Susahnya Mencari Sahabat(2)

Kuliah Umum


04/09/2006

Ada beberapa sebab.

Di antaranya:
1. Berkawan itu ada kepentingan peribadi.
Sama ada kedua-dua orang yang berkawan atau salah seorangnya ada kepentingan peribadi. Mungkin berkawan kerana kekayaan orang itu, atau kerana kekuatan orang itu yang mana kalau ada musuh, boleh tumpang berlindung atau menumpang pengaruhnya. Apabila tujuan tersebut sudah tiada lagi, berkawan sudah tidak diperlukan lagi.

2. Berkawan dengan sebab seagama, sebangsa, sekaum, sekampung, senegeri dan lain-lain.
Berkawan apabila bertemu dengan orang yang satu kaum atau satu kampung atau satu negeri atau satu bangsa atau seagama (walaupun agamanya tidak dipraktikkan) di negeri atau negara lain yang asing pada mereka. Di waktu itu mungkin mereka tidak boleh sesuaikan diri di segi agama, bahasa, bangsa atau budaya di situ. Maka di waktu itu mereka amat rapat berkawan kerana satu sama lain perlu memerlukan lantaran sama-sama berdagang di negeri atau di negara orang. Setelah berpisah atau setelah sama-sama balik ke negeri sendiri, walaupun bertemu tetapi hubungan rapat sudah tiada lagi.

3. Kawan kongsi
Berkawan kerana berkongsi berniaga atau berternak untuk hidup. Selama berkongsi bolehlah berkawan. Apabila sudah tidak berkongsi lagi, satu sama lain sudah macam orang lain sahaja. Tidak serapat dulu.

4. Kawan seasrama  
Berkawan waktu sama-sama duduk di asrama. Kebetulan pula berkongsi di dalam satu bilik atau duduk di pondok pengajian di dalam satu bangunan. Sama-sama memasak dan mentelaah. Setelah habis pengajian, berkawan sudah tidak berlaku lagi. Seolah-olah macam kenalan biasa walaupun masih selalu bertemu.

5. Berkawan kerana takut  
Berkawan kerana duduk di satu kawasan yang banyak berlaku jenayah. Oleh kerana takut bersendirian maka terpaksa berkawan. Setelah jenayah sudah tiada atau masing-masing berpindah, masing-masing membawa diri. Kalaupun masih boleh bertemu tetapi tidak serapat dahulu.

Mengapa berkawan seperti yang digambarkan tadi tidak pernah kekal? Mengapa berkawan tidak berpanjangan? Tidak kekal berkawan secara itu kerana ikatan tidak kuat. Ia diikat oleh perkara luaran. Diikat oleh keperluan semasa. Diikat oleh keadaan yang memaksa. Ia bukan dijalin oleh ikatan hati yang mempunyai akidah yang sama, ada hubung kait dengan Tuhan yang kekal abadi dan untuk kepentingan kedua sahabat yang berkekalan hingga sampai ke Akhirat. Dengan kata-kata yang lain, ia bukan ikatan hati dua orang yang berkawan kerana Allah Taala. Orang yang berkawan kerana Allah Taala, kalau berpisah pun kerana Allah Taala. Suka dan benci pun kerana Allah Taala.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Tiadalah dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah itu, melainkan yang lebih dicintai Allah itu, orang yang lebih banyak cintanya pada rakannya."

Bersahabat kerana Allah Taala , ikatan amat kuat sekali. Ia diikat oleh satu akidah. Ia berkawan tidak ada kepentingan dunia yang sementara ini. Mereka bersahabat kerana iman, akhlak dan kerana ketaqwaan . Bersahabat seperti ini adalah kuat ikatannya. Biasanya sampai mati. Bersahabat seperti ini mendapat perlindungan di Mahsyar dari Allah Taala yang mana hari itu tidak ada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Cinta kasih-Ku terlimpah di atas mereka yang berkasih sayang kerana-Ku. Akan Ku-naungi mereka di bawah naungan Arasy pada hari Kiamat yang mana pada hari itu tiada naungan melainkan naungan-Ku." (Riwayat Abiddunya)

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer