Terhibur Dengan Zakat(2)


27/01/2006

...sambungan

Hubungan Sembahyang Dan Zakah

Dalam Surah Al Ma`uun Tuhan berkata:
"Tahukah kamu siapakah orang yang mendustakan agama? Iaitu orang yang menindas dan mengabaikan anak-anak yatim, dan orang yang enggan memberi makan kepada fakir miskin. Maka Neraka Wail bagi orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai di dalam solatnya. Dan orang-orang yang berbuat riyak dan mereka yang enggan memberi sedikit pertolongan kepada orang yang berhak mendapatkannya."

Di sini kita faham, orang yang bersembahyang itu akan dimasukkan ke dalam Neraka Wail bilamana sembahyang mereka tidak pun membuatkan mereka sampai boleh menjadi pembela kepada fakir miskin dan anak yatim. Sembahyang mereka juga tidak dapat menjadikan mereka orang yang suka memberi pertolongan atau berkhidmat kepada manusia.Sekali pandang mungkin kita tidak nampak di mana hubung kaitnya sembahyang dengan membela anak yatim dan fakir miskin. Tapi cuba kita teliti sembahyang kita.

Di dalam sembahyang, melalui Ummul Quran, iaitu Surah Al Fatihah, Tuhan begitu sekali menyintai kita, membenarkan kita meminta sebesar-besar perkara kepada-Nya. Tuhan memberi sebesar-besar cinta kepada kita.Jadi sebagai tukarannya, maka Tuhan mahu kita memberi zakah. Seolah-olah Tuhan berkata, tukarannya ialah engkau lakukanlah pembersihan diri kamu dengan melakukan zakah .

Sebab itulah juga banyak ayat-ayat Al Quran yang menyebutkan: "Dirikan solat dan keluarkan zakat..."
Selepas menunaikan solat, Tuhan menyuruh kita berzakat. Solat dan zakat diganding bersama dalam banyak ayat.Hanya orang yang benar-benar hidup sembahyangnya akan berfikir tentang zakah ini, sekalipun orang itu miskin, papa kedana dan layak menerima zakat.

Sebab zakat itu ada yang wajib dan ada zakat sunat. Silaplah kita selama ini, kerana menyangka orang kaya saja boleh keluar zakah, manakala orang miskin tidak mampu berzakah? Lalu zakah dipinggirkan, malah dianggap terasing. Sedangkan Tuhan menganjurkan agar setiap lepas sembahyang hendaklah berzakah.Jadi, zakah sebenarnya bukan dibuat di musim-musim yang cukup nisab dan haulnya. Zakah boleh berlaku setiap hari dengan cara bersedekah.

Jadi setiap lepas sembahyang, kita akan berzakah melalui sedekah iaitu sebagai pembersihan hati dari sifat bakhil, cinta dunia dan juga dosa-dosa kita. Rasulullah SAW adalah orang yang sangat suka berzakah. Bahkan pemurahnya baginda diibaratkan seperti angin yang sangat kencang. Begitu juga Sayidatina Aisyah r.ha., setiap hari beliau akan berusaha bersedekah walaupun sebelah kurma. Sayidina Ali k.w.j. dan Sayidatina Fatimah r.ha., walaupun mereka adalah keluarga yang paling miskin, tetapi terkenal sebagai pembela janda dan anak yatim.

Begitulah orang yang faham tentang kedudukan zakah ini, dia keluarkan zakah tadi bukan atas dasar kewajipan dari Tuhan semata-mata. Tetapi dia rasa terhibur kerana dapat menghiburkan orang susah. Di situlah berlakunya perhubungan kasih sayang . Tapi kalau hanya atas dasar menunaikan kewajiban saja, diberi begitu sahaja, maka tidak berlakulah hubungan kasih sayang, tidak ada perasaan terhibur mengeluarkan harta, tidak timbul dalam hati rasa senang melihat orang miskin. Jadi tidak hairanlah, orang yang mengeluarkan zakah sekarang ini masih sombong dengan orang miskin. Kenapa? Ini kerana dia tidak tahu peranan zakah yang sangat besar itu. Dia hanya tahu zakah adalah kewajipan semata-mata.

Orang yang tahu rahsia mengapa Tuhan menyuruh berzakah, dia akan rasa terhibur kalau berjumpa dengan orang susah kerana di situ dia dapat melakukan sesuatu yang menghiburkannya. Orang yang rasa terhibur membantu orang, tidak akan timbul rasa jemu. Bahkan, katalah tiba-tiba waktu itu ada orang yang perlukan bantuan sedangkan dia tidak ada duit, dia akan rasa sedih kerana peluang yang sangat menghiburkan dirinya terlepas. Setiap hari dia akan berzakah iaitu melakukan pembersihan atau pemurnian atau melakukan pengubatan-pengubatan terhadap dosa dan penyakit-penyakit hati.

Sayidina Abu Bakar Memerangi Golongan Yang Menolak Zakat Pentingnya zakah ini, maka Sayidina Abu Bakar pernah memerangi orang yang tidak mahu membayar zakah. Mengapakah beliau sampai sanggup bertindak memerangi mereka? Sebab merujuk kepada peranan zakah iaitu pembersihan diri, pengubatan dan penyelesaian masalah; atau dengan kata-kata lain yang ringkas; orang yang tidak mengeluarkan zakah ialah orang yang tidak sembahyang.

Dalam Quran ada menyebut yang maksudnya lebih kurang begini:
"Tahukah engkau siapakah orang musyrik? Iaitu orang yang tidak mengeluarkan zakat."

Jadi, memang patutlah golongan ini diperangi. Sayidina Abu Bakar nampak bahawa golongan yang tidak mahu membersihkan diri dengan zakah ini adalah golongan yang bahaya. Lebih baik dia mati daripada dia hidup. Sebab dia sentiasa mengotorkan dirinya, dan dia merosakkan masyarakatnya.Seperkara lagi, Sayidina Abu Bakar merupakan pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan, sebab Rasulullah ada mengisyaratkan bahawa pemimpin selepas baginda ialah Sayidina Abu Bakar r.a. Jadi golongan yang menolak zakat ini bukan sahaja mereka itu tidak mahu mengeluarkan zakat tetapi mereka juga tidak mahu tunduk kepada pemimpin yang ditunjuk oleh Allah dan Rasul.

Sebab itulah mereka diperangi.Bagi kita di akhir zaman ini, golongan yang tidak mahu membayar zakat ini rasanya bukanlah mereka ini menolak kewajipan berzakat. Cuma disebabkan cinta dunia dan lalai dengan Tuhan, maka mereka mencuaikan ibadah zakat. Dalam Islam, orang-orang kaya yang degil ini berhak dirampas harta mereka oleh pemerintah Islam untuk diberi kepada orang miskin dan mereka yang berhak.
Jadi, kedatangan Rasulullah SAW ialah untuk memproses orang kaya supaya menjadi `bank` kepada masyarakatnya. Proses ini bermula dengan sembahyang.

Orang yang benar-benar mendirikan sembahyang akan lahir rasa takut dan cinta kepada Tuhan. Maka buah daripada cinta dan takut kepada Allah itulah manusia akan melakukan pengorbanan, yakni melaksanakan zakah.Zakah sesuatu yang cukup besar di sisi Tuhan, namun ia sudah diperkecilkan oleh manusia hingga dianggap amalan terpinggir yang tidak diminati. Sementalahan pula ia dibuat secara diam-diam lalu orang pun tidak kisah samaada ia dilaksanakan atau tidak. Marilah kita memartabatkan zakah yang begitu besar ertinya ini dengan melaksanakannya setiap hari.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer