Tamadun Islam Sebenarnya Terletak Pada Manusianya


26/03/2006

MATANYA MULA merah.Tangannya mula menggenggam penumbuk. Saya mula teragak-agak untuk meneruskan perbualan yang semakin panas itu. Tapi dia terus mendesak.

"Apa kata awak, ini bukan tamadun Islam? Tengoklah betapa hebatnya mangkuk dan pinggan yang terukir dengan ayat Quran ni... Diperbuat daripada emas pula. Awak kata ini tak hebat?" katanya.

Saya mula `cool down`. Puas mencari jalan bagi meredakan keadaan. Tidak sangka pula berbincang pasal Islam sampai boleh jadi begini. Yalah... berbincang perkara baik hingga terbabas hampir-hampir jadi tak baik.

"Saya akui kehebatannya. Tetapi tamadun Islam lebih hebat daripada itu. Kalau sekadar pinggan emas yang berukir ni, pinggan mangkuk tamadun China pun tak kalah hebatnya," kata saya.

"Tu meriam yang besar tu awak kata tak hebat? Arkeologi di atas sana tu tak hebat? Baju besi di depan sana tu tak canggih? Apa awak ni, anti Islam ke?" bentaknya tiba-tiba. Saya makin suspens. Mujur ada kawan di sebelahnya yang menyabarkan.

Kalau tidak, entah-entah saya jadi orang yang pertama ditumbuk sewaktu menyaksikan pameran di Muzium Topkapi, Istanbul ini.

"Kehebatan tamadun Islam terletak pada nilai yang tak tercapai oleh tamadun-tamadun bangsa yang lain. la terletak pada manusianya, bukan hasil ciptaannya... Bukan pada bangunan, bukan pada senjata, bukan pada istana dan barang-barang per-hiasan ni..." ujar saya setelah menunggu seketika hingga kemarahannya reda.

"Okeylah, cuba awak jelaskan..." pintanya.

Alhamdulillah, bisik hati saya.

"Islam sahaja agama yang mampu melahirkan manusia yang cintakan Allah, kasih sesama manusia, mampu mengalahkan hawa nafsu, memerangi syaitan. Manusia yang menjadikan Syurga sebagai idaman, ingat mati, takut Neraka, jihad dan amal bakti sebagai pakaian hidup. Hingga dengan itu muncul-lah orang kaya yang pemurah, orang miskin yang sabar..." saya terhenti dan melihat mukanya.

"Teruskan," pintanya.

"Ulama yang berani, pemerintah yang adil, rakyat yang taat, suami yang bertanggungjawab, isteri yang patuh, peniaga yang jujur, majikan yang bertimbang rasa, buruh yang rajin... Dan akhirnya dunia pun jadi aman dan tenteram. Itulah uniknya tamadun Islam."

"Tapi Islam juga maju dan progresif di bidang ekonomi, teknologi dan lain-lain," katanya.

"Ya, bila maju manusiawinya, majulah ciptaannya. Bila sudah cintakan Akhirat; kemajuan dunia mengikut secara automatik..."

"Ini semua hasil tamadun umat Islam tetapi belum tentu tamadun Islam," kata saya sambil menunjukkan barang-barang pameran di muzium itu yang asalnya sebuah istana.

"Apa bezanya tamadun Islam dan tamadun umat Islam?"

Saya menyambung, "Pinggan mangkuk emas itu lambang pembaziran, itu itu bukan tamadun Islam. Begitu juga khanjar [sejenis pisau belati] yang bertatah permata itu, itu bukan tamadun Islam. Sama juga dengan berlian, intan yang menjadi rantai dan subang yang berlebih-lebihan itu... Pada saya itu bukan tamadun Islam."

"Kenapa?"

"Tamadun Islam mesti diasaskan dan didorong oleh iman. Bila membangunkan-nya, mesti pula mengikut hukum Al Quran dan Sunnah. Islam melarang singgahsana permata semacam itu. Juga pinggan mangkuk dari emas dan perak itu... Itu pembaziran, bahkan kadangkala jatuh kepada penzaliman kalau ada wang rakyat yang diperas untuk membuatnya."

"Jadi tanpa panduan Al Quran dan Sunnah, tamadun Islam tidak boleh terbina?" tanyanya lagi.

"Itu sudah pasti. Itulah kunci tertegaknya tamadun Islam. Sebab itu saya katakan tadi tamadun Islam bukan pada material tetapi pada insaniahnya. Kalau kemajuan material, tanpa Quran dan Sunnah pun manusia boleh membinanya. Shih Huang Ti membina Tembok Besarnya tanpa Al Quran. Ghenghiz Khan meluaskan empayarnya tanpa Hadis. Bahkan, Firaun membina piramid dan spinknya dalam derhaka kepada Allah."

"Baik... baik. Saya faham. Jadi awak rasa harta sultan Turki Usmaniyah ini bukan dari tamadun Islam?"

"Sukar saya jawab secara tepat. Tetapi saya pelik juga kerana saya tidak jumpa sebarang perhiasan atau batu permata pun kepunyaan Sultan Muhammad Al Fateh. Dia sultan terbaik dan diakui paling bertaqwa di kalangan sultan-sultan Usmaniyah yang lain.

"Ya tak ya juga. Saya hanya melihat pedang tinggalannya di sebelah sana... itu pun cukup sederhana. Pedang Rasulullah dan Sahabat-sahabatnya semua bertatahkan permata...," akuinya.

"Itu menunjukkan Sultan Muhammad Al Fateh membina tamadun Islam pada dirinya dan manusia-manusia di bawah pemerintahannya. Baginda tidak ada masa untuk pinggan mangkuk emas... Err, mengenai pedang Rasulullah dan para Sahabatnya tu kita jangan terkeliru. Intan dan emas itu dilekatkan kemudian. Bukan asalnya begitu. Asalnya simpk sahaja. Macam pedang Muhammad Al Fateh juga."

"Kalau begitu, yang kita lihat semua ni apa?" tanyanya sambil memandang saya.

"Kita dapat membezakan warisan manusia yang bertaqwa dan warisan manusia yang tidak bertaqwa.Tengok ni, surat Rasulullah... ketinggian nilainya pada isinya yang menyeru kepada Allah dan Hari Akhirat, walaupun tidak ditulis dengan tinta emas dan lembaran permata," kata saya sambil menunjuk lembaran surat usang yang dipamerkan.

Sekian.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer