleh mendatangkan mudarat. Ia boleh memakan diri. Manusia boleh jadi rosak dan keseluruhan tamadun dan peradaban manusia boleh musnah. Dalam usaha mencari ilmu, Imam Al Ghazali telah menetapkan bahawa yang dahulu mesti didahulukan dan yang kemudian mesti dikemudiankan. Mencari ilmu mesti mengikut tertibnya. Ada keutamaan dan prioritinya. Tertib di dalam mencari ilmu ini penting sekiranya kita mahukan natijah yang baik dari ilmu itu sendiri. Kalau tertib ini tidak dijaga dan dilanggar, ilmu boleh memudaratkan dan merosakkan.

Berikut adalah tertib susunan ilmu oleh Imam Al Ghazali:
1. Ilmu fardhu ain.
2. Ilmu fardhu kifayah.
3. Ilmu sunat.
4. Ilmu harus.
5. Ilmu haram.

FARDHU AIN
Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu yang mukalaf. Kalau tidak, maka seseorang itu berdosa. Ia khususnya melibatkan ilmu agama yang merangkumi: a. ilmu tauhid atau usuluddin b. ilmu feqah atau syariat c. ilmu tasawuf atau akhlak Ilmu fardhu ain ini bolehlah dianggap sebagai ilmu pendidikan. Ilmu ini ialah asas bagi agama seseorang. Ia mengenalkan manusia kepada Tuhannya. Ia membina peribadi dan akhlak melalui pengabdian dan ibadah kepada Tuhan. Ilmu fardhu ain ini terutama tauhid dan usuluddin wajib diselesaikan dahulu bagi anak-anak kita sebelum mereka diberi ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu fardhu kifayah, ilmu sunat atau harus. Ini sesuai dengan firman Allah: "Awwaluddin makrifatullah." Maksudnya, `awal-awal agama ialah mengenal Allah`. Kalau Allah sudah dikenali, maka Allahlah yang akan mengisi hati dan jiwa anak-anak kita. Allahlah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Allahlah yang akan menjadi perkara utama di dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Kalau Allah tidak dikenali, mana mungkin mereka akan dapat berbuat sesuatu kerana-Nya. Kalau Allah tidak dikenali, apakah yang akan mendorong anak-anak kita untuk berbuat sesuatu kebaikan, selain dari dorongan duniawi semata-mata atau untuk mendapat pujian, glamour dan sebagainya. Kalau Tuhan tidak dikenali, apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari terlibat dengan maksiat, jenayah, pergaulan bebas, zina, rogol, bohsia, bohjan, black metal, budaya punk, gangsterism dan sebagainya. Apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari mengangkat tuhan yang lain sebagai tuhan mereka atau dari meyakini ideologi-ideologi dan isma-isma ciptaan manusia atau dari menjadi sekularis, komunis, sosialis, free thinker atau terus menjadi ateis. Jika Allah sudah dikenali dan jiwa anak-anak diisi penuh dengan aqidah dan ketauhidan, maka mereka akan selamat ke mana sahaja mereka pergi dan dalam apa sahaja yang bakal mereka tempuh dan pelajari. Mereka akan ada imuniti atau pelalian dari segala macam kekeliruan dan kesesatan, juga dari segala macam dugaan dan pancaroba. Setelah Allah dikenali, anak-anak akan menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari, untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat kepada sesama manusia, dan bukan untuk membuat kerosakan dan kemaksiatan di muka bumi ini.

FARDHU KIFAYAH

Bukan semua ilmu agama itu fardhu ain hukumnya. Ada yang fardhu kifayah. Contohnya ilmu Hadis, ilmu tafsir dan sebagainya. Ilmu fardhu kifayah ialah ilmu yang wajib bagi sesuatu masyarakat. Mesti ada di kalangan anggota masyarakat tersebut yang mempelajarinya, barulah ahli masyarakat yang lain akan terlepas dari dosa. Ilmu fardhu kifayah termasuklah juga ilmu-ilmu akademik seperti perubatan, kejuruteraan, perindustrian, perdagangan, pertanian, ketenteraan, perakaunan dan sebagainya. Kalau ilmu agama, lazimnya dinamakan ilmu Akhirat, ilmu akademik pula dinamakan ilmu dunia. Ada sesetengah pihak cenderung untuk menamakan ilmu akademik ini sebagai ilmu sekular. Ini sebenarnya kurang tepat. Sekular atau tidaknya sesuatu ilmu itu bergantung kepada tujuan penggunaan dan matlamat pengamalnya dan bukan kepada jenis ilmu itu sendiri. Ilmu sekular ertinya ilmu yang khusus digunakan untuk tujuan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan Akhirat. Ilmu agama sekalipun, kalau tujuan penggunaan dan matlamatnya adalah untuk dunia seperti untuk dipuji, disanjung, dimuliakan, untuk mendapat kerja dan jawatan dan sebagainya, maka jadi sekularlah ilmu itu. Sebaliknya, kalau ilmu dunia digunakan dengan tujuan untuk berbakti dan mendapat keredhaan Allah dan menepati pula syarat-syarat sebagai suatu ibadah, maka ia tidak boleh dianggap sebagai ilmu sekular kerana ada nilai Akhiratnya.

ILMU SUNAT DAN ILMU HARUS
Kalau sudah ada ahli masyarakat yang mempunyai ilmu fardhu kifayah yang cukup, maka bolehlah ahli masyarakat yang lain mempelajari ilmu yang sunat atau yang harus. Ilmu-ilmu yang sunat termasuklah ilmu bahasa, sejarah. Ilmu yang harus pula termasuklah ilmu melukis, sastera dan sebagainya. Sepertimana yang disebut di atas tadi, ilmu yang harus ini juga kalau menepati syarat-syaratnya maka ia juga boleh menjadi ilmu yang bernilai Akhirat.

ILMU HARAM

Ilmu yang haram ialah ilmu yang ditegah kita mempelajarinya seperti ilmu sihir.

bersambung......

 

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer