Sistem Pendidikan & Analisa Keberkesanannya (1)

28/04/2006

Bahagian Satu :

Jatuh bangun sesebuah negara biasanya dikaitkan dengan dasar pendidikan yang dilaksanakan di negara berkenaan. Ianya menentukan hala tuju sebuah negara itu sama ada berjaya ataupun tidak. Maju atau mundur sesebuah negara, berjaya atau gagalnya sesebuah negara, bergantung kepada berjayanya dasar pendidikan yang dilagangkan.

Baiknya anak bangsa, maju dan berjayanya mereka melambangkan dasar atau pun sistem pendidikan itu berjaya membentuk anak bangsanya menjadi aset yang sangat bernilai kepada bangsa, agama dan negara.

Pendidikanlah yang mencorak mereka menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sebaliknya, jika anak bangsanya mundur, tidak maju, tidak produktif, malah banyak menimbulkan masalah kepada negara, menimbulkan kacau bilau dalam negara, itu menunjukkan mereka gagal dibentuk melalui dasar pendidikan itu, atau dengan kata yang lain, dasar pendidikan itu tidak berjaya.

Sehubungan dengan itu, melihat kepada hasil pendidikan negara kita, dengan lahirnya mereka yang berjaya dan maju, ada yang cemerlang, gemilang bahkan terbilang, tak bolehlah kita katakan dasar pendidikannya tidak berjaya. Lahir juga mereka yang aktif, kreatif dan produktif hinggakan ada yang di usia mudanya sudah membawa nama negara ke tahap antarabangsa.

Tetapi di samping kejayaan yang membanggakan itu, di celah-celahnya lahir masalah-masalah yang sangat membimbangkan semua pihak. Hinggakan tiada seorang pun yang boleh tidur lena memikirkan masalah yang melanda anak-anak kita di sekolah. Institusi persekolahan yang sepatutnya melahirkan aset bangsa yang cemerlang telah jadi sebaliknya.

Bagaimana sistem pendidikan negara boleh melahirkan pelajar-pelajar yang sanggup membunuh kawannya sendiri hanya dengan perkara yang terlalu kecil. Kes buli-membuli berlaku bagaikan manusia yang hilang kemanusiaannya.Berlaku juga gangsterisme yang meragut ketenteraman. Mencuri, merompak, pergaulan bebas hingga lahir bohsia, bohjan, seks oral dan lain-lain masalah.

Tak kurang yang lawan guru, bergaduh dengan guru, bakar bilik guru, pancitkan tayar kereta guru, menampar guru dan lain-lain perkara yangsangat membimbangkan semua pihak. Hormat pada guru sudah tidak ada, kasih sayang di kalangan pelajar sudah punah, datang ke sekolah pun kerana terpaksa, tempat belajar bagaikan neraka sebelum neraka.

Apa yang sudah tidak kena dengan sistem pendidikan kita? Di mana silapnya, dan di mana kurangnya. Semua pihak tertanyatanya dan mengharapkan satu jalan penyelesaian yang drastik dari pihak berwajib. Tambahan pula semakin banyak undang-undang dicipta demi membendung masalah disiplin pelajar, semakin banyak pula jenayah dan salah laku timbul di kalangan pelajar.

Tentunya ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Mesti ada yang kurang dan perlu ditambah supaya kekurangan itu dapat ditampung. Yang berlubang itu perlu ditampal supaya tidak masuk unsur-unsur yang negatif lalu meracuni pamikiran anak bangsa kita. Supaya kejayaan mendatang tidak dicelahi side-effect yang tidak diingini.

Post new comment

The content of this field is kept private and will not be shown publicly.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer