Susahnya Mencari Sahabat(5)
Kuliah Umum
07/09/2006
Peringkat Orang Yang Bertanggungjawab Terhadap Sahabat
Oleh kerana orang yang bersahabat itu tidak sama satu sama
lain di dalam menunaikan tanggungjawab terhadap sahabatnya,
justeru itu bersahabat itu ada beberapa peringkat:
1.
Golongan orang soleh
Iaitu seseorang sahabat terhadap sahabatnya sekadar dapat
memberi tanggungjawabnya kepada sahabatnya apabila
diminta. Apabila sahabat itu memerlukan sesuatu, kalau dia
tahu, (sama ada dia tahu sendiri atau sahabatnya memberitahu
atau ada orang lain memberitahu) dia akan membantunya.
Dengan kata-kata yang lain dia akan membantu,
memberi, menolong sahabatnya di waktu sahabatnya memerlukan
bantuannya.
2.
Golongan muqarrabin
Iaitu seorang sahabat dapat memberi tanggungjawab terhadap
sahabatnya dengan memberi sesuatu kepunyaannya dibahagi
dua kepada sahabat-sahabatnya. Apa sahaja yang
dia dapat, maka separuh untuknya dan separuh lagi untuk
sahabatnya. Dengan kata-kata yang lain setiap nikmat yang
dia perolehi dia akan memberi sahabatnya separuh daripadanya
iaitu sama banyak atau dibahagi dua.
3.
Golongan siddiqin
Iaitu seseorang itu lebih mengutamakan sahabatnya daripada
diri sendiri. Ini adalah berdasarkan ayat Al Quran:
Maksudnya:
Saudaramu yang sebenar ialah orang yang
sentiasa berada di sampingmu, dia sanggup membahayakan
dirinya demi keselamatanmu, orang yang setiap masa bekerja
untuk keperluanmu, sanggup mengorbankan segala-gala untuk
kepentingan dirimu.
Dalam setiap hal dan keadaan, dia mesti mengutamakan sahabatnya
lebih dahulu daripada dirinya sendiri. Sebagai contoh,
kalau di dalam masa yang sama dia dan sahabatnya sama-sama
memerlukan duit, maka duit itu akan diberi kepada sahabatnya.
Kalau dia memerlukan kenderaan, sahabatnya juga memerlukan
kenderaan, maka kenderaan itu akan diberi kepada sahabatnya.
Kalau ada makan minum, di waktu itu dia memerlukannya,
sahabatnya juga memerlukan, maka makan minum itu akan
diberi kepada sahabatnya.
Golongan ini lebih menyayangi
sahabatnya daripada diri sendiri.
Kalau dua orang yang berkawan tidak termasuk di dalam
salah satu sifat daripada tiga peringkat atau kategori golongan
tadi, dua orang tadi belum boleh dianggap sebagai orang yang
bersahabat. Hanya sebagai kenalan atau kawan biasa sahaja.
Belum boleh lagi dipanggil sahabat mengikut ukuran Islam.
Kesimpulannya, orang yang bersahabat kerana Allah, besar
sekali keuntungannya di Akhirat. Kebaikannya, mari kita dengar
apa kata Al Hadis.
1.
Kasihilah siapa sahaja di bumi ini nescaya akan mengasihi
kamu sesiapa sahaja (malaikat) yang di langit.
2.
Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat
kepada manusia lain (termasuk meratakan kasih sayang).
(Riwayat At Tabrani)
3.
Kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam
Syurga ialah taqwa kepada Allah dan kebaikan budi pekerti.
4. Hadis Qudsi menyebut:
Maksudnya:
Cinta Kasih-Ku patut diperolehi mereka
yang saling berkasih sayang kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut
dinikmati oleh mereka yang saling bersilaturrahim kerana-
Ku, cinta kasih-Ku patut dikurniakan kepada mereka yang
nasihat-menasihati kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut dicurahkan
kepada mereka yang kunjung-mengunjungi kerana-
Ku, cinta kasih-Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling
memberi kerana-Ku. Mereka yang saling berkasih sayang
kerana-Ku dan pada jalan-Ku, (mereka) berada di atas mimbar-
mimbar di hari Kiamat dari cahaya suatu kedudukan
yang diinginkan oleh para nabi, para siddiqin dan para
syuhada. (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan
Al Qudhaie)
Daripada Hadis yang telah dinyatakan tadi, orang yang bersahabat
kerana Allah Taala itu ada tiga perkara yang mereka
perolehi:
- Dikasihi oleh Allah dan seluruh penghuni langit.
- Mendapat keredhaan Allah serta ganjaran pahala dan kurnia yang besar dari Allah.
- Mendapat perlindungan Arasy di hari Akhirat.
- 1103 reads
Post new comment