Tamadun Mesti Berdisiplin Dan Berperaturan


25/09/2006

Islam itu dikatakan agama fitrah. Bila dikatakan fitrah, ia adalah satu pakej yang ada dalam diri manusia iaitu akalnya, nafsunya, rohnya dan jasadnya. Ini satu pakej yang sandar menyandar, kuat-menguatkan dan perlu-memerlukan. Setiap satunya tidak boleh bertindak sendiri-sendiri.

Roh berperasaan seperti suka, benci, senang dan lain-lainnya. Nafsu merangsang atau mendorong. Akal memikirkan perasaan tadi dan bila didorong oleh nafsu, ia akan fikirkan kaedah atau cara, lalu diarahkan fizikal untuk melaksanakannya. Fizikal hanya ikut sahaja. Dengan wujudnya fenomena ini, manusia itu berubah dan maju dari masa ke masa. Berdasarkan ini, rupanya tabiat semula jadi manusia ia berkemajuan. Dengan adanya pakej tadi iaitu akal, nafsu, roh dan jasad, manusia berkemajuan. Tidak seperti haiwan. Haiwan, dulu telanjang sekarang pun telanjang. Ia tidak berubah sebab tidak ada pakej kemajuan dalam dirinya. Kalau pokok kayu, lagilah. Langsung tidak ada perasaan, akal atau nafsu.

Manusia tidak begitu. Manusia berubah-ubah. Jadi maju ke maju sampai menjadi canggih. Kalau manusia hidup seribu tahun lagi, entah apa kemajuan yang manusia akan buat. Kereta mungkin bukan yang macam ada sekarang. Kapal terbang pun entahlah apa bentuknya.Watak manusia itu bertamadun. Tuhan cipta manusia begitu. Oleh itu adalah salah kalau watak itu dinafikan atau dikorbankan. Salahlah kalau sifat hadhari (berkemajuan) manusia itu dihalang. Kalau dihalang, ia satu penzaliman. Kalau tidak, untuk apa Tuhan jadikan watak itu. Bila Tuhan telah menjadikan manusia berwatak hadhari, ertinya Tuhan benarkan manusia itu bertindak dan berusaha untuk maju. Tidak boleh dihalang atau disekat.

Cuma, kerana kasih sayang Tuhan, Dia tidak mahu kita semata-mata maju sahaja kerana dalam kemajuan itu ada bahayanya. Dorongan untuk maju itu, kalau sudah ada, sudah baik. Tetapi Tuhan itu penyelamat. Dia kasihan kepada hamba-hamba- Nya. Dia mahu hamba-hamba-Nya maju tetapi jangan ada huru-hara. Majulah tetapi jangan ada kesan negatif atau gejalanya. Jangan ada jenayah dan penzaliman. Sebab itu Tuhan buat peraturan. Hendak maju boleh tetapi ada syaratnya. Ada disiplinnya.

Islam itu juga dikatakan agama yang selamat dan menyelamatkan. Bukan setakat selamat sahaja tetapi selamat dan menyelamatkan. Kita selamat dan orang lain pun selamat sama. Sebab itu agama Tuhan ini dinamakan Islam (yang bermaksud selamat dan menyelamatkan). Kalau setakat selamat sahaja tentulah agama ini dinamakan sahaja Salmun, iaitu selamat. Untuk selamat dan menyelamatkan itulah ia perlu disusun dan diperundangkan, didisiplinkan dan dibuat peraturan.

Contohnya, hendak maju boleh, tetapi jangan ada rasuah. Orang ramai benci pada rasuah. Jangan bergaduh dan jatuh menjatuhkan. Apa ertinya maju kalau kita bergaduh. Boleh maju tetapi jangan bergaul bebas lelaki perempuan. Sebab, kalau sudah bebas bergaul, tiada ertinya maju. Nanti dalam maju ada penzinaan, ada pelacuran, ada perogolan dan lain-lain. Tidak akan ada erti apa-apa kemajuan yang dicapai. Kalau tidak ada peraturan, akhirnya nanti, semua ikut naik.Maju naik, jenayah pun naik. Maju naik, krisis pun naik. Maju naik, dedah-mendedah aurat pun naik.

Yang dikatakan Islam Hadhari itu, bukan maju sahaja atau disiplin sahaja tetapi kemajuan dengan berdisiplin. Kemajuan dapat dan disiplin pun dapat. Itulah Islam Hadhari. Itulah Islam yang selamat dan menyelamatkan.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer