Takziah Untuk Pm Dan Keluarga


20/10/2005

TAKZIAH

Isteri PM Endon Mahmood meninggal dunia

KUALA LUMPUR 20 Okt - Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Endon Mahmood meninggal dunia di kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya jam 7.55 pagi ini setelah beberapa tahun bertarung dengan kanser payu dara.

Allahyarhamah Endon, 64, menghembus nafas terakhir kira-kira 18 hari selepas kembali daripada menjalani rawatan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Allahyarhamah meninggalkan dua orang anak. Pejabat Perdana Menteri mengumumkan orang ramai boleh menziarahi jenazah Allahyarhamah untuk memberi penghormatan terakhir di Seri Perdana mulai jam 11pagi melalui pintu utama kediaman rasmi itu.

Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Masjid Putrajaya untuk disembahyangkan pada waktu Asar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Precint 20, Putrajaya.

ULASAN

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau bersama roh orang yang soleh. Al Fatehah.

Kita harus yakin bahawa tidak ada sesuatu yang berlaku di mayapada ini yang Tuhan tidak tahu. Tidak akan berlaku sesuatu kalau Tuhan tidak izinkan dan tidak kehendaki. Apa sahaja yang berlaku tidak terkeluar dari rencana, rancangan dan jadual Tuhan. Dia pentadbir sekelian alam. Gugurnya sehelai daun kering di hutan belantara, Tuhan tahu. Menetasnya seekor anak ikan di lautan yang dalam, Tuhan tahu. Matinya seekor hama di celah-celah rumput, Tuhan tahu. Sebutir pasir menjadi batu di perut bumi pun Tuhan tahu. Bahkan bukan setakat tahu. Dia yang berkehendakkan ianya jadi begitu.

Tuhan itu berperanan dalam segala hal. Tidak ada perkara yang Tuhan tidak masuk campur. Dunia ini ibarat pentas. Tuhan itu pengarahnya. Kita ini pelakon-pelakon-Nya. Apa sahaja yang dilakonkan di pentas dunia ini adalah mengikut arahan pengarahnya.
Boleh juga diibaratkan dunia ini seperti papan catur. Kita dan segala apa yang ada di dalam dunia ini ialah buah-buah catur. Tuhan itu pencaturnya. Kita sebagai buah catur, tidak akan dapat bergerak kalau kita tidak digerakkan. Kalau kita tidak digerakkan maka akan diam membatulah kita. Oleh itu segala apa yang berlaku, kembali kepada Tuhan. Tuhanlah puncanya. Tuhanlah pencetusnya.

Bila kita faham semua ini, maka segala kejadian dan perkara yang berlaku itu jadi kecil. Nikmat jadi kecil. Ujian jadi kecil. Halangan jadi kecil. Kesusahan jadi kecil. Musuh jadi kecil. Segala-galanya akan menjadi kecil. Yang kita rasa besar ialah Tuhan; yang menyebabkan perkara itu berlaku. Justeru itu kita akan jadi tenang. Kita tidak takut. Kita tidak gentar. Kita tidak risau. Kita tidak bimbang. Semuanya, termasuk diri kita sendiri, adalah di dalam genggaman dan kawalan Tuhan. Mudah sahaja kita menerima apa pun yang berlaku. Kita mudah sabar, mudah redha dan mudah kembali kepada Tuhan.



Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer