Tanah Mencengkam Kudanya


16/07/2006

Orang-Orang Quraisy yang mengepung rumah Rasulullah sepanjang malam berlakunya peristiwa Hijrah itu merasa amat kecewa apabila mendapati baginda tiada di dalam rumah. Mereka 'ditidurkan' oleh Allah SWT untuk memberi laluan kepada baginda keluar dari rumah itu.

Selepas meluahkan perasaan marah kepada Sayidina Ali yang menggantikan tempat tidur baginda, orang-orang Quraisy tersebut lantas beredar.

Pengumuman dibuat besar-besaran dan hadiah 100 ekor unta ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Nabi sama ada hidup atau mati.

Ramai yang terpesona dengan tawaran itu. Malah ada yang mengejar baginda hingga sampai di Gua Tsur di mana Rasulullah bersembunyi bersama Sayidina Abu Bakar. Rasulullah menenangkan Sayidina Abu Bakar yang kelihatan ketakutan dengan firman Allah: "Jangan takut dan jangan berdukacita. Scsungguhnya Allah bersama kita."

Apabila musuh sudah tiada, Rasulullah mengambil jalan jauh melalui pantai untuk mengelakkan buruan kafir Quraisy. Mereka ditemani oleh Amir bin Fudhirah dan seorang musyrikin yang diupah oleh Nabi untuk mcnunjukkan jalan.

Suraqah bin Malik, salah seorang yang terpengaruh oleh tawaran kaum Quraisy, telah keluar untuk menangkap Nabi. Dia berjaya mengesan jejak Nabi. Dalam pengejaran itu, Suraqah hampir mendekati kenderaan Nabi. Namun setiap kali dia mendekatinya, kudanya selalu jatuh.

Pertama kali kudanya jatuh, Suraqah berusaha bangkit kembali untuk mengejar Nabi. Namun setelah hampir, sekali lagi kudanya terjatuh. Suraqah yang memang mengidamkan hadiah 100 ekor unta itu tidak berputus asa. Dia terus mengejar Nabi dari belakang. Nasibnya semakin malang. Dalam percubaan kali ketiganya, kudanya jatuh dan kaki kuda itu terbenam di dalam tanah. Ia tidak dapat bergerak lagi.

Pada mulanya Suraqah agak hairan dengan keadaan tersebut. Namun kemudian terdetik di hatinya bahawa orang yang dikejarnya bukanlah sebarangan orang.

"Sesungguhnya Muhammad itu seorang yang istimewa dan seorang nabi yang mendapat perlindungan daripada Allah," detik hatinya.

Spontan melonjaklah keinsafan di hatinya. Lantas berteriaklah Suraqah: "Ya Muhammad, tunggulah aku. Aku adalah Suraqah bin Malik. Izinkan aku berbicara sebentar cuma. Aku berjanji tidak akan mengganggu kalian lagi."

"Katakan kepadanya, apakah maksud dia mengejar kita," kata Nabi kepada Abu Bakar.
Abu Bakar segera melaungkan kepada Suraqah sepertimana yang dikatakan oleh Nabi tadi.

" Tuliskan sebuah surat untukku agar dapat aku jadikan bukti bahawa aku telah menjadi pengikutmu," rayu Suraqah.

Setelah mendapat persetujuan daripada Nabi, Amir bin Fuhairah pun menulis surat perjanjian pada sebatang tulang yang kemudian diserahkan kepada Suraqah. Dengan perasaan girang, Suraqah menyambut surat itu. Lupalah Suraqah niat asalnya untuk membunuh Nabi.

"Wahai Suraqah," kata Rasulullah. "Betapa gembiranya perasaan kamu apabila rantai Maharaja Parsi berada di tangan kamu nanti."

Kata-kata Rasulullah ini menjadi kenyataan apabila Parsi jatuh di tangan orang Islam semasa pemerintahan Khallfah Umar Al Khattab. 

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer