Tauhid & Syariat


08/08/2005

DI ANTARA

SYARIAT DAN TAUHID

U mat Islam mesti memahami letak duduk di antara syariat dan tauhid. Umat Islam mesti tahu di antara syariat dan tauhid , mana yang patut didahulukan. Umat Islam mesti sedar, di antara syariat dan tauhid, manakah yang lebih utama. Umat Islam mesti tahu apakah syariat itu timbul dari tauhid atau tauhid itu yang timbul dari syariat. Kalau semua ini tidak difahami dengan betul, kita boleh tersalah langkah dalam beragama. Agama kita boleh jadi tunggang terbalik. Kita boleh kehilangan Tuhan walaupun kita sudah serius beragama.

Sebenarnya perkara pertama yang berlaku dalam agama ialah soal aqidah atau ketauhidan iaitu soal mengenal Tuhan. Setelah Tuhan dikenali, barulah timbul keperluan untuk bersyariat, samada syariat lahir atau apa yang dinamakan fikh mahupun syariat batin atau apa yang dinamakan tasawuf . Syariat ialah cara atau kaedah bagaimana kita dapat memperhambakan diri atau cara mana kita dapat mengabdikan diri kepada Tuhan atau cara untuk kita membesarkan Tuhan setelah Tuhan itu kita kenali sungguh-sungguh.

Contohnya, apabila kita sudah kenal Tuhan dan kita rasa kita ini hamba dan Tuhan itu Khaliq, maka kita akan terdorong untuk menyembahNya. Tetapi kita tidak boleh menyembah Tuhan ikut sesuka hati kita. Maka untuk itu, kita perlu rujuk kepada syariat untuk mengetahui bagaimana cara yang Tuhan mahu kita menyembah-Nya. Begitulah juga dengan hal-hal lain dalam kehidupan. Contohnya, dalam pendidikan, dakwah, masyarakat, pergaulan, perniagaan dan sebagainya yang Tuhan mahu kita tegakkan. Kita tidak boleh memandai-mandai dalam hal ini atau mengikut sahaja sistem orang Nasrani dan Yahudi. Tuhan hendak kita buat semua itu ikut cara yang Tuhan mahu. Untuk itu, syariat diturunkan. Jadi mengenal Tuhan itu mesti berlaku dahulu. Kemudian baru timbul keperluan bersyariat. Ini sesuai dengan hadis yang bermaksud,

Awal-awal agama, mengenal Allah .

Kalau Allah kita belum kenal, atas dasar apa dan untuk siapa kita hendak beragama.

Tambahan pada itu, kalau kita belum betul-betul kenal Tuhan, sudah tentu kita belum berjiwa tauhid. Kalau belum berjiwa tauhid, sudah tentu kita belum khusyuk dengan Tuhan. Kalau belum khusyuk dengan Tuhan, sudah tentu kita belum bertaqwa. Kalau belum bertaqwa, kita tidak ada kekuatan jiwa untuk melaksanakan dan menegakkan syariat. Hanya orang yang bertaqwa sahaja yang mampu memperjuangkan syariat sungguh-sungguh.

Begitulah juga apa yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Selama tiga belas tahun di Mekah, Rasulullah hanya mengajar para sahabat tentang Tuhan dan tentang ketauhidan. Rasulullah tidak mengajar apa-apa tentang syariat. Hanya apabila di Madinah, barulah turun hukum-hakam tentang syariat. Maknanya, para sahabat diperkenalkan kepada Tuhan terlebih dahulu sehingga mereka cinta dan takut dengan Tuhan sebelum mereka didedahkan kepada syariat.

Oleh itu, dalam mendidik anak-anak mahupun masyarakat, kita tidak boleh utamakan syariat sebelum kita selesaikan soal tauhid atau soal mengenal Tuhan terlebih dahulu. Tuhan mesti diperkenalkan. Selepas itu barulah diperkenalkan syariatNya. Kalau tidak maka akan timbullah syariat yang tidak dikaitkan dengan Tuhan. Orang yang agamanya hanya syariat semata-mata tanpa dikaitkan dengan Tuhan ialah orang yang nampak seperti beragama tetapi tidak beraqidah. Hakikatnya dia tidak beragama kerana agama itu ialah sistem penyembahan atau sistem peribadatan yang ada hubungkait dengan Tuhan. Kalau tidak ada hubungkait dengan Tuhan, ianya bukan agama. Ianya hanyalah ideologi. Ideologi memang tidak ada hubungkait dengan Tuhan.

Orang yang bersyariat tanpa Tuhan, syariatnya kosong dan tidak berjiwa. Kerana Tuhan tidak dilibatkan sama, maka tidak ada kemanisan, keindahan dan kepuasan dalam ibadahnya. Walaupun ibadahnya banyak tetapi ianya tidak memberi kesan apa-apa kepada hatinya. Akhlaknya tidak berubah malahan bertambah rosak. Mereka tidak terlepas dari membuat perkara-perkara keji dan mungkar.

Orang yang bersyariat tanpa Tuhan selalunya memandang syariat itu besar. Tuhan tidak besar. Mereka memperjuangkan syariat tetapi tidak memperjuangkan Tuhan. Padahal syariat itu diturunkan untuk membesarkan Tuhan. Mereka hendak paksa syariat ke atas manusia termasuk hukum hudud dan sebagainya, tetapi tidak mahu membawa atau memperkenalkan Tuhan kepada manusia sehingga manusia boleh jatuh cinta dan takut dengan Tuhan. Justeru itu tujuan sebenar mereka beragama telah tersasar. Walaupun mereka nampak seperti beragama, tetapi mereka sebenarnya kehilangan Tuhan. Mereka beragama tetapi tidak beraqidah.

Orang yang bersyariat tanpa Tuhan akan mengejar pahala serta fadhilat dalam beribadah dan bukan untuk menagih redha,rahmat dan kasih sayang Tuhan. Mereka merasakan ibadah mereka itu boleh membeli syurga. Mereka lupa bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan masuk syurga kerana amalan mereka. Tidak juga Rasulullah s.a.w sendiri. Manusia masuk syurga hanya kerana rahmat Tuhan. Fadhilat dan pahala itu urusan Tuhan. Kalau kita beribadah kerana Tuhan, nescaya Tuhan akan kurniakan pahala dan fadhilatnya. Tetapi kalau kita beribadah kerana pahala dan fadhilat, dari manakah akan datang pahala dan fadhilat itu? Siapakah yang akan memberinya kalau tidak Tuhan? Oleh itu, kenapa ketepikan Tuhan yang memberi pahala dan fadhilat.

Orang yang membesarkan fadhilat akan hilang takut dengan dosa. Mereka menganggap ambil wudhuk akan terhapus dosa. Bila sembahyang akan terhapus dosa. Bila naik haji akan terhapus dosa. Walaupun ini benar tetapi ia berbentuk fadhilat. Hakikat ini tidak boleh digunakan untuk meremeh-remeh dan meringan-ringankan dosa. Kesannya mereka sudah tidak takut lagi dengan dosa kerana merasakan dosa terlalu mudah untuk dihapuskan. Akhirnya mereka hilang takut dengan dosa dan dengan Tuhan itu sendiri.

Itu sebab kita lihat ramai orang yang nampaknya seperti beragama dan kuat beribadah, tetapi dalam masa yang sama mereka terjebak dengan berbagai maksiat. Ramai juga yang dengan mudah boleh murtad dan meninggalkan Islam atas alasan yang terlalu kecil seperti hendak kahwin dengan jejaka yang bukan Islam, walhal sebelum itu mereka berjubah dan bertudung labuh, pandai baca Quran dan tidak pernah tinggal sembahyang. Inilah orang-orang Islam yang telah memutuskan hubungan mereka dengan Tuhan dan hanya mengikat diri mereka dengan syariat semata-mata. Lagi banyak mereka beribadah, lagi jauh mereka dengan Tuhan.

Orang yang beribadah kerana fadhilat dan yang beribadah kerana Tuhan ibarat dua orang anak yang berkhidmat kepada ibu mereka. Seorang berkhidmat kerana setiap kali dia berkhidmat kepada ibunya, dia diberi upah. Kalau ibunya tidak menjanjikan upah, maka dia enggan berkhidmat. Seorang lagi anak berkhidmat kepada ibunya tanpa meminta upah. Ada upah atau tidak ada upah, dia tetap setia berkhidmat kepada ibunya. Apabila ditanya kenapa, dia menjawab bahawa ibunya telah melahirkan dia. Kalau ibunya tidak ada, maka dia pun tidak ada. Dia berkhidmat hanya kerana ibunya itu ibunya dan dia adalah anak. Sudah sepatutnyalah anak berkhidmat untuk ibunya. Inilah sepatutnya sikap kita terhadap Tuhan.

Oleh itu, jangan kita hanya menyogok hal-hal syariat sahaja kepada anak-anak kita dan masyarakat seperti soal sembahyang, puasa, zakat, baca Quran, hukum hudud dan sebagainya. Kita perlu banyakkan lagi usaha untuk membawa mereka mengenal Tuhan, untuk merasakan mereka itu adalah hamba kepada Tuhan. Kita mesti berusaha untuk menanam di hati mereka rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Kalau ini dapat kita lakukan, maka soal syariat akan jadi mudah. Orang yang sudah cinta dan takut dengan Tuhan akan ghairah melakukan syariat kerana itulah jalan baginya untuk membesarkan Tuhan yang dicintainya dan untuk taat kepada Tuhan yang ditakutinya. Orang yang cinta dengan Tuhan sudah tentu ghairah untuk membuat apa sahaja yang disukai Tuhannya. Orang yang takut dengan Tuhan sudah tentu bimbang untuk membuat sesuatu yang tidak disukai atau yang dibenci Tuhannya

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer