Tegakkanlah Keadilan Di Dalam Kehidupan


03/05/2006

16 ahli Parlimen pakai bow-tie cetus perbahasan
Oleh Sadatul Mahiran Rosli
KUALA LUMPUR 2 Mei - Gara-gara 16 orang ahli Parlimen `sengaja' memakai bow-tie, Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini.

Ia bermula dengan tindakan Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) yang bangun mempertikaikan pemakaian bow-tie oleh hampir semua ahli Parlimen yang duduk di Barisan G sambil meminta penjelasan sama ada pemakaian itu diluluskan oleh Dewan atau tidak.

Menurut Mohd. Alwi, pakaian tersebut tidak menepati peraturan pakaian Dewan yang menetapkan wakil rakyat hanya boleh memakai baju kot bertali leher atau baju kebangsaan.

Ekoran pelanggaran akta itu, beliau telah mencabar ahli-ahli Parlimen itu keluar dan menggantikannya dengan pakaian yang diterima oleh Dewan.

Antara yang memakai bow-tie ialah K.S Devamany (BN-Cameron Highlands), Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Razali Ibrahim (BN-Muar), Hasni Mohamad (BN-Pontian), Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) dan Raimi Unggi (BN-Tenom).

Datuk Mohd. Zaid Ibrahim (BN-Kota Bharu) kemudian mencelah untuk menyokong pemakaian bow-tie oleh Barisan G.

``Mereka juga menggunakan tali leher. Saya tidak nampak kesalahan dari segi peraturan yang disebut oleh Yang Berhormat Ketereh,'' katanya.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang bosan dengan kekecohan itu bangun lalu meminta supaya menghentikan perbincangan itu.

``Jangan jadikan ia bahan ketawa, ada perkara penting yang perlu dibincangkan di Parlimen, jangan buang masa dengan perkara ini,'' tegasnya.

Akhirnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib terpaksa masuk campur dan membuat keputusan.

Katanya: ``Mengikut peraturan, selain daripada pakaian kebangsaan yang dipakai oleh wanita, pemakaian lounge suit yang dipakai dengan tali leher panjang atau tali leher yang berupa bow dibenarkan seperti mana beberapa Yang Berhormat pakai.''

ULASAN:
Tegakkanlah keadilan di dalam kehidupan, bukan saranan. Lahirkan kasih sayang dengan perbuatan, bukan slogan. Pemurahlah dengan budi, bukan teori. Merendah dirilah dengan sikap, bukan cakap. Berdisiplinlah, bukan membuat disiplin. Ajaklah orang membuat baik bermula dari diri sendiri.Orang akan turut setelah memerhati. Tunjukkanlah akhlak baik, bukan menyarankan falsafah akhlak. Akhlak adalah pakaian batin, seperti kain pakaian lahir. Orang yang tiada pakaian lahir keaibannya nampak. Orang yang tiada pakaian batin kejahatannya nampak. Janji kita kotakanlah, bukan hanya berkata.


Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer