Terhibur Dengan Zakat(1)


26/01/2006

Apabila Peranan Zakat Itu Benar-Benar Difahami

Petikan:
"Orang yang mengeluarkan zakah, banyak perkara pembersihan yang dia sudah lakukan. Di antaranya ialah mengungkai rasa tamak, mengungkai rasa bakhil dan membersihkan penyakit cinta dunia dari hati. Hanya orang yang benar-benar hidup sembahyangnya akan berfikir tentang zakah ini, sekalipun orang itu miskin, papa kedana dan layak menerima zakat. Sebab zakat itu ada yang wajib dan ada zakat sunat "


Syariat Tuhan itu, apabila ia benar-benar berperanan sepertimana yang Allah kehendaki, kita akan dapat lihat syariat itu sungguh cantik dan indah. Antara syariat Tuhan tersebut ialah zakat, iaitu rukun Islam yang keempat. Persoalannya, mengapa kita tidak dapat merasakan keindahan dan kecantikan syariat zakat selama ini? Malah bila sebut saja bab zakat, kita tidak ada selera pun, seolah-olah ianya menyusahkan dan tidak ada peranan besar dalam hidup kita. Lebih-lebih lagi bagi orang yang tamak dan cinta dunia, mereka sangat susah hati kerana terpaksa mengeluarkan harta. Manakala bagi orang yang tidak tamak pula, mengeluarkan zakat itu setakat untuk mendapatkan pahala. Itu saja.

Hal ini berlaku kerana kita lebih menumpukan kepada hukumnya sahaja. Kita hanya faham zakat itu ialah salah satu Rukun Islam. Itupun tidak menyeluruh, kerana zakat bukan terhenti sekadar rukun Islam semata-mata.

Dalam Islam, zakat sebenarnya terbahagi kepada tiga kategori, iaitu:
1. Wajib .
Iaitu yang menjadi rukun Islam.

2. Sunat .
Zakat yang sunat itulah yang dikatakan sedekah . Ia bermacam-macam bentuk, kerana sedekah itu macam-macam bentuknya. Dalam Hadis, senyum dan membuang duri di jalan juga termasuk sedekah.

3. Wajib aradhi.
Zakat kategori ini setiap hari berlaku.
Contohnya:
* Ada orang sakit yang tidak ada duit hendak bayar ubat, maka orang yang ada duit wajib aradhi baginya membayarkannya .
* Orang yang dapat kemalangan secara tiba-tiba, maka bagi orang yang senang dan mampu, wajib aradhi menolongnya .

Jadi zakat yang berbentuk wajib aradhi ini tidak bermusim.

Apabila kita meneliti kategori zakat di atas, barulah kita nampak betapa luasnya skop zakat itu. Selain itu, kita juga selama ini tidak faham tentang tuntutan zakat, sebab itulah kita mengabaikannya. Lebih-lebih lagi kita tidak faham tentang roh atau pengertian zakat. Padahal kalau kita fahamlah hikmah zakat, peranan zakat, maka tentu kita berlumba-lumba untuk berzakat. Mari kita lihat apa peranan zakat.

Peranan Zaka t
Peranan zakat merujuk kepada erti makna perkataan zakat itu sendiri.
Dalam bahasa Arab , ia disebut zakah .Tapi orang Melayu menyebutnya sebagai zakat. Kalau kita bahaskan erti zakah saja pun, kita akan nampak betapa besarnya peranan zakah ini. Itu baru memperkatakan zakah di sudut bahasa. Jadi, apa erti zakah?

Makna zakah di sisi bahasa ialah bersih atau murni atau pembersihan . Maksudnya orang yang menunaikan zakah,dia mencetuskan bermacam-macam pembersihan dan kemurnian. Orang yang mengeluarkan zakah, banyak perkara pembersihan yang dia sudah lakukan.

Di antaranya ialah:
1. Mengungkaikan rasa tamak, mengungkai rasa bakhil, atau dengan lain perkataan membersihkan dosa-dosa tamak dan bakhil .
2. Membersihkan penyakit cinta dunia dari hati .
3. Membersihkan dan menghilangkan rasa hasad dengki daripada orang miskin. Sebab bila orang miskin mendapat pembelaan melalui zakah, dia akan rasa sayang dan kasih kepada orang kaya. Hilanglah hasad dengki dan timbullah kasih sayang sesama manusia.
4. Walaupun tidak sampai menghapuskan kemiskinan tetapi zakah akan menghilangkan kesusahan di kalangan fakir miskin.
5. Membersihkan daripada permusuhan di kalangan orang kaya dan orang miskin.
6. Zakah membersihkan harta seseorang daripada kepunyaan atau hak orang lain yang ada di dalam harta kita itu .
7. Secara rohaniahnya atau secara maknawiahnya, hendak membersihkan hati atau darah daging kita daripada makanan yang haram . Bila zakah tidak dikeluarkan, ertinya kita makan hak fakir miskin, hak fisabilillah, hak Ibnu Sabil dan lain-lain asnaf lagi. Kalau kita memakannya maka darah daging kita menjadi kotor oleh makanan yang haram. Orang yang tidak mengeluarkan zakah, hakikatnya memakan harta orang serta mengotorkan badannya dengan makanan yang haram.
8. Zakah mencepatkan dikabulkan doa . Zakah atau sedekah lebih tajam dari doa. Ia menyampaikan hajat kita dan ia juga merupakan satu cara bersyukur atas nikmat yang Tuhan kurniakan.
9. Hendak membersihkan diri daripada papa kedana . Zakat menyelamatkan atau membersihkan diri daripada penyakit papa kedana. Tidak pernah papa orang yang pemurah.
10. Secara batiniahnya, zakah boleh memanjangkan umur .

Itulah dia di antara peranan zakah, sesuai dengan makna zakah itu sendiri. Jadi zakah ini bukan perkara kecil. Daripada zakah, banyak perkara yang besar akan jadi murni dan bersih. Ada yang bersih batin, ada yang bersih lahir. Tapi oleh kerana selama ini hanya ditekankan dari segi hukum, tapi tidak ditekankan di sudut mengapa zakah itu dikeluarkan, hanya setakat siapa yang keluarkan zakah dapat pahala, siapa tidak keluarkan zakah dia berdosa, maka kita tidak nampak zakah itu hebat dan besar peranannya.

Sebab itulah, bila kita faham peranan zakah, masya-Allah, datang rasa seronok untuk berzakah. Rupanya zakah bukannya hanya menunggu hari raya fitrah atau setelah harta cukup haul dan nisabnya, tetapi setiap hari kita boleh berzakah. Setiap hari kita boleh melakukan pembersihan harta, diri dan hati serta pembersihan daripada dosa-dosa. Ini amat berbeza apabila kita mendengar kuliah daripada kebanyakan guru-guru agama, mereka hanya bersyarah tentang zakat padi ialah sekian-sekian, zakat kerbau lembu pula sekian-kian. Itulah yang diulang-ulang selama dua tiga bulan. Kita pun naik jemu sebab kita tidak ada padi. Cerita tentang zakat lembu, manalah kita ada lembu. Akhirnya masyarakat tertipu dalam memahami skop zakah yang telah dipersempitkan itu.


...bersambung

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer